PERSONALITI

Seni Kepimpinan Bukan Tentang Posisi Tapi Bakti Yang Terbukti

Dalam dunia yang sentiasa berubah, seorang pemimpin tidak boleh berdiri di tempat yang sama. Perubahan dalam ekonomi, teknologi dan landskap perniagaan menuntut pemimpin untuk terus belajar, menyesuaikan diri dan melihat sesuatu daripada lebih daripada satu sudut. Ia bukan lagi tentang kedudukan tetapi bagaimana janji dimeterai dan manfaat yang dinikmati orang di bawah.

Prinsip itu begitu dekat dengan perjalanan Group Managing Director World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Dato’ Sri Dr Haji Irmohizam Ibrahim. Dengan pengalaman merentasi bidang perundangan, akademik, perkhidmatan awam dan industri Business Events, perjalanan kerjayanya membentuk satu perspektif kepimpinan yang luas, bahawa setiap pengalaman mempunyai pelajaran tersendiri.

“Kepimpinan bukan tentang mengetahui segala-galanya, sebaliknya pemimpin perlu mempunyai kebijaksanaan untuk tahu bila perlu bertindak, mendengar dan bagaimana membuat keputusan yang memberi kesan baik untuk jangka panjang,” ujarnya.

Memimpin Dengan Ilmu dan Pengalaman

Sebelum menerajui WTCKL, Dato’ Sri Dr Haji Irmohizam melalui pelbagai fasa kerjaya yang memberinya perspektif berbeza tentang manusia, organisasi dan masyarakat.

Latar belakangnya sebagai peguam mengajarnya untuk meneliti sesuatu isu dengan berhati-hati, memahami pandangan daripada pelbagai pihak serta mempertimbangkan kesan sebelum membuat keputusan. Pengalaman sebagai pensyarah pula menanam penghargaan yang lebih mendalam terhadap ilmu, pendidikan dan pembangunan bakat.

Kemudian, pengalaman sebagai pegawai khas dalam kerajaan membuka perspektif yang lebih luas mengenai institusi dan kepentingan negara. Pengalaman-pengalaman inilah yang akhirnya berkembang dalam peranannya sebagai peneraju WTCKL, apabila beliau perlu mengimbangi antara kepentingan manusia, perniagaan, tadbir urus, pihak berkepentingan dan impak ekonomi secara serentak.

Bagi beliau, pengalaman bukan sekadar sesuatu yang dilalui, tetapi menjadi lensa yang membentuk cara seseorang berfikir. Dan mungkin kerana itu juga, beliau tidak pernah melihat pembelajaran sebagai sesuatu yang berakhir selepas seseorang menerima segulung ijazah.

Tidak Pernah Berhenti Belajar

Komitmennya terhadap pendidikan menjadi antara sisi paling menarik dalam perjalanan peribadinya. Baru-baru ini, beliau melengkapkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan Distinction dari University of the West of Scotland, yang merupakan gelaran sarjana keenam dalam perjalanan akademiknya.

“Semakin jauh seseorang melangkah dalam kehidupan, semakin kita menyedari bahawa masih banyak yang belum diketahui, maka janganlah berhenti belajar,” tuturnya penuh makna.

Setiap pengalaman akademik memberinya peluang untuk memperoleh perspektif baharu, mencabar pengetahuan sedia ada dan melihat sesuatu isu daripada pendekatan yang berbeza. Lebih penting, pembelajaran berterusan dilihat sebagai satu tanggungjawab yang hadir bersama amanah kepimpinan.

Apabila seseorang diberikan kepercayaan untuk memimpin, keputusan yang dibuat bukan hanya memberi kesan kepada dirinya, tetapi turut mempengaruhi organisasi, warga kerja dan komuniti yang lebih luas.

Justeru, ilmu baginya bukan sekadar untuk menambah kelayakan. Ia adalah asas kepada kredibiliti dan pertimbangan yang lebih matang.

WTCKL Melangkaui Fungsi Sebuah Pusat Konvensyen

Dengan legasi selama 40 tahun, WTCKL dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem Business Events Malaysia yang menjadi sebuah platform yang mempertemu manusia, idea dan peluang. Melalui jaringan antarabangsa World Trade Centers Association (WTCA), WTCKL mempunyai akses kepada komuniti perniagaan dan institusi dari pelbagai pasaran dunia.

