kesihatan

Daripada Pemandiri ke Pemenang: Harapan, Kekuatan, dan Langkah Baharu Selepas Kanser Serviks

Mengupas pengalaman pemandiri, perjalanan pemulihan emosi, dan sokongan komuniti selepas rawatan kanser serviks

Di sebalik setiap statistik tentang kanser serviks, tersimpan kisah seorang wanita. Ada yang bergelar ibu, yang sedang membesarkan anak-anak kecil. Ada anak perempuan yang baru sahaja melangkah membina kerjaya. Ada juga yang isteri, kakak, dan sahabat. Bagi semua golongan wanita ini, bertahan daripada kanser serviks bukan sekadar menamatkan rawatan, bahkan juga tentang keberanian menghadapi perjuangan yang tidak dapat diluahkan, yang berlanjutan jauh lebih lama selepas lawatan ke hospital berakhir.

Sebagai seorang pakar onkologi, saya telah menyusuri perjalanan ini bersama ramai wanita. Saya bukan sahaja menyaksikan keberanian mereka, tetapi juga kepenatan yang berpanjangan, perubahan tubuh yang menjejaskan hubungan intim, serta ketakutan yang terpendam bahawa penyakit ini mungkin kembali berulang. Pemulihan yang sebenar bukan sekadar menghapuskan kanser daripada tubuh, tetapi tentang meraih semula kesihatan, maruah, dan kualiti hidup. 

Angka Hanya Menceritakan Sebahagian daripada Kisah

Menurut Kementerian Kesihatan, kes kanser serviks telah menurun sedikit, daripada 6.2 bagi setiap 100,000 wanita (2012–2016) kepada 6.0 (2017–2021)¹. Pada zahirnya, penurunan ini merupakan berita baik. Namun hakikat yang lebih sukar diterima ialah hampir separuh daripada wanita (47.1%) hanya didiagnosis apabila kanser telah mencapai peringkat lanjut², sekali gus menjadikan rawatan lebih rumit dan prognosis lebih buruk³, seperti yang dinyatakan oleh Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia. Pengesanan awal kekal sebagai cabaran terhebat dan juga peluang terbesar kita.

Pencegahan dan Pengesanan Awal Menyelamatkan Nyawa

Kanser serviks selalunya dapat dicegah dan sangat boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal. Kebanyakan kes berpunca daripada papilomavirus manusia (HPV)⁴, iaitu virus yang begitu lazim sehingga hampir semua individu yang aktif secara seksual akan terdedah kepadanya pada suatu ketika⁵. Perbezaannya terletak pada pencegahan: vaksinasi HPV, saringan berkala, serta pilihan gaya hidup sihat seperti tidak merokok, mengamalkan seks selamat, mengekalkan diet seimbang, dan bersenam secara berkala berpotensi menghentikan kanser sebelum ia bermula⁶.

Usaha seperti Program ROSE, yang membolehkan wanita untuk mengumpul sampel HPV mereka sendiri dan mengakses keputusan melalui telekesihatan, telah memperluas liputan saringan⁷. Jelas sekali, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi melaporkan bahawa liputan bagi wanita berusia 30 hingga 65 tahun meningkat hampir dua kali, daripada 23.1% pada 2019⁸ kepada 43.2% pada 2023⁸,⁹. Dengan kemajuan sedemikian, Malaysia sedang bergerak maju dengan mantap ke arah aspirasinya untuk menjadikan kanser serviks sebagai penyakit dalam lipatan sejarah menjelang tahun 2030.

Kehidupan Selepas Rawatan: Perjuangan Senyap

Bagi kebanyakan pemandiri kanser, tamatnya rawatan tidak membawa maksud berakhirnya perjalanan mereka. Kesan sampingan seperti keletihan, menopaus pramatang, masalah kencing, kekeringan vagina, penyempitan vagina, atau bengkak pada kaki boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian¹⁰. Selain fizikal, beban emosi boleh menjadi lebih berat, daripada perubahan pada imej tubuh, kesukaran dalam hubungan intim, hinggalah kepada ketakutan terhadap berulangnya penyakit.

Strategi daya tindak, penjagaan sokongan, dan perbualan terbuka adalah amat penting untuk membantu wanita bukan sahaja terus bertahan, tetapi juga kembali menjalani kehidupan sepenuhnya.

Memecahkan Stigma

Terlalu kerap, wanita dengan penyakit ini terpaksa berdepan dengan beban tambahan, iaitu stigma. Memandangkan penyakit ini sering dikaitkan secara salah hanya dengan tingkah laku seksual, ramai wanita berasa dihakimi, terasing, atau bahkan didiskriminasi di tempat kerja dan dalam komuniti mereka. Kesunyian masyarakat atau pesakit tentang isu ini boleh melambatkan diagnosis atau menghalang pemandiri kanser daripada mendapatkan sokongan yang diperlukan oleh mereka.

Untuk mengubah keadaan ini, perbualan terbuka dan sifat belas kasihan amat diperlukan. Keluarga, majikan, dan pemimpin masyarakat hendaklah mewujudkan ruang yang selamat untuk membolehkan wanita berasa diterima, difahami, dan disokong. Penyembuhan bukan sekadar bersifat perubatan, tetapi juga berorientasikan sosial dan emosi.

