Benang disulam menjadi kain,
Dijahit indah penuh makna;
Warisan lama jangan diceraikan,
Kerana di situlah asal bangsa.
Jika rumah runtuh terlihat batu,
Jika bangsa hilang terlihat bahasa;
Namun apabila pakaian tidak lagi dipeduli selalu,
Sedikit demi sedikit hilanglah budaya.
Apa yang kita simpan di dalam almari baju kita hari ini? Ya, kita simpan pelbagai jenama antarabangsa, helaian terkini dari pentas fesyen, dan pakaian yang mengikut trend semasa. Namun di sudut tertentu, tersimpan juga pakaian yang jauh lebih berharga daripada apa sahaja label mewah yang boleh dibeli.
Ia mungkin sehelai baju Melayu milik emak dan ayah yang pernah dipakai pada pagi Syawal puluhan tahun dahulu. Atau samfu dan cheongsam yang mengingatkan keluarga kepada perjalanan nenek moyang yang merantau jauh meninggalkan tanah asal mereka. Bagi sesetengah keluarga India, sari yang diwariskan oleh seorang ibu kepada anak perempuannya. Dan veshti dan sattai yang menjadi lambang penghormatan yang diwariskan dari satu generasi ke satu generasi.
Pakaian-pakaian ini bukan sekadar kain yang menutupi tubuh.
Ia adalah sejarah yang boleh disentuh.
Ia adalah warisan yang boleh dipakai.
Ia adalah identiti yang hidup.
Samfu: Membawa Bersama Kenangan Perantau
Apabila masyarakat Cina berhijrah ke Tanah Melayu lebih satu abad yang lalu, mereka bukan sahaja membawa harapan untuk kehidupan yang lebih baik. Mereka juga membawa bahasa, adat, kepercayaan dan cara berpakaian mereka.


Antara warisan yang masih kekal sehingga hari ini ialah samfu dan cheongsam. Samfu dan Cheongsam mewakili dua sisi dalam warisan pakaian masyarakat Cina. Samfu hadir sebagai pakaian harian yang sederhana dan praktikal — longgar, selesa, dan dekat dengan kehidupan kerja serta rutin seharian. Ia mencerminkan kesederhanaan yang tidak berlebihan, tetapi jujur pada fungsi dan kehidupan sebenar. Dengan potongan yang sederhana dan selesa, samfu menjadi pakaian harian masyarakat Cina pada suatu ketika dahulu. Ia mencerminkan nilai kesederhanaan, disiplin dan penghormatan terhadap tradisi keluarga.

Cheongsam pula membawa bahasa yang berbeza — lebih halus, lebih terancang, dan sarat simbol keanggunan. Dengan potongan yang mengikuti bentuk tubuh dan detail yang sering dihiasi sulaman atau fabrik mewah, ia menjadi pakaian yang hadir untuk momen-momen penting; perayaan, majlis, dan ruang di mana estetika dan identiti dipamerkan dengan penuh keyakinan.
Hari ini, samfu dan cheongsam kurang dilihat ketika sambutan Tahun Baharu Cina atau acara kebudayaan. Namun setiap kali ia dipakai, ia mengingatkan generasi baharu bahawa identiti mereka dibina di atas pengorbanan dan perjalanan panjang generasi terdahulu.
Sari: Keanggunan Yang Tidak Pernah Pudar
Sari kekal sebagai antara pakaian paling ikonik di dunia. Sehelai kain yang kelihatan sederhana mampu berubah menjadi simbol keanggunan, kekuatan dan kewanitaan apabila dililit dengan penuh seni.

Sejak ribuan tahun lalu, sari menjadi sebahagian daripada kehidupan wanita India. Setiap warna, motif dan tenunan mempunyai makna tersendiri. Ada yang melambangkan kemakmuran, kasih sayang, keberanian atau status keluarga.
Lebih daripada itu, sari sering menjadi jambatan emosi antara generasi. Ia diwariskan, dijaga dan dipakai semula, membawa bersama kenangan mereka yang pernah memakainya.
Veshti dan Sattai: Martabat Yang Dijunjung

Bagi lelaki India, veshti dan sattai bukan sekadar pakaian tradisional. Ia melambangkan penghormatan terhadap keluarga, budaya dan nilai kehidupan yang diwarisi sejak turun-temurun.
Dalam pelbagai upacara penting, daripada majlis keagamaan sehingga perkahwinan, veshti dan sattai terus menjadi pilihan kerana ia mencerminkan kesederhanaan yang penuh martabat. Walaupun dunia semakin moden, pakaian ini terus mengingatkan bahawa kemajuan tidak semestinya memerlukan kita melupakan akar budaya sendiri.
Baju Melayu: Simbol Adab dan Jati Diri
Bagi masyarakat Melayu pula, baju Melayu bukan sekadar pakaian kebangsaan.
Ia adalah lambang adab. Ia adalah simbol kesopanan. “Warisan bukan sekadar disimpan di muzium. Ada warisan yang masih hidup, berjalan bersama kita, dan dipakai dengan penuh bangga.”

Sejarahnya boleh ditelusuri sejak zaman Kesultanan Melayu apabila tata cara berpakaian menjadi sebahagian daripada budaya dan sistem sosial masyarakat Melayu.
Keistimewaan baju Melayu terletak pada kemampuannya merentasi zaman. Dari kanak-kanak yang baru belajar mengenakan samping hingga warga emas yang masih setia dengan songkok dan baju Melayu mereka, pakaian ini terus hidup dalam kehidupan masyarakat.
Empat pakaian ini — samfu, cheongsam, sari dan baju Melayu — tidak sekadar berbeza bentuknya, tetapi menyimpan empat cara berbeza bagaimana masyarakat memahami tubuh, ruang dan identiti. Satu sederhana, satu elegan, satu ritual, satu beradab; namun semuanya bertemu pada satu titik yang sama: warisan yang masih bernafas dalam kehidupan moden Malaysia. Tidak banyak pakaian tradisional di dunia yang masih dipakai secara meluas oleh seluruh lapisan usia seperti mana baju Melayu.
Mengapa Kita Perlu Berbangga?
Kita sering bercakap tentang memelihara bangunan bersejarah, manuskrip lama dan artifak warisan. Tetapi warisan yang paling dekat dengan kita sebenarnya ialah apa yang kita pakai. Apabila samfu, cheongsam, sari, veshti, sattai dan baju Melayu, kurung dan kebaya tidak lagi dikenali oleh generasi muda, yang hilang bukan sekadar fesyen.
Yang hilang ialah kisah penghijrahan, cerita keluarga, kemahiran menenun, seni jahitan dan memori sebuah bangsa. akaian tradisional memberi kita sesuatu yang tidak boleh ditiru oleh sesiapa.
Identiti.
Dan identiti adalah kemewahan paling bernilai yang boleh dimiliki oleh sesebuah bangsa. Kerana fesyen mungkin berubah mengikut zaman. Tetapi warisan adalah akar yang memastikan kita tidak pernah lupa dari mana kita datang.
“Warisan bukan sekadar disimpan di muzium. Ada warisan yang masih hidup, berjalan bersama kita, dan dipakai dengan penuh bangga.” — Wirda Adnan
