Dalam landskap makanan dan minuman yang semakin kompetitif, tidak semua jenama mampu bertahan apatah lagi berkembang dengan identiti yang jelas. Namun bagi BIENZ, jenama restoran hidangan pizza premium tempatan yang diasaskan oleh sebuah keluarga, perjalanan setahun ini membuktikan bahawa gabungan visi, keberanian dan konsistensi mampu mencipta tempat tersendiri di hati penggemar makanan.
Menandakan ulang tahun pertamanya, BIENZ melakar satu lagi pencapaian penting dengan pembukaan cawangan kedua di IOI Conezion, Putrajaya, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pizza A5 Wagyu yang semakin viral dan mendapat perhatian ramai.

Pembukaan cawangan baharu ini bukan sekadar perluasan fizikal, tetapi langkah strategik untuk mendekatkan BIENZ dengan pelanggan di luar Kuala Lumpur. Dikenali dengan penggunaan daging Wagyu A5 premium dari Jepun serta sourdough buatan sendiri, mereka dihasilkan sekitar 300 adunan setiap hari. BIENZ kini menawarkan pengalaman yang sama dalam ruang yang lebih luas dan mesra keluarga.


Restoran yang direka untuk menampung sehingga 150 pelanggan pada satu-satu masa, cawangan di Putrajaya ini tampil dengan suasana santai namun eksklusif, sesuai untuk pelbagai acara daripada makan bersama keluarga, pertemuan rakan-rakan hingga ke majlis korporat kecil.
Menurut Pengasas Bersama BIENZ, Raffli Jamir, pemilihan Putrajaya dibuat setelah menilai potensi kawasan tersebut sebagai hab perniagaan dan komuniti yang menghargai kualiti makanan serta perkhidmatan.
“Fokus kami adalah memberikan pengalaman yang sama dari segi rasa dan servis, tetapi dalam ruang yang lebih besar dan selesa,” jelas beliau.
Menu Inspirasi Barat, Masih Selera Tempatan
Ditubuhkan dengan semangat untuk memperkenalkan pizza premium berteraskan citarasa tempatan, BIENZ kini melangkah ke fasa seterusnya. Sempena ulang tahun pertamanya, jenama ini mengumumkan perancangan untuk membuka sehingga 10 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan tumpuan awal di Lembah Klang sebelum berkembang ke negeri-negeri lain.

Bagi memastikan konsistensi, BIENZ telah melabur dalam dapur pusat di Kuala Lumpur, lengkap dengan sistem kawalan kualiti bagi penyediaan doh dan bahan mentah ke semua cawangan. Pendekatan ini mencerminkan komitmen BIENZ terhadap piawaian rasa, kebersihan dan pengalaman pelanggan.
Selain pizza A5 Wagyu yang menjadi menú signatur, BIENZ turut menawarkan menu lain yang semakin digemari pelanggan seperti Wagyu Pizza, creamy buttermilk pasta, tiramisu serta pilihan minuman seperti matcha strawberry, tiramisu latte dan peach tea. Setiap resipi diadun dengan ramuan berkualiti dan teknik eksklusif, tanpa alkohol dan dengan kadar kopi yang rendah.
Walaupun masih dalam proses mendapatkan pensijilan halal rasmi, BIENZ menegaskan bahawa semua bahan mentah yang digunakan adalah halal dan penyediaan dipantau rapi.
