GAYA HIDUP

Raikan Kemeriahan Perayaan dengan Sajian Istimewa di Le Méridien Putrajaya

Musim perayaan sentiasa menjadi waktu yang dinanti-nantikan untuk berkumpul bersama keluarga dan insan tersayang. Selain menjadi ruang mengeratkan hubungan, hidangan istimewa yang disajikan turut memainkan peranan dalam mencipta kenangan indah yang sukar dilupakan.

Menyambut kemeriahan ini, Le Méridien Putrajaya menawarkan pengalaman gastronomi istimewa sempena Krismas dan Tahun Baharu Cina menerusi rangkaian sajian eksklusif yang menggabungkan cita rasa antarabangsa, bahan-bahan premium serta keunikan tradisi perayaan. Setiap hidangan dirancang untuk memberikan pengalaman menjamu selera yang lebih istimewa, sama ada dalam suasana santai bersama keluarga mahupun pertemuan besar bersama kenalan.

Kemeriahan Krismas dengan Sajian Klasik

Meraikan kehangatan Krismas, restoran Latest Recipe menghidangkan buffet istimewa sepanjang Disember dengan pilihan sajian yang membawa cita rasa klasik perayaan. Antara tarikan utama ialah Traditional Christmas Roast Turkey yang menjadi hidangan ikonik setiap kali menjelang Krismas, selain Pistachio-Crusted Rack of Lamb dan Slow-Braised Beef Short Rib with Aromatic Coffee Spice Rub.

Gabungan hidangan daging yang disediakan dengan penuh teliti ini memberikan pilihan menarik buat penggemar sajian Barat. Setiap satunya menawarkan karakter rasa tersendiri, sekali gus menjadikan pengalaman buffet lebih meriah dan memuaskan.

Tidak ketinggalan, pencuci mulut turut diberikan perhatian menerusi Chocolate Kunafa Pistachio Yule Log Cake yang menggabungkan elemen klasik kek Yule Log dengan sentuhan moden. Sajian ini pastinya menjadi pelengkap manis selepas menikmati hidangan utama.

Bagi mereka yang ingin menikmati juadah Krismas dalam suasana lebih istimewa, buffet makan tengah hari ditawarkan bermula RM158 nett seorang, manakala makan malam bermula RM178 nett seorang. Makan malam khas pada 24 dan 25 Disember pula boleh dinikmati pada harga RM208 nett seorang.

Selain menjamu selera di hotel, tetamu juga boleh membawa pulang kemeriahan Krismas menerusi pilihan hidangan seperti Christmas Roast Turkey, Signature Beef Wellington dan Roast Australian Boneless Leg of Lamb. Koleksi manisan Krismas termasuk Gingerbread Cookies, Christmas Fruit Cake dan Cinnamon Star Cookies turut disediakan untuk melengkapkan sambutan di rumah.

Tahun Baharu Cina dengan Kemewahan The Golden Flame

Mengalihkan suasana kepada kemeriahan Tahun Baharu Cina, restoran Le Mei pula memperkenalkan The Golden Flame, sebuah pengalaman gastronomi yang meraikan ketibaan Tahun Kambing menerusi sajian tradisional Cina dengan sentuhan moden serta penggunaan bahan-bahan premium.

Diterajui oleh Ketua Cef Eksekutif Cina, Chef Lim Kian Meng, rangkaian menu istimewa ini mengetengahkan keunikan masakan Cina yang menggabungkan teknik penyediaan tradisional dengan ramuan yang membawa simbolik kemakmuran dan tuah.

Antara hidangan yang menjadi tumpuan ialah Braised Whole Abalone with Dried Oyster, Fish Lip, Fatt Choy, Mushroom and Broccoli in Claypot. Sajian mewah ini menghimpunkan beberapa ramuan istimewa yang cukup sinonim dengan perayaan Tahun Baharu Cina. Turut menarik perhatian ialah Double-boiled Free-Range Chicken Soup with Organic Yunnan Mushroom and Wild Bamboo Piths, Tea-Smoked Free-Range Chicken serta Steamed Jumbo River Prawns with Teochew Aged Preserved Radish Sauce and Egg White.

Bagi memenuhi keperluan pelbagai saiz kumpulan, Le Mei menyediakan tiga pilihan set menu iaitu Bountiful Set bermula RM318 nett untuk minimum dua orang, Happiness Set pada harga RM2,388 nett dan Golden Feast Set pada harga RM2,688 nett bagi 10 orang. Kedua-dua set untuk 10 orang turut disertakan sebotol wain sebagai pelengkap hidangan.

Tidak lengkap sambutan Tahun Baharu Cina tanpa tradisi lou sang yang melambangkan harapan untuk kebahagiaan, kejayaan dan kemakmuran. Justeru, Le Mei turut menawarkan pelbagai pilihan Yee Sang termasuk Snow Pear Yee Sang, Salmon Yee Sang serta variasi istimewa seperti Mentaiko and Salmon Fish Yee Sang dan Whole Abalone Yee Sang. Harga ditawarkan bermula RM65 hingga RM388 nett mengikut pilihan.

Lebih menarik, kemeriahan perayaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk persembahan tarian singa pada hari pertama Tahun Baharu Cina, aktiviti kaligrafi Cina, bengkel menghasilkan sampul merah dan lipatan fortune cookies serta sudut harapan untuk para pengunjung.

Daripada kehangatan hidangan klasik Krismas hingga kemewahan sajian tradisional Tahun Baharu Cina, Le Méridien Putrajaya menjadikan musim perayaan lebih bermakna menerusi gabungan gastronomi, budaya dan pengalaman kebersamaan yang diraikan bersama insan tersayang.

Related posts

SINDROM DOWN TIDAK ADA PENAWAR, 1 DARI 1,000 BAYI DILAHIRKAN SETIAP TAHUN

adminwm

Love at First Click

adminwm

Tea For Two di Ficus Bistro

adminwm

Leave a Comment