Peranan Keluarga dan Pasangan

Sokongan di rumah boleh mencetuskan perbezaan yang besar. Suami dan pasangan yang menggalakkan vaksinasi, saringan berkala, dan tabiat hidup sihat sering memainkan peranan penting dalam pencegahan. Semasa tempoh pemulihan, langkah kecil seperti menghadiri janji temu susulan bersama-sama hinggalah kepada memberikan galakan atau mengubah gaya hidup sebagai sebuah keluarga, mampu memberikan kekuatan dan keyakinan.

Masa Depan dengan Pilihan yang Lebih Baik

Rawatan perubatan juga kini semakin maju. Untuk penyakit pada peringkat awal, pembedahan selalunya boleh menyembuhkan. Dalam kes yang lebih lanjut, kemoterapi dan radioterapi kekal sebagai rawatan standard, kadangkala diikuti dengan brakiterapi (brachytherapy)¹¹. Namun, pendekatan baharu seperti terapi bersasaran dan imunoterapi memberikan harapan serta pilihan baharu kepada wanita dengan kanser berulang atau yang berada pada tahap lanjut.

Daripada Bertahan kepada Berkembang Maju

Penyakit ini tidak semestinya menentukan hala tuju hidup seorang wanita. Dengan kesedaran, pencegahan, pengesanan awal, dan sokongan, ramai wanita mampu meneruskan kehidupan yang sepenuhnya dan sihat.

Bagi para pemandiri kanser, pemulihan membawa makna lebih daripada sekadar terus bertahan. Hakikatnya, pemulihan membawa pengertian mendapatkan kembali kesihatan, keyakinan, dan maruah, serta kesedaran bahawa mereka tidak keseorangan. Dengan penjagaan yang sesuai dan sokongan komuniti, wanita bukan sahaja boleh melangkah melangkaui tahap bertahan malah juga benar-benar berkembang maju.

Setiap wanita berhak meraih peluang itu.

Rujukan:

  1. National Cancer Registry, Malaysia. Malaysia National Cancer Registry Report 2012-2016. Ministry of Health Malaysia; 2019. Available from: http://nci.moh.gov.my.
  2. National Cancer Registry, Malaysia. Malaysia National Cancer Registry Report 2017-2021. Ministry of Health Malaysia; 2022. Available from: http://nci.moh.gov.my.
  3. National Cancer Institute. SEER Cancer Stat Facts: Cervical Cancer. SEER.gov. Updated April 15, 2022. Accessed August 22, 2025. https://seer.cancer.gov/statfacts/html/cervix.html 
  4. Noor Mohamad NA, Omar J. Cervical cancer in Malaysia. J Obstet Gynaecol. 2024;50(S1):49-54. doi:10.1111/jog.16031.
  5. Kumar A, Nayar KR. COVID 19 and its mental health consequences. J Ment Health. 2020;29(4):1-2. doi:10.1080/09638237.2020.1757052. Published 2020 Apr 20. Accessed August 22, 2025.
    Kessler TA. Cervical cancer: prevention and early detection. Semin Oncol Nurs. 2017;33(2):172-183. doi:10.1016/j.soncn.2017.02.005. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7062568/
  6. Woo YL, Khoo SP, Gravitt P, Hawkes D, Rajasuriar R, Saville M. The implementation of a primary HPV self-testing cervical screening program in Malaysia through Program ROSE—lessons learnt and moving forward. Curr Oncol. 2022;29:7379-7387. doi:10.3390/curroncol29100579.
  7. Ministry of Health Malaysia. Press statement: Publication of the Summary of the Malaysia National Cancer Registry Report 2017-2021. Ministry of Health Malaysia; 2024.
  8. Institute for Public Health (IKU). National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023: NonCommunicable Diseases and Healthcare Demand: Technical Report; 2024.
  9. Palagudi M, Para S, Golla N, et al. Adverse effects of cancer treatment in patients with cervical cancer. Cureus. 2024;16(2):e54106. doi:10.7759/cureus.54106
  10. Zhou, Y.; Rassy, E.; Coutte, A.; Achkar, S.; Espenel, S.; Genestie, C.; Pautier, P.; Morice, P.; Gouy, S.; Chargari, C. Current Standards in the Management of Early and Locally Advanced Cervical Cancer: Update on the Benefit of Neoadjuvant/Adjuvant Strategies. Cancers 2022, 14, 2449.
    https:// doi.org/10.3390/cancers14102449 

Dr Hafizah Zaharah binti Ahmad, Pakar Onkologi Klinikal, Sunway Medical Centre Velocity

Related posts

MENGAPA PERLU  MEMBERI TUMPUAN KEPADA KESEJAHTERAAN MENTAL LELAKI SEKARANG?

adminwm

Penemuan Terbaru Rawatan Kanser Prostat dengan Perubatan Nuklear

adminwm

Sumac – Betulkah Sumac Boleh Menghilangkan Pelbagai Penyakit Penyakit?

admin

Leave a Comment