Hiburan

Chris Pang, Justin Chien dan Lee Jae-yoon: Tiga Bintang Lelaki Di Sebalik Tarikan Drama THE SEASON Terbitan Viu

Apabila berbicara tentang siri drama premium Asia, sebuah kisah yang menarik bukan sahaja memerlukan elemen glamor dan penuh misteri — tetapi juga watak-watak yang mampu membuatkan penonton berasa dekat dan mirip dengan kehidupan sebenar.

Menambahkan lagi daya tarikan serta pesona kepada siri drama premium terbaharu Viu, THE SEASON, ialah tiga pelakon lelaki yang masing-masing membawa keunikan tersendiri ke layar kaca — Chris Pang, Justin Chien dan Lee Jae-yoon.

Berlatarbelakangkan dunia mewah golongan elit Hong Kong, THE SEASON membawa penonton menyelami kehidupan kelompok berpengaruh yang menganggap kuasa, kekayaan dan reputasi sebagai segalanya. Namun di sebalik imej sempurna yang dipamerkan, tersimpan rahsia, konflik dan pergolakan emosi yang tidak diketahui umum.

Diterbitkan oleh PCCW Media dengan kerjasama syarikat hiburan global SK Global, yang terkenal menerusi karya popular seperti Crazy Rich Asians, THE SEASON merupakan sebuah drama enam episod yang bakal ditayangkan secara global pada Jun 2026 menerusi Viu di Asia, Timur Tengah dan Afrika Selatan, Hulu di Amerika Syarikat serta NowTV di Hong Kong.

Siri ini mengikuti kisah keluarga berpengaruh Hext serta kehadiran Cola Pierce (lakonan Jessie Mei Li), seorang individu luar yang mula menggugat dunia golongan elit Hong Kong yang selama ini dikawal rapi.

Di sebalik kemewahan dan kehidupan eksklusif tersebut, tiga watak lelaki muncul sebagai karakter penting dalam perkembangan cerita — Andrew Fung, David Ho dan Jon Kim — yang masing-masing dilakonkan oleh Chris Pang, Justin Chien dan Lee Jae-yoon.

Bagi ramai penonton antarabangsa, Chris Pang bukanlah nama asing selepas mencuri perhatian menerusi wataknya dalam filem Crazy Rich Asians. Namun menerusi THE SEASON, Chris tampil dengan karakter yang jauh berbeza sebagai Andrew Fung — seorang lelaki yang tidak lagi menampilkan imej baik dan menyenangkan seperti yang pernah dilihat peminat sebelum ini.

Berkongsi tentang perbezaan antara kedua-dua wataknya, Chris menjelaskan bahawa watak Andrew Fung memberinya peluang untuk meneroka sisi lakonan yang lebih gelap.

“Dalam Crazy Rich Asians, saya memainkan watak sahabat baik yang mudah disenangi, watak yang lebih lembut dan merupakan lelaki yang baik. Tetapi dalam THE SEASON, saya sememangnya bukan watak yang baik,” kata Chris.

“Saya suka kerana dia adalah watak yang sukar disukai. Dia ialah karakter yang penonton bakal membenci, dan itu sangat menyeronokkan.”

Chris menyifatkan THE SEASON sebagai sebuah “Bridgerton versi moden yang berlatarbelakangkan Hong Kong” — sebuah dunia penuh kemewahan, drama dan percintaan, namun pada akhirnya tetap berpaksikan emosi manusia.

“Pada pandangan luar, ia mungkin kelihatan seperti sesuatu yang sukar dicapai dan menyeronokkan untuk ditonton. Tetapi di sebalik imej tersebut, mereka semua hanyalah manusia yang sedang berdepan pelbagai perkara dalam hidup,” jelasnya.

Jika Chris membawa sisi kompleks dan penuh konflik melalui watak Andrew Fung, Justin Chien pula memperlihatkan sisi berbeza menerusi wataknya sebagai David Ho.

Dikenali menerusi watak penuh aksi dalam The Brothers Sun, Justin sememangnya tidak asing dengan persembahan yang intens. Namun THE SEASON memberinya peluang untuk meneroka perjalanan emosi yang lebih mendalam dan bersifat peribadi.

“Dalam drama lain, anda boleh meluahkan kemarahan melalui aksi fizikal seperti tumbukan,” kongsi Justin.

“Tetapi untuk watak ini, David meluahkan semuanya terhadap dirinya sendiri.”

Justin menjelaskan bahawa wataknya membawa pelbagai konflik dan tanggungjawab peribadi, terutamanya sebagai seorang individu yang cuba menjadi contoh terbaik untuk anaknya.

Bagi Justin, cabaran utama bukanlah melibatkan aksi fizikal, tetapi bagaimana untuk menampilkan sisi rapuh serta kedalaman emosi watak tersebut.

Melengkapkan trio utama ini ialah pelakon Korea Selatan, Lee Jae-yoon, yang membawakan watak Jon Kim — karakter yang pantas menjadi antara kegemaran para pelakon.

Digambarkan oleh rakan-rakan pelakonnya sebagai seorang yang tenang dan positif, Jon Kim mewakili bentuk kekuatan yang berbeza dalam dunia penuh tekanan THE SEASON.

Berbeza daripada karakter lain yang dipacu oleh cita-cita atau agenda tersembunyi, daya tarikan Jon Kim hadir melalui keikhlasan serta kebolehannya kekal merendah diri walaupun dikelilingi dunia penuh rahsia dan jangkaan tinggi.

Bersama-sama, Chris Pang, Justin Chien dan Lee Jae-yoon membawa tiga tenaga berbeza ke dalam siri ini — seorang lelaki luar yang menawan tetapi penuh komplikasi, individu yang bergelut dengan konflik emosi, serta karakter yang menjadi tempat penonton meletakkan harapan.

Di sebalik kapal layar mewah, acara eksklusif dan gaya hidup penuh glamor, THE SEASON sebenarnya mengangkat sesuatu yang lebih dekat dengan kehidupan manusia — perjuangan, pilihan dan emosi yang tersembunyi di sebalik setiap imej yang dipaparkan kepada dunia.

Dengan gabungan barisan pelakon antarabangsa, karakter yang menarik serta jalan cerita penuh rahsia, percintaan dan perebutan kuasa, THE SEASON dijangka menjadi antara drama paling dinantikan di Viu tahun ini.

THE SEASON bakal ditayangkan secara global pada Jun 2026 menerusi Viu, Hulu (Amerika Syarikat) dan NowTV Hong Kong.

Related posts

CATATAN PERIBADI: ANTARA REALITI DAN SEBUAH DUNIA YANG PERNAH SAYA HUNI

Wirda Adnan

Open House of The Year; Bella Hanya Mahu Berkongsi, Jangan Ada Sangsi

Afiza Kamarulzaman

Zul Ariffin dalam Program Realiti Selebriti Bachelor

adminwm

Leave a Comment