GAYA HIDUP

Asyik Dalam Pelukan Alam, Larut Dalam ‘Sinju’ Sungai

Sedar atau tidak, hari demi hari kita semakin jauh dari alam, kita semakin melupakan bagaimana bau dedaunan pohon, sedingin mana air sungai mengalir? Bunyi juga sulit untuk diterjemahkan.

Jadi, kami putuskan untuk kembali kepadanya, menyantuni dan kembali merebah rindu…

Bayangkan membuka mata pada pagi yang sunyi, tanpa bunyi kenderaan atau kesibukan kota. Sebaliknya, yang menyapa telinga hanyalah deruan air sungai dan bunyi alam yang bergerak perlahan di sekeliling.

Itulah yang menanti kami di Sinju Retreat, Simpang Pulai, Ipoh.

Selama dua malam, kami memilih untuk meninggalkan seketika kehidupan kota dan menikmati sebuah pengalaman yang cukup sederhana, tinggal di chalet kayu, mandi sungai, bermain bersama anak-anak dan membiarkan masa berlalu tanpa perlu tergesa-gesa.

Mungkin itulah bentuk healing yang paling mudah tetapi sering kita terlupa.

Sinju di Perkampungan Orang Asli

Sinju dalam Bahasa Orang Asli bermaksud sejuk. Di Sinju, sungai menjadi tarikan yang sukar untuk ditolak.

Anak-anak begitu teruja untuk turun bermain air. Tiada kolam renang bertema, tiada permainan moden dan tiada hiburan yang dirancang secara khusus. Hanya sungai, batu-batu, air yang mengalir dan alam yang terbentang di hadapan mata.

Namun, di situlah keseronokannya. Melihat anak-anak bermain sungai membuatkan kita teringat zaman kecil ketika hiburan tidak memerlukan skrin dan keseronokan boleh hadir daripada perkara yang paling mudah.

Bagi ibu bapa, ia juga satu peluang untuk mengajar anak menghargai alam. Mengenal sungai, melihat pokok-pokok di sekeliling, merasai tekstur batu dan memahami bahawa alam mempunyai cara tersendiri untuk menghiburkan kita.

Lebih daripada sebuah percutian, ia menjadi pengalaman yang boleh dikenang.

Lima Beradik, Lima Rumah, Lima Impian

Sinju Retreat mula dibuka kepada tempahan awam pada November 2023. Di sebalik kewujudannya ialah pasangan suami isteri, Faidzad Amin, 51, dan Aznira Ghazali, 42.

Pemilik Sinju Retreat, Faidzad Amin dan Aznira Ghazali

Menurut mereka, idea asal Sinju datang daripada seorang rakan kepada ayah Faidzad, Haji Amin, yang terlibat dalam kerja-kerja menghasilkan rumah berkonsepkan kayu. Daripada idea kecil itu, lahirlah lima buah chalet yang bukan sekadar dibina sebagai unit penginapan, tetapi mempunyai cerita keluarga tersendiri.

Angka lima dipilih sebagai simbol lima beradik dalam keluarga Faidzad. Apabila keluarga besar berkumpul, setiap keluarga mempunyai rumah masing-masing. Sentuhan peribadi itu turut diterjemahkan melalui ukiran kayu pada chalet yang dihasilkan sendiri secara tangan.

Keseluruhan proses pembinaan mengambil masa kira-kira tujuh bulan, termasuk penyediaan elektrik, bekalan air serta kelengkapan dan perabot. Kini, Sinju mempunyai lima unit chalet dengan kadar penginapan bermula sekitar RM228 hingga RM248.

Makna Sebenar Kedamaian

Konsep yang dibawa juga jelas, “Berdamai Dengan Alam.” Faidzad dan Aznira mahu pengunjung datang untuk merasai ketenangan, menghargai kehijauan dan menikmati deruan sungai, tetapi dalam masa sama merasakan kemeriahan sebuah percutian bersama keluarga.

Mereka juga mahu membawa kembali vibes kampung melalui aktiviti bersama dan suasana yang lebih santai. Apatah lagi apabila musim buah tiba. Kebun Sinju sendiri menghasilkan buah-buahan seperti durian, rambutan dan cempedak, menjadikan pengalaman menginap lebih dekat dengan suasana kampung yang sebenar.

Menurut mereka lagi, Sinju masih dalam proses berkembang. Antara perancangan pemilik ialah menambah baik infrastruktur supaya pengalaman pengunjung menjadi lebih selesa. Mereka juga merancang menambah unit chalet serta menyediakan tapak perkhemahan baharu.

Menariknya, kawasan perkhemahan yang dirancang bakal membawa konsep Hillside yang memberikan peluang kepada pengunjung menikmati pemandangan dari kawasan lebih tinggi, menghadap bukit serta sepanjang aliran Sungai Sinju.

Selepas dua malam di sini, apa yang paling kami bawa pulang bukan sekadar gambar atau kenangan mandi sungai. Tetapi satu kesedaran kecil bahawa dalam dunia yang semakin pantas, ada masanya kita perlu berhenti dan membiarkan alam mengambil alih.

Biarkan sungai bercerita. Biarkan anak-anak bermain. Dan biarkan keluarga menikmati masa bersama tanpa perlu mengejar apa-apa.

Kerana mungkin, di situlah sebenarnya erti sebuah percutian.

Related posts

The Season to Savor Oleh Hilton Kuala Lumpur; Musim Penuh Rasa, Gaya dan Cerita

Afiza Kamarulzaman

ISTIMEWA LAKSA DI RUMAH TERBUKA

Wirda Adnan

Has Arrived in Kuala Lumpur

adminwm

Leave a Comment