FESYEN

Dari Sarawak ke London: Hisham Ramadan Mengangkat Kreativiti Malaysia ke Pentas Fesyen Antarabangsa

Di sebalik setiap helaian fabrik, tersimpan sebuah perjalanan yang dibina dengan impian, kesungguhan dan keberanian untuk mencuba. Bagi Hisham Ramadan, pelajar reka bentuk fesyen dari City Fashion School, City University Malaysia, impian itu akhirnya membawanya ke pentas fesyen antarabangsa apabila beliau dipilih sebagai satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya mara ke senarai Top 4 Finalist bagi MAXXAM International Textiles Competition sempena Graduate Fashion Week London 2026. Pencapaian ini meletakkan beliau sebaris dengan bakat-bakat muda dari seluruh dunia.

Inspirasi daripada Keindahan Laut

Koleksi ‘Mist & Marèe’ diinspirasikan daripada pergerakan lembut seekor kuda laut serta elemen ombak dan kabus lautan. Gabungan rona biru lembut, lapisan fabrik yang mengalir serta siluet moden menghasilkan koleksi yang menyerlahkan keseimbangan antara estetika, inovasi tekstil dan fungsi.

Dari Lakaran ke Pentas Antarabangsa

Setiap helaian fabrik bukan sekadar memenuhi fungsi, malah mencerminkan proses penyelidikan dan eksperimen tekstil yang dilalui sepanjang pembangunan koleksi ini.

Berasal dari Sarawak, Hisham memulakan perjalanan fesyennya dengan minat yang mendalam terhadap dunia rekaan. Dengan bimbingan pensyarah serta usaha yang berterusan, beliau berjaya mengembangkan bakat sehingga diberi peluang mempersembahkan hasil ciptaan di pentas antarabangsa.

Perincian yang Menjadi Identiti

Perincian fabrik berlapis yang mengalir menjadi antara elemen utama yang memberi identiti kepada Mist & Marèe. Sentuhan tekstur dan permainan lapisan menghasilkan ilusi pergerakan lembut yang mencerminkan inspirasi lautan serta bentuk organik seekor kuda laut.

Mewakili Malaysia

Lebih daripada sebuah pencapaian peribadi, kejayaan ini membuktikan bahawa bakat muda Malaysia mampu bersaing di pentas antarabangsa apabila diberi ruang untuk berkembang. Semoga pencapaian Hisham Ramadan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pereka muda untuk terus berkarya, berinovasi dan membawa nama Malaysia ke persada dunia. Tahniah Hisham Ramadan atas pencapaian yang membanggakan ini.

Related posts

PESTA EMAS HABIB PAPARKAN SENTIMEN SEMASA TERHADAP EMAS

adminwm

LACOSTE ‘PLAY BIG’

adminwm

Langkah Bergaya, Cerita Kehidupan Seharian

adminwm

Leave a Comment