Visinya mudah tetapi besar yakni sesuatu acara tidak seharusnya berakhir apabila tetamu meninggalkan dewan. Sebaliknya, acara itu harus menjadi permulaan kepada hubungan baharu, kerjasama, pelaburan dan peluang perniagaan.

Inilah yang beliau mahu diterjemahkan melalui WTCKL, menjadikan Kuala Lumpur bukan sekadar tempat untuk mengadakan acara antarabangsa, tetapi sebagai pintu masuk kepada peluang perniagaan di rantau ini.

Dalam melihat masa depan industri Business Events, beliau percaya Malaysia mempunyai kelebihan yang tidak harus dipandang ringan. Kedudukannya di tengah-tengah ASEAN, hubungan antarabangsa yang kukuh, infrastruktur Business Events yang tersedia, sektor ekonomi yang pelbagai, pasaran yang berkembang serta reputasi hospitaliti menjadi antara kekuatan negara. Namun, kelebihan tersebut perlu digabungkan melalui kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, convention bureaux, pusat konvensyen, hotel, syarikat penerbangan, universiti dan sektor swasta.

Beliau membayangkan dalam tempoh lima tahun akan datang, Malaysia mampu mengukuhkan kedudukannya sebagai antara hab Business Events terkemuka ASEAN, bukan hanya sebagai destinasi yang mampu menganjurkan acara antarabangsa, tetapi sebagai negara yang berjaya menukar acara tersebut kepada nilai ekonomi, hubungan perniagaan dan peluang pelaburan yang berkekalan.

Kepimpinan Yang Kembali Kepada Manusia

Walaupun sebahagian besar kerjayanya berkait rapat dengan perniagaan dan pembangunan industri, sumbangannya turut merentasi bidang lain, termasuk sektor kesihatan. Penglibatannya dalam beberapa peranan penasihat dan lembaga pelawat hospital memberi beliau perspektif berbeza mengenai makna kepimpinan.

Jika industri Business Events banyak berkisar tentang peluang ekonomi dan perniagaan, bidang kesihatan pula membawa beliau lebih dekat kepada persoalan kesejahteraan dan kualiti hidup manusia. Pengalaman itu mengukuhkan satu pegangan penting: pada akhirnya, kepimpinan adalah tentang manusia dan kesan yang mampu dicipta untuk mereka.

Jika ada satu perkara yang paling ingin ditinggalkan sebagai legasi, jawapannya bukan sekadar pencapaian atau jawatan. Beliau mahu dikenang sebagai seseorang yang menggalakkan orang lain untuk tidak pernah berhenti belajar.

Prinsip itu berakar daripada pengalaman awalnya sebagai pendidik, apabila beliau menyedari bahawa tanggungjawab seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi menggalakkan manusia untuk terus berfikir, terus belajar dan menggunakan ilmu tersebut untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Mungkin itulah benang merah yang menyatukan keseluruhan perjalanan Dato’ Sri Dr Haji Irmohizam, daripada bidang undang-undang ke akademik, perkhidmatan awam, dunia korporat dan industri antarabangsa.

Kerana bagi beliau, kejayaan tidak berhenti pada apa yang berjaya dibina untuk organisasi. Ukurannya lebih besar: sejauh mana pengalaman, ilmu dan jaringan yang dimiliki dapat dikembalikan kepada masyarakat.

“Terus belajar, berkembang dan yang paling penting, terus memberi…” pesannya mengakhiri perbualan.

Itulah falsafah yang membentuk seorang pemimpin yang melihat masa depan bukan sekadar sebagai sesuatu yang perlu diramal, tetapi sebagai sesuatu yang perlu divina. Ia dibina bersama manusia, ilmu dan visi yang tidak pernah berhenti bergerak.

Related posts

Pengerusi CMCF, Rafiq Razali Perkukuh Komitmen Bagi Menangani Risiko Kandungan AI 

adminwm

ZAFRINA ISMAIL

Mahani Awang

Man of the Month/ Personaliti

admin

Leave a Comment