EYE MEGAYA HIDUP

Orang Cantik Tidak Semestinya Baik, Orang Baik Akan Sentiasa Nampak Cantik

Teman datang dalam mimpi untuk beberapa kalinya. Lantaran warkah kali ini sebagai pengubat rindu yang teramat kepadanya, Alfatihah.

“Wirda kalau I pergi dulu, you jaga kesihatan you baik-baik, jaga Hisham juga. You berdua kawan dunia akhirat. You both meant a lot to me.”

Lalu tangan saya digenggamnya erat. Wirda, Hisham, rasanya I tak lama, tapi I akan pergi dengan mata yang tertutup rapat. Menyaksikan pernikahan dan persandingan Tab dengan pasangannya seminggu yang lalu adalah hari yang amat-amat menyeronokkan I. I  kira itulah saat paling I nantikan selepas hari kelahirannya. Cuma kelahirannya dulu tidaklah disambut meriah sebagaimana majlis persandingannya sebab ayahanda tidak bersama. Begitupun dia tetap mendapat kasih ayah, dan mendapat didikan di kolej terbaik di luar negara, Syukur.

Entah mengapa di katil hospital hari itu teman seolah mahu melepaskan semuanya. “Bila suami isteri berpisah jangan sesekali melibatkan anak-anak. Jangan bercerita pengalaman buruk dan jaja kisah di dalam kelambu, baik yang menyeronokkan jauh sekali yang buruk terutama kepada anak sendiri. Mengapa? Kerana itu adalah hal peribadi bukan untuk dijual dan memualkan. Supaya anak tidak menaruh dendam terhadap ayah, dan kalau pun dia tidak sayang tetapi tetap hormat kepada ayahnya. Yang bergaduh kita dan mengapa anak diheret atau dijadikan mangsa?

“Jangan burukkan sesiapa pun waima isteri barunya, jauh sekali ibu ayahnya sama ada masih hidup atau mati. Jangan cuba memisahkan mereka, tanggung jawab bapa masih ada, dan kalau anak bersama suami, helo tanggung jawab sang ibu masih besar kepada anaknya. Jangan biarkan sang ibu menderita kerinduan kepada anak-anaknya hanya kerana kamu mendapat hak penjagaan dan kerana kamu orang besar, dan berkuasa. Sebesar mana pun sedekah kamu kepada dunia sekalipun, kalau ini tidak dijaga, ke neraka juga.

“Bercerita ni, I lupa derita sakit yang dialami. Actually the pain is unbareable,” bisiknya. “Tapi dek kerana jiwa ini sungguh tenang, dada lapang, risau pun hilang. I menjadi kuat untuk menerima takdir. I seolah nampak wajah-wajah cucu yang bakal menyinari rumah tangga mereka. I nampak yang anak lelaki I sudah settle. Untuknya mengambil langkah besar meninggalkan zaman bujangnya menjadi seorang suami dan memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, amat menggembirakan diri ini. Bangga dan puas sekali. Pastinya dia sudah bersedia memikul tanggung jawabnya itu. Ibu mana yang tidak risau bila seorang demi seorang dia tinggalkan atau meninggalkan dia. Tad pernah menangis di riba ibunya ini kerana ditinggalkan kekasih. Dia pernah terpaling sedih bila kekasih hati mendapat kekasih baru yang diakuinya sendiri, “siapalah Tad dibandingkan dengan lelaki yang dicintai oleh kekasih hatinya.” Memberitahu si ibu, “sudah dia suka kepada my own cousin and he can provide her with big wealth, and who am I to fight against him? Ma, I let her go with an open heart.”

“Tad kata dia tidak mahu bergaduh, dia tidak mahu marah malah melepaskan dengan tenang dan berdoa ‘pasangan baru’ mendapat jodoh. Dan I sebagai ibu berasa sungguh bangga, yes i am so proud, he is such a gentleman. Tidak seperti banyak lelaki yang akan menjerit, memaki hamun, menyumpah seranah tidak akan senang dunia akhirat. You know Wirda, I rasa I berjaya mendidiknya menjadi seorang yang budiman, yang percaya kepada qada dan qadar. Bila tidak ada jodoh dengan seseorang yang kamu cintai itu tandanya Allah menyediakan yang lebih baik lagi daripada apa yang kita pilih. Allah tidak memberikan kita jodoh yang sempurna tetapi Allah memberikan jodoh yang menyempurnakan kita.”

“Masa Tad cakap begitu, hati I berbunga. I gembira kerana I tahu anak I seorang yang cukup matang dan menerima perancanganNYA. Dan DIA yang Maha Berkuasa kemudian menjodohkan anakanda I dengan wanita yang bukan sahaja rupawan lagi menawan, bahasa tepatnya beauty with brain plus you know siapa orang tuanya dan ahli keluarganya.”

Mengenang kembali cerita-ceritanya sebelum dia pergi buat selamanya, menginginkan saya menitipkan lagi nasihatnya. “Yang I impikan dalam hidup, seorang lelaki yang menyambut tangan kita dengan lembut, tidak mengasari luaran dan batiniah. Seorang suami yang menjadi pelindung. Bila diri dihina dikeji, suami bukan lari tetapi menjadi saksi keadilan. Suami memberi keutamaan kepada ahli keluarga terutama anak dan isteri. I tahu mentaati ibu bapa wajib pada lelaki terutamanya, tetapi itu tidak bermakna isteri diketepi dan ditinggalkan, dan berlari bila mak ayah menghubungi sedangkan isteri pada waktu sama sakit. Tidak betul cara itu.”

Menjaga silaturahim amat penting dalam setiap keluarga. Isteri dan suami tidak boleh celupar bukan sahaja pada mak ayah mertua tetapi kepada adik beradik dan saudara maranya juga. Melepaskan amarah dan mengata ibu bapa melalui adik beradiknya bererti you are telling it directly to them, cuma tidak bertentang mata, dan ini namanya amat kurang ajar. Ramai menantu tidak sebulu dengan mertua, atas apa juga alasan, sikap kurang ajar ini tidak sepatutnya dimiliki. Andai menantu bukan pilihan mertua, terbaik jangan mencurahkan lagi minyak ke api, ia akan menyala dan lagi bahaya. Diam cara terbaik dan jaga suami serta anak-anak dengan baik. Jangan pula lepaskan dendam di fb, ig. Memang kamu cari maut.

Suami sakit, siapa yang sepatutnya menjaganya? Bukankah isteri? Atau isteri sakit, siapa yang wajib menjaganya? Sudah tentu suami. Ada isteri merasakan beban kerana menanggung biawak hidup, lalu dicampak balik ke rumah ibunya. Ada suami bila isteri sakit, waktu itulah juga dia mencari pengganti dan kahwin lagi untuk memenuhi nafsu syahwatnya. Adakah ini adil?

Sakit, teman hanya sekali memberitahu hal kesihatannya, kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa pun. Ada ketumbuhan di dalam perutnya tetapi dia tidak mahu berkongsi banyak, katanya biar dia uruskan dengan pakar sahaja. Kerana dia tidak mahu menyusahkan hati ibunya, adik beradik, kawan dan keluarga terdekat. Selagi sakit boleh dikawal, serahkan kepada doktor untuk dirawat dan berserah kepada yang Maha Berkuasa, kerana di tanganNYA