Alhamdulillah. Selesai sudah majlis besar anakanda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, iaitu Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah bersama suri hati baginda, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.
Mari kita lihat rangkuman majlis perkahwinan Diraja ini yang berlangsung hampir seminggu yang turut disaksikan rakyat Pahang. Sama cantik, sama padan bagai pinang dibelah dua. Semoga kekal bahagia selamanya.
Rangkuman Istiadat Perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan
- Istiadat Perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada 22 Oktober 2024 di pekarangan Istana Abdulaziz, Kuantan. Sebanyak 16 das tembakan meriam dilepaskan, dimulakan dengan Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja dan menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja.
- Upacara ijab kabul selamat diadakan pada 24 Oktober dengan sekali lafaz dalam pada pukul 8.59 malam ini. Majlis tersebut berlangsung dengan penuh istiadat perkahwinan Diraja Pahang di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz. Pasangan Pengantin Diraja dinikahkan sendiri oleh ayah pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
- Keesokan harinya, berlangsung majlis berinai yang dimulakan dengan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada pihak pengantin perempuan. Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memulakan istiadat tersebut di sebelah pihak puteranya. Majlis yang diadakan di Dewan Temenggung berlangsung sekitar satu jam dewan.
- Istiadat persandingan berlangsung penuh tradisi pada Ahad, 27 Oktober. Seramail 16 orang Jejawat Lilin masuk ke Balai Mahkota sebelum YM Tengku Natasya Puteri yang berangkat tiba. YAM Tengku Muhammad kemudian dibawa masuk ke Balai Mahkota bersama Sirih Lat-Lat yang kemudiannya diserahkan kepada YM Tengku Natasya Puteri sebagai tanda bermulanya Istiadat Bersanding.
- Istiadat Perkahwinan Putera Diraja diakhiri mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada 28 Oktober di Istana Abdulaziz. Bagi menutup semua istiadat, Tengku Panglima Raja telah menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam dan bacaan doa oleh Mufti Pahang.
Persalinan Anggun Classy Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan
Upacara Istiadat Pernikahan
Memilih rona puth, simbolik kesucian upacara ijab kabul, pereka dari Indonesia, Hian Tjen bijak menggarap potongan gaun berleher tinggi ini terletak kemas dan masih terselit ciri tradisi. Fabrik songket ini diserikan lagi dengan kemasan batu-batuan sarat pada bahagian kain. Elemen drapping melatari bahagian pinggul, berkesinambungan kain melatar leret di belakangnya.
Upacara Istiadat Berinai
Untuk acara berinai pula, Tengku Natasya tampil manis dan klasik dengan baju kebarung daripada tenunan Pahang. Memilih rona kebiruan, ia memancarkan seri pengantin baru yang sungguh ayu. Ia adalah hasil ciptaan pereka dari Indonesia, Ivan Gunawan. Pereka banyak bermain dengan hand-embroidery yang ditinta pada segenap baju dan kainnya. Ditambah manis dengan selitan selendang sarat batuan diletak di lengan.
Upacara Istiadat Bersanding
Gaun labuh karya pereka Indonesia, Hian Tjen diberi sentuhan moden berfabrikkan songket ternyata menyerlahkan susuk tubuh Tengku Natasya tinggi lampai. Dalam pilihan rona putih gading, ia menampilkan gaya romantis. Dipancarkan dengan kemasan titipan tangan batuan membentuk lakar geometri yang eksklusif. Elemen dramatik dicipta pada bahagian belakang dengan leretan kain panjang.