Inilah maksud sebuah kemerdekaan apabila rakyatnya mampu memerdekakan pemikiran, kreativiti dan kepompong diri hingga mampu mencipta satu kemasyhuran nama yang turut membawa nama negaranya. Kalau anda pengikut setia industri fesyen tanah air, pasti figura bernama Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil ini tidak asing lagi dalam kotak pemahaman dan peti pengetahuan fesyen anda. Mereka ini merupakan dua nama besar yang telah mengukir kejayaan luar biasa dalam dunia fesyen tempatan menerusi jenama tersohor ciptaan mereka sejak zaman menekuni jurusan fesyen di UiTM, yakni Rizman Ruzaini.
Bermula dengan semangat dan visi yang sama dalam mencipta rekaan elegan dan eksklusif, duo pereka ini berjaya membina empayar fesyen yang bukan sahaja digemari selebriti tempatan, malah mencuri perhatian di pentas antarabangsa. Gabungan kreativiti dan ketelitian dalam setiap helaian yang dihasilkan menjadikan jenama Rizman Ruzaini sinonim dengan keanggunan, kemewahan, dan cita rasa tinggi.
Lebih daripada sekadar pereka fesyen, Rizman dan Ruzaini kini menjadi ikon lelaki berjaya yang berkarisma – mewakili golongan profesional muda yang berani berimpian besar dan bekerja keras untuk merealitikannya. Dengan personaliti unggul serta pendekatan profesional dalam setiap aspek kerjaya, mereka membuktikan bahawa kejayaan tidak datang secara kebetulan, tetapi lahir daripada kesungguhan, kesabaran, dan semangat untuk terus maju, juga kunci utama ilmu yang sentiasa digali dan pasukan mantap yang mereka ada!


Antara Kerja Seni Seorang Pereka dan Nilai Usahawan
Sebagai bekas pelajar fesyen, kepekaan terhadap rekaan, estetika, dan kreativiti semula jadi lebih menguasai diri buat pereka ini. Menurut Ruzaini, jiwa seorang pereka fesyen cenderung untuk mengekspresikan seni melalui rekaan pakaian, menekankan nilai emosi, keunikan, dan konsep yang mendalam dalam setiap helaian. Kalau sudah namanya seorang pereka, pastinya keutamaan lebih kepada penghasilan karya seni yang indah dan bermakna, bukan semata-mata produk jualan yang diperjuangkan.
”Namun, apabila menjalankan sebuah rumah fesyen seperti Rizman Ruzaini dan RR by Rizman Ruzaini, elemen keusahawanan tidak boleh diketepikan. Ini tiang seri penting bagi memastikan label itu bertahan kukuh. Rumah fesyen bukan sekadar tempat mencipta rekaan, ia adalah entiti perniagaan yang perlu beroperasi dengan efisien daripada aspek pengurusan, pemasaran, kewangan, pengeluaran, sehinggalah kepada strategi pengembangan pasaran,” ulas Ruzaini tegas.
Rizman juga selaku teraju utama label ini mengakui bahawa industri fesyen adalah salah satu cabang penting yang menyumbang kepada ekonomi negara. Walaupun Malaysia sebuah negara kecil, namun ia kaya dengan identiti tersendiri daripada segi warisan budaya, seni tekstil, dan nilai estetika tempatan. Unsur-unsur seperti songket, batik, tenun dan potongan tradisional memberi keunikan pada rekaan tempatan yang mampu diketengahkan di peringkat antarabangsa.
”Sayangnya, kita terpaksa akui industri fesyen tempatan masih mempunyai banyak kelopongan, terutama dari segi peluang untuk bakat-bakat tempatan berkembang ke peringkat antarabangsa. Kita bukan tidak punya pereka muda yang berbakat, namun mereka terhalang dek kekangan seperti kewangan dan kekurangan platform sokongan,” ujar Rizman yang berpendapat kos penghasilan, penyertaan ke pentas global, dan penjenamaan memerlukan pelaburan besar.
Tambah Ruzaini lagi, tanpa sokongan, bakat-vakat ini sukar menyerlah. Mereka memerlukan ekosistem yang mampu membantu mereka bukan sahaja untuk berkembang, tetapi juga membawa identiti Malaysia ke mata dunia.
Kesilapan Yang Kecil Tapi Menggagalkan Pereka Muda
Ditanya persoalan itu, ternyata pereka kreatif ini menghela nafas panjang, penuh pengharapan dalam semangat yang masih membara. ”Antara kesilapan utama pereka fesyen ialah menghasilkan rekaan yang tidak selari dengan kehendak pasaran atau gaya hidup masyarakat. Apaila rekaan terlalu idealistik tanpa mengambil kira keperluan dan cita rasa pengguna, ia sukar dijual,” tegas Ruzaini.
