GAYA HIDUP

Cameron Highlands-Bila Besan Jadi Bestie

Ada sesuatu tentang Cameron Highlands yang membuat kita mahu datang lagi.

Mungkin kerana udaranya yang dingin, bukit-bukitnya yang menghijau, ladang teh yang terbentang luas atau bunga-bunga yang sentiasa memberi warna. Atau mungkin kerana Cameron mempunyai cara tersendiri untuk membuat kita memperlahankan langkah dan menikmati masa bersama orang yang kita sayang.

Hujung minggu lalu, saya kembali ke Cameron Highlands, kali ini bukan sekadar bersama anak dan cucu, tetapi bersama besan juga. Sebenarnya, percutian ini dirancang oleh menantu, Janna, bersama ibunya. Mereka mahu kami berdua meluangkan masa bersama — satu perjalanan kecil untuk bonding, katanya.

Dan saya tersenyum apabila memikirkannya kerana Suzlina memang selalu ada satu cita-cita: dia mahu besannya menjadi bestie.

Saya pula fikir, why not?

Bukankah keluarga bukan hanya tentang pertalian darah? Apabila anak-anak kita berkahwin, kita turut mendapat sebuah keluarga baharu. Dan kalau boleh hubungan itu bukan sekadar “besan”, tetapi menjadi sahabat yang boleh duduk semeja, berjalan bersama, berbual, tidur sebilik, ketawa dan menikmati masa tanpa rasa kekok.

Maka berangkatlah kami ke Cameron Highlands.

Kali ini, anak menantu dan cucu-cucu turut bersama. Turut ikut serta adik lelaki tunggal yang masih bujang, dan adik bungsu Janna yang mengandung anak kedua bersama suami. Dan ternyata, Cameron memang tempat yang cukup sesuai untuk sebuah perjalanan keluarga seperti ini — santai, tidak terlalu tergesa-gesa dan sentiasa ada sesuatu untuk dinikmati.

Tetapi setiap kali saya ke Cameron, saya pasti teringat kepada satu perjalanan yang sangat istimewa dalam hidup saya — bulan madu bersama Hisham.

Bulan madu kami dahulu agak luar biasa. Kami tidak memilih satu destinasi dan tinggal di situ sepanjang bulan madu. Sebaliknya, kami menjadikan perjalanan itu sendiri sebagai sebahagian daripada honeymoon.

Kami memandu ke Kuantan dan bermalam satu malam. Kemudian ke Kuala Terengganu, memilih chalet di tepian pantai untuk dua malam, sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan dan menginap di Pantai Cinta Berahi selama dua malam lagi.  Dari sana kami ke Pulau Banding semalam, kemudian ke Penang untuk dua malam.

Selepas itu kami balik kampung, jumpa mak dan apak, makan-makan dan tidur dua malam di bilik pengantin yang masih harum bau potpouri,  sebelum ke Pangkor Laut untuk dua malam dan akhirnya ke Cameron Highlands.

Selepas pulang ke Kuala Lumpur, kami kembali bekerja selama seminggu. Kemudian minggu berikutnya, menyambung pula honeymoon ke Selatan, ke Melaka dan Johor, masuk Singapura selama dua malam lagi.

Bila dikenang kembali, memang panjang perjalanan honeymoon kami ini. Tetapi ketika itu kami masih muda. Tidak terlalu memikirkan penat. Asalkan dapat berjalan bersama, melihat tempat baharu dan menghabiskan masa berdua, semuanya terasa menyeronokkan.

Cameron kali ini pula penuh dengan suara cucu-cucu.

Kami membawa mereka ke Sheep Sanctuary, melihat dan bermain dengan haiwan-haiwan di sana. Seronok melihat wajah mereka yang begitu teruja. Bagi kanak-kanak, perkara kecil seperti dapat mendekati haiwan pun sudah menjadi satu pengembaraan.

Kemudian kami ke Cameron Highlands Flora Park, menikmati warna-warni bunga dan suasana taman yang begitu cantik.

