Setiap kali berada di depan pentas acara fesyen modes satu persoalan pasti terbit; sejauh mana ruang fikir pereka terjangkau untuk menghasilkan satu garmen yang sempurna dari pelbagai sudut. Misalnya pilihan fabrik, corak, warna dan siluetnya lalu mengangkat ia menjadi trend yang boleh diterima pakai sebagai gaya modes? Ini persoalan penting kerana seperti mana genre fesyen lain, ia amat berteraskan kepada perkara asas modes itu sendiri dan seharusnya menyokong idea-idea yang diketengahkan.
Apabila Indonesia International Modest Fashion Festival (IN2MF) mengambil centre stage di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi memperkenal dan mempromosikan acara tahunan IN2MF Ketiga yang bakal berlangsung di Jakarta Oktober nanti, ia telah mempamerkan kesungguhan para pereka menghasilkan gaya segar modes.
Selain kepelbagaian siluet dan potongan, menarik perhatian hadirin front row petang itu ialah penampilan fabrik tradisional batik dalam pelbagai rupa yang turut mencerna keindahan dan kehebatan tekstil batik Indonesia dalam corak, warna serta gaya, tekstur dan siluet yang menawan. Dari kejauhan, jelas terlihat beberapa kaedah penghasilan batik seperti cap, tulis dan ikat digunakan.
Disempurnakan dengan rekaan fesyen yang inovatif, bergaya namun bercirikan tuntutan modes yang bijak dan segar, walaupun ada terdapat beberapa helai rekaan yang agak pelik dan kurang fokus pada perincian dari segi subjek asal, setiap rekaan yang lain bagaikan menjerit dalam satu nada; inilah gaya modes masa kini!
Menariknya acara yang turut punya objektif mengetengahkan dan mempopularkan batik Indonesia ke tahap lebih tinggi dan jauh itu disokong oleh Bank Indonesia bersama Kementerian Koperasi dan UKM, serta Kedutaan Besar Republik Indonesia Kuala Lumpur.
Ini sesuatu daya usaha yang amat bagus memandangkan jalinan kukuh di antara pemain industri seperti pereka dan pengeluar produk fesyen bersama pihak Kerajaan dan sektor swasta. Usaha ini merupakan satu penekanan yang tegas dari semua pihak yang terbabit khususnya pemain industri.
Diselenggarakan oleh Indonesia Fashion Chamber (IFC), dan bertemakan “Cultural Harmony: Exploring Modest Fashion Across Asia”, ia juga adalah tertakluk dalam rangka asal iaitu untuk mendorong pertumbuhan ekonomi Indonesia dan juga adalah sebahagian daripada rangkaian aktiviti IN2MF keTiga yang mana kemuncaknya bakal disaksikan pada 3hb Oktober hingga 4 November nanti di Jakarta.
Menampilkan keunggulan dan keragaman gaya modes Indonesia, rata-rata petang tersebut menghidangkan halwa mata buat mereka yang berhijab dan sedang mencari sesuatu yang baru. Keghairahan acara makin semarak dengan kehadiran pereka jemputan dari Malaysia, Kalima.
Kalima mempamerkan siluet lembut menggunakan fabrik ringan seperti sutera yang bermain dengan ropol dan lisu, membuat mata terpaku seketika dengan keindahan gelombang fabrik yang bagaikan menari irama Asyik, namun terasa macam ada sedikit kekurangan di situ. Mungkin Kalima perlu menyuntik sedikit elemen jati diri misalnya menggunakan corak batik, songket atau apa saja yang mampu merungkai satu gaya yang bukan sahaja indah namun punya ciri jati diri; style with substance! Atau suatu identiti yang seolah-olah menobatkan “this is my roots”.
