Hiburan

Tiga Aura, Satu Malam Penuh Magis

Ada konsert yang kita hadiri kerana minat. Ada juga konsert yang akhirnya membuatkan kita jatuh cinta kepada keseluruhan pengalaman.

 Konsert 3 Aura di Unifi Arena, Bukit Jalil membawa saya dan Mahani ke sini. Belum pernah sekali menjejak kaki ke ruang stadium yang besar lagi mengagumkan dan masakan dapat ditolak kerana jemputan datang daripada pihak penganjur sendiri berpeluang menikmati persembahan dari Royal Box. Dari sudut itu, bukan sahaja pentas dapat dilihat dengan jelas, malah lautan penonton yang memenuhi setiap ruang arena menjadi bukti bahawa muzik yang baik tidak pernah mengenal usia.

Sebelum konsert berlangsung, mungkin ada yang mempersoalkan gabungan tiga nama ini. Mengapa Datuk Jamal Abdillah, Ameng Spring dan Mawi? Apakah benang merah yang menghubungkan mereka?

Jawapannya hanya satu — aura.

Penganjur ternyata bijak memilih tema. Konsert ini bukan menghimpunkan tiga legenda daripada era yang sama, tetapi tiga figura yang pernah mendominasi zaman masing-masing dan memiliki kelompok peminat yang cukup setia. Malah, Ameng sendiri sebelum konsert pernah menjelaskan bahawa konsep 3 Aura bukanlah “tiga legenda”, sebaliknya tiga penyanyi daripada generasi berbeza yang masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri.

Mawi membuka malam dengan keperibadiannya yang sederhana. Tiada gaya yang dibuat-buat. Tiada percubaan menjadi orang lain. Itulah kekuatannya sejak zaman fenomena Akademi Fantasia dahulu. Apabila beliau menyampaikan lagu-lagu popularnya, jelas kelihatan penonton yang membesar bersama era “Tsumawi” masih menghafal setiap bait lirik. Dua dekad berlalu, namun nostalgia masih hidup.

Kemudian muncul Ameng.

Beliau tampil cukup bersahaja, seolah-olah sedang menyanyi bersama rakan-rakan lama. Tetapi apabila suara itu dilepaskan, kekuatan vokalnya masih mengagumkan. Nada tinggi yang menjadi identitinya masih utuh, lontaran vokalnya masih lantang, malah ada ketika kedengaran persis rakaman album yang pernah menjadi siulan suatu ketika dahulu.

Dan akhirnya, tibalah saat yang paling dinanti.

Kemunculan Datuk Jamal Abdillah disambut dengan sorakan yang bergema di seluruh arena.

Tidak ramai penyanyi mampu mempertahankan mutu vokal selepas berpuluh-puluh tahun berada di pentas. Lebih mengagumkan, pada usia beliau hari ini, setiap lagu masih disampaikan dengan kawalan suara yang mantap, emosi yang tepat dan karisma yang sukar ditandingi.

Inilah bezanya seorang penghibur sebenar.

Beliau tidak perlu berlari ke seluruh pentas atau bergantung kepada gimik. Cukup dengan berdiri, dan duduk di kerusi sambil menyanyi dan menghayati setiap lirik, seluruh dewan memberi perhatian.

Kami kagum.

Ada sebab mengapa beliau terus digelar Raja Pop Malaysia. Gelaran itu bukan sekadar sejarah, tetapi sesuatu yang masih dapat dirasakan setiap kali beliau memegang mikrofon.

Yang paling mengujakan ialah bagaimana ketiga-tiga penyanyi ini berjaya menyatukan peminat daripada generasi berbeza.

Di kiri saya, ada pasangan yang mungkin membesar dengan lagu-lagu Jamal Abdillah.

Di hadapan pula, sekumpulan peminat yang tidak berhenti menyanyikan lagu-lagu Spring.

Tidak jauh daripada mereka, anak-anak muda yang masih mengenali dan menyayangi lagu-lagu Mawi.

Jarang sekali kita melihat tiga kelompok peminat yang berbeza akhirnya menyanyi serentak, bertepuk tangan bersama dan berkongsi emosi yang sama sepanjang malam.

Itulah kekuatan sebenar Konsert 3 Aura.

Malah, kemuncak persembahan pada lagu penutup menjadi detik yang sukar dilupakan. Seluruh arena seakan-akan berubah menjadi sebuah koir gergasi. Penonton berdiri, telefon pintar bercahaya memenuhi ruang dan semua menyanyi tanpa perlu dipaksa.

Ketika itu saya terfikir, mungkin inilah definisi sebenar sebuah konsert yang berjaya.

Bukan semata-mata kerana tata cahaya, skrin LED atau kesan khas yang hebat.

Tetapi kerana setiap orang pulang dengan hati yang penuh.

Terus terang, saya hadir tanpa meletakkan jangkaan yang terlalu tinggi. Namun saya meninggalkan arena dengan senyum yang panjang. Saya menikmati setiap segmen, menghargai setiap persembahan.

Dan saya percaya, konsep menggabungkan tiga penyanyi daripada tiga era berbeza ini wajar diteruskan. Industri muzik kita sebenarnya mempunyai ramai ikon yang masih berbisa di pentas. Apabila digabungkan dengan strategi yang tepat, hasilnya bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi jambatan yang menyatukan generasi.

Tahniah kepada penganjur yang berani membawa idea ini ke pentas besar.

Tahniah kepada Mawi yang kekal dengan keikhlasannya.

Tahniah kepada Ameng yang membuktikan vokalnya masih luar biasa.

Dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Jamal Abdillah, yang sekali lagi mengingatkan kita bahawa seorang penyanyi hebat tidak diukur pada usia, tetapi pada kemampuan menyentuh hati pendengarnya.

Konsert 3 Aura bukan sekadar sebuah persembahan.

Ia adalah malam yang mengingatkan kita bahawa lagu-lagu yang lahir daripada jiwa, akan sentiasa menemukan jalan pulang kepada pendengarnya.

Sebelum melabuhkan tirai catatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Mulia Tengku Puteri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Dato’ Dr. Meriam Almarhum Sultan Ahmad Shah, atas kesudian menjemput saya bersama Mahani untuk menikmati Konsert 3 Aura dari Royal Box. Juga kepada Datuk Inderana Abdul Razif Asmuni dan Datuk Maimunah Sargeant.

Ia bukan sekadar jemputan istimewa, tetapi satu pengalaman yang membolehkan kami menyaksikan sebuah persembahan yang benar-benar mengangkat martabat industri hiburan tanah air. Dari kedudukan yang cukup selesa itu, kami dapat melihat dengan jelas bagaimana ribuan penonton daripada pelbagai generasi bersatu menyanyi, bertepuk tangan dan meraikan muzik yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.

Sesungguhnya, malam itu menjadi lebih bermakna bukan hanya kerana persembahan hebat tiga bintang di pentas, tetapi juga kerana layanan penuh budiman daripada Tengku Puteri. Terima kasih atas penghormatan dan kenangan yang pastinya akan terus terpahat indah dalam ingatan.

Related posts

10 Selebriti Hollywood Tercantik Era 60-an

Afiza Kamarulzaman

CHARLY VAN HOUTEN & DALAM LINGKARAN YANG TERPILIH

Wirda Adnan

“Concussion” Southernwade

adminwm

Leave a Comment