Singgah pula di Big Red Strawberry — kerana rasanya tidak lengkap ke Cameron kalau tidak singgah menikmati strawberry!

Petang itu kami menuju ke BOH Tea Centre di Sungai Palas.

Di situlah kami berhenti seketika, menikmati teh BOH panas dan scones sambil mata memandang jauh ke arah ladang teh yang menghijau di lereng bukit.

Pemandangannya cantik sekali.

Ladang teh yang beralun-alun, udara dingin dan secawan teh panas di tangan. Sambil melayan cucu-cucu, kami berbual dan menikmati suasana. Tidak perlu tergesa-gesa. Tidak perlu mengejar apa-apa.

Esoknya, acara diteruskan dengan satu lagi aktiviti yang memang sinonim dengan Cameron — membeli sayur-sayuran dan bunga-bungaan.

Pelbagai warna dan bentuk. Keledek, jagung, sayur-sayuran segar dan macam-macam lagi. Kemudian bunga-bunga segar pula menggoda mata. Akhirnya, bukan sahaja pulang dengan kenangan, tetapi dengan barang-barang yang memenuhi kereta!

Dan sudah tentu, ada satu lagi perkara yang tidak boleh ditinggalkan — makan.

Dalam cuaca sejuk Cameron, steamboat memang terasa begitu kena. Duduk beramai-ramai di sekeliling meja, menikmati makanan panas sambil berbual dan melayan anak-anak serta cucu-cucu.

Itulah sebenarnya yang membuat perjalanan ini istimewa. Bukan semata-mata Cameron tetapi siapa yang kita bawa bersama.

Saya suka melihat bagaimana anak-anak kita apabila sudah berkeluarga, perlahan-lahan membina jambatan antara dua keluarga. Menantu saya dan ibunya merancang perjalanan ini bukan untuk pergi jauh atau mencari sesuatu yang luar biasa.

Mereka cuma mahu kami bersama. Mahu kami lebih mengenali satu sama lain. Mahu dua orang besan yang mungkin pada mulanya hanya dipanggil “besan” akhirnya boleh duduk bersama dan berkata, “Jom kita pergi lagi.” Dan mungkin cita-cita Suzlina untuk menjadikan besannya bestie itu tidaklah terlalu mustahil.

Cameron kali ini mengingatkan saya bahawa bonding tidak semestinya memerlukan sesuatu yang besar. Kadang-kadang ia hanya memerlukan dua hari.

Dua kereta.

Anak-anak. Cucu-cucu.

Secawan teh panas.

Sedikit bunga dan sayur-sayuran. Steamboat di malam yang sejuk.

Dan dua orang besan yang diberi ruang untuk bercerita kenangan masing-masing. Semetelah masing-masing suami pergi dahulu meninggalkan kami, ada saat sambil bercerita itu, masing-masing mengalirkan airmata. Seorang memujuk dan seorang merasa, seorang bercerita tentang kenangan masa lalu dan seorang menjadi pendengar.

Dulu, saya datang ke Cameron sebagai seorang isteri yang baru memulakan perjalanan hidup bersama Hisham. Hari ini, saya kembali dalam sebuah keluarga yang jauh lebih besar.

Dulu kami berdua. Hari ini, semakin ramai yang duduk di sekeliling saya. Dan saya rasa, mungkin begitulah hidup sepatutnya.

Perjalanan berubah. Orang yang bersama kita berubah. Tetapi setiap perjalanan meninggalkan sesuatu untuk dikenang. Kali ini, saya pulang membawa bukan sahaja strawberry, sayur-sayuran dan bunga segar dari Cameron. Saya pulang membawa satu lagi kenangan tentang keluarga.

Dan seorang bestie

Related posts

Dunia di Sebalik Meja Editor: Kritikan, Kreativiti, dan Ketelitian

adminwm

PERDANA MENTERI LANCAR ‘ALAMANDA BERWAJAH  BAHARU’ BERNILAI RM100 JUTA 

adminwm

Vivo X90 SERIES

admin

Leave a Comment