Ucapnya lagi, dalam industri sekarang ini, keseimbangan antara kreativiti dan permintaan pasaran sangat penting, kerana rekaan yang tidak laku memberi kesan terus kepada jualan dan kelangsungan jenama.
Maka, apa peranan kalian sebagai pereka yang sudah dikira berjaya dalam industri?
”Ya, sebagai individu yang memegang tanggungjawab mencorak arah gaya dan rekaan, saya memberi tumpuan kepada kelainan dalam setiap helaian yang mampu menyuntik nafas baharu agar industri fesyen terus segar dan relevan. Melalui sentuhan kreatif yang menampilkan identiti budaya tempatan, fesyen bagi saya bukan sekadar pakaian, tetapi medium ekspresi seni yang membawa nilai, cerita dan jiwa. Ini yang setiap pereka fesyen lain juga perlu fahami jika mahu kekal relevan dalam industri,” kata Ruzaini lagi.
Dalam usaha memartabatkan industri fesyen setanding industri lain di negara ini, ternyata Rizman Ruzaini komited untuk mengangkat elemen warisan ke peringkat lebih tinggi, membuka ruang kepada bakat baharu dan membina kerjasama strategik.
”Fesyen Malaysia harus dilihat sebagai industri yang bernilai tinggi dan berpotensi besar di pentas global,” ulang mereka berkali-kali.



Sejauh Mana Lagi Perjalanan Rizman Ruzaini?
Soalan yang mungkin sudah acapkali ditanya, namun sentiasa berubah mengikut detik waktu yang berlalu. Kongsi mereka, perjalanan sebagai pereka fesyen masih panjang dan penuh ruang untuk belajar. Dunia fesyen sentiasa berubah, dan mereka sedar banyak lagi ilmu yang perlu diterokai terutamanya daripada teknik rekaan, pemahaman pasaran, hingga strategi perniagaan.
Impian Rizman Ruzaini adalah untuk menjadikan pengalaman dan ilmu ini sebagai buku atau rujukan suatu hari nanti, agar generasi akan datang dapat belajar dan berkembang. Ini bukan sekadar cita-cita peribadi, tetapi tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada industri fesyen tempatan.
Melihat ke hadapan, mereka percaya Rizman Ruzaini akan terus terbang lebih tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang. Dengan asas jenama yang kukuh, visi yang jelas dan sokongan pelanggan setia, Ruzaini yakin mampu meluaskan lagi pengaruh di peringkat antarabangsa. Fokus mereka adalah untuk terus menghasilkan rekaan yang bukan sahaja mewah dan elegan, tetapi membawa identiti Malaysia ke pentas global.
”Melalui penyertaan dalam acara antarabangsa, kolaborasi strategik dan pengukuhan jenama di pasaran luar negara, impian kami adalah agar Rizman Ruzaini dikenali bukan hanya kerana gaya, tetapi juga kerana jiwa dan cerita di sebalik setiap helaian,” tegas Rizman penuh yakin.
Fesyen Untuk Semua!
Banyak yang boleh dibanggakan tentang jenama Rizman Ruzaini, terutama daripada segi kematangan mereka yang kini lebih bersifat global.
”Kami percaya fesyen adalah untuk semua inklusif, bergaya dan penuh keyakinan. Pembeli dan pengikut kami datang dari seluruh pelusuk dunia, membuktikan bahawa identiti dan nilai yang kami bawa mampu menembusi sempadan budaya dan geografi.”
”Melalui RR by Rizman Ruzaini, kami membuka ruang untuk mereka yang menggemari gaya moden dan kontemporari, sebuah pendekatan fast fashion yang segar, dinamik dan seiring dengan cita rasa generasi baharu. Ia bukan sekadar soal berpakaian, tetapi tentang meraikan identiti setiap individu, memberi mereka kebebasan untuk mengekspresikan gaya tersendiri dengan penuh keyakinan dan keanggunan,” akhiri Ruzaini bangga.
Sebagai pereka, adalah menjadi satu kebanggaan buat pereka apabila dapat mencantikkan dan menyerlahkan keyakinan pelanggan moden alaf ini melalui rekaan yang bukan sahaja bergaya, tetapi juga membebaskan mereka untuk menjadi diri sendiri.