“IN2MF di Kuala Lumpur bertujuan menghadirkan sambil mengintegrasikan tekstil dan budaya Indonesia ke dalam satu mode, IN2MF di Kuala Lumpur. Usaha ini diharapkan dapat menawarkan pengalaman berbeza dan saling mempelajari di kalangan pemain industri fesyen ke peringkat global,” kata Ketua Bahagian Ekonomi dan Kewangan Syariah Bank Indonesia, Imam Hartono pada sidang medianya.
Menegaskan objektif dan pendirian tersebut, Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Hermono menyampaikan rasa bangga dan gembiranya kerana menjadi sebahagian daripada usaha IN2MF 2024 itu, “Kecintaan pada tanah air dan bergerak bersandarkan cogan kata, Bhineka Tunggal Ika, yang bermaksud ‘Unity in Diversity’ atau penyatuan dalam kepelbagaian, Indonesia sekian lama berusaha gigih dalam agenda ke arah sebuah negara bersatu walaupun punya kepelbagaian kaum, kumpulan etnik serta budaya yang besar lagi meluas.
Melalui penyatuan tekstil tradisional yang terdapat dari pelbagai daerah di seluruh Indonesia, para pereka muda daripada IKRA memberikan penonton gambaran lebih nyata apa yang ada di negara yang punya penduduk Islam terbesar Nusantara itu. IN2MF bukan sahaja berharap acara fesyen ini menjadi acara tahunan yang berterusan, malah mencerminkan Bhinneka Tunggal Ika ke pasar Malaysia, Asia, dan seluruh dunia dengan keanekaragaman budaya Indonesia.
Secara rambang acara ini mungkin kelihatan seperti hasil pertunjukan fesyen biasa yang kerap kita tonton namun ia lebih daripada sekadar pameran atau pentas fashion teaser. Sebaliknya merupakan acara penting bagi Indonesia kerana ia juga dianggap sebagai platform dinamis untuk menampilkan kreativiti dan inovasi para pereka gaya modes Indonesia untuk meraih kedudukan strategik di pasaran Asia dan seterusnya di peringkat global.
Sesuatu yang menarik, bagi menyegarkan pentas dan mencetus idea-idea baru yang merangsang, menurut Sheikh Faleigh para pereka yang dipilih adalah graduan dan pelajar terkemuka yang ikut serta dalam usaha.
Mereka adalah Dewi Sambi oleh Uthi Mintiarto yang menampilkan Batik Banten dan Tenun Badui, Haluan Bali yang menggunakan Endek Bali, Hilman Samudera yang memakai Tenun Minang dari Sumatera Barat, Kasuari Batik yang menggunakan batik dari Papua, Batik Jambi Berkah x Rifda Rusli oleh Rifdatul Khoiro, sementara Riki Damanik pula mengangkat Ulos Bintang Maratur dari Sumatera Utara, dan termasuklah Kalima dari Malaysia.
Dengan semangat Bhineka Tunggal Ika ini, mereka yang terlibat mengharapkan usaha ini dapat menjalin sinergi yang kukuh antara industri fesyen modes Indonesia dan Malaysia, sambil membina semangat kolaborasi dan inovasi yang tinggi lagi meluas untuk mempromosi pasaran eksport Indonesia ke Asia Tenggara, dengan penekanan khusus pada pasaran Malaysia, demikian menurut Duta Indonesia di Malaysia, Hermono,
“Ini adalah sebahagian daripada program dan langkah yang diambil dalam meningkatkan perkembangan Ekonomi Indonesia. Untuk tujuan itu, Bank Indonesia berasa terpanggil untuk menyertai perjuangan ini bersama pihak Kerajaan dan pemain industri,” jelas Imam Hartono, Ketua, Bahagian Kewangan dan Ekonomi Islam, Bank Indonesia yang juga kini giat berusaha dalam mempertingkatkan hal ehwal gaya hidup halal setempat.
Bagi anda yang ingin menyertai acara IN2MF di Jakarta Oktober 2024 nanti boleh saja layari – Instagram: in2mf_. Youtube: indonesia international modest fashion festival. Tiktok : in2mf atau perhubungan awam, Ibah di [email protected]