Cerita Artist

3 Nota Cinta Yang Bakal Memikat Hati Sharifah Rose

Pasangan ini utuh bersama di usia emas walaupun diuji dengan penyakit Alzheimer, dan nota-nota cinta yang ditulis pada waktu muda menjadi penghubung kasih. Alisa mencemburui cinta romantis antara datuk dan neneknya tapi dia sukar mendamping lelaki. Ibunya sendiri menanam benih benci pada lelaki dalam hatinya. Apabila Zain berusaha memikat hati Alisa dengan nota-nota cintanya, adakah Alisa akan membuka pintu hatinya?

Terbaru di slot Akasia, 3 Nota Cinta yang menggandingkan Ashraf Muslim dan Sharifah Rose akan menemui penonton TV3 bermula hari ini (14 Februari 2022), setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQiyi pada hari yang sama selepas siaran di TV3.

Drama bersiri 14 episod ini diterbitkan oleh Orangetree Production, diarahkan oleh Emi Suffian, nukilan skrip oleh Amin Shakib, Ib Nawawi, Adib Zaini, Nana Khalil dan Azril Hamzah serta menampilkan pelakon – pelakon popular Malaysia seperti Ashraf Muslim, Sharifah Rose, Afifah Nasir, Wani Kayrie, Muaz Fitri, Zila Bakarin, Dato Jalaluddin Hassan, Aznah Hamid dan ramai lagi.

3 Nota Cinta mengisahkan Alisa (Sharifah Rose) sering menjadi mangsa kemarahan ibunya, Sofea (Zila Bakarin) selepas bapanya Razak (Khairil Anwar Aman) meninggalkan mereka tanpa khabar berita pada beberapa tahun lalu. Sofea terpaksa menebus fasakh sehingga terjatuh talak ketiga. Keluarga Alisa hancur dan sikap Sofea juga berubah secara drastik. Sofea menjadi pemarah dan mula mengongkong kehidupan anak-anaknya yang belum berkahwin. Hubungan Sofea dengan ibu bapanya, Bahar dan Aminah juga menjadi tegang apabila Sofea menganggap merekalah punca utama Razak bertindak meninggalkannya.

Bahar mula menunjukkan tanda-tanda pelupa dan kadang-kala tidak dapat menguruskan diri. Setelah disahkan mengidap penyakit Alzheimer, nota-nota cinta yang ditulis olehnya dalam bahasa jawi menjadi memori paling indah buat Aminah. Alisa kagum dengan cinta utuh datuk dan neneknya yang masih setia bersama walaupun diuji dengan pelbagai insiden. Namun, Alisa tidak menaruh harapan dan tidak percaya akan wujudnya lelaki yang baik seakan datuknya dalam hidupnya.

Satu hari, Alisa telah membawa Bahar dan Aminah makan di sebuah kedai. Dalam keadaan huru-hara untuk menguruskan Bahar, Zain (Ashraf Muslim) tampil menghulurkan bantuan. Zain cuba sedaya upaya untuk berkenalan dengan Alisa selepas pertemuan tersebut. Berdasarkan kad nama yang diberi oleh Aminah, Zain cuba mendekati Alisa dengan pertolongan Aminah, nenek Alisa.

Akhirnya, Zain berjaya menghubungi Aminah dan dipelawa ke rumah. Aminah ingin menjodohkan Zain dan Alisa. Zain teruja untuk berkenalan dengan Alisa akan tetapi, Sofea mula bersikap dingin terhadap mereka. Sofea pernah memberi amaran keras kepada Alisa supaya tidak jatuh cinta pada mana-mana lelaki. Bagi Sofea, perkahwinan hanya akan membawa penderitaan.

Setelah mengetahui Alisa pandai menulis puisi, Zain mengambil peluang meminta tolong Alisa meneliti lirik lagunya. Sebagai seorang pencipta lagu, Zain masih menunggu peluang untuk memperkenalkan karyanya kepada umum. Alisa menjumpai buku-buku nota milik datuknya yang mengandungi puisi dan kisah cinta Aminah dan Bahar.  Kebolehan Zain untuk membaca tulisan jawi juga menolong Alisa memahami ayat-ayat cinta nukilan datuknya. Lama-kelamaan, Alisa mula jatuh cinta dengan kebaikan Zain yang juga sangat prihatin dengan datuknya yang semakin uzur.

Aminah memujuk Alisa untuk menerima Zain sebagai suaminya. Alisa menjadi serba salah kerana bantahan keras daripada ibunya. Malahan, kakaknya Abby (Afifah Nasir) juga menaruh perasaan pada Zain dan cuba memikat lelaki itu. Akhirnya, Zain dan Alisa bakal disatukan. Dengan bantuan Aminah dan Bahar, mereka berusaha menjejaki Razak untuk memintanya menjadi wali.

Kehadiran Razak di majlis nikah Alisa mencetuskan kemarahan Sofea sehingga terjadinya insiden Bahar terpaksa dikejar ke hospital. Majlis terpaksa berhenti seketika. Ayah Zain, Datuk Hashim yang tidak bersetuju dengan pilihan anaknya juga beredar dari majlis kerana beranggapan keluarga Alisa tidak setaraf dengan mereka. Malahan, pertelingkahan besar juga terjadi di antara Zain dan ayahnya. Kejadian aib dan kekecohan terjadi pada Zain dan Alisa di hadapan tetamu yang hadir. Zain memujuk Alisa untuk teruskan hidup bersama keluarga yang sedang punah di hadapan mata mereka. Pelbagai dugaan mula menerpa setelah mereka bergelar suami isteri. Apakah bakal berlaku seterusnya?

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan 3 Nota Cinta bermula 14 Februari 2022, setiap hari Isnin hingga Jumaat, 7.00 malam menerusi slot Akasia di TV3 dan perkhidmatan penstriman iQiyi. Drama bersiri ini akan tersedia sejam kemudian pada hari yang sama di seluruh Malaysia. Ia juga disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di mana penonton boleh mengakses secara percuma pada bila-bila masa melalui www.iQ.com/local atau muat turun aplikasi iQiyi di App Store dan Play Store. Pelanggan VIP akan dapat mengakses kemudahan VIP Express iQiyi bagi drama 3 Nota Cinta yang membolehkan penonton untuk menonton episod terkini 1 jam selepas tayangan di TV3 manakala pengguna percuma dapat menonton 48 jam selepas.

Related posts

Aina Abdul Bijak Melawan Arus Dalam Penampilan

admin

Hong Kong Mesra Muslim

adminwm

Leave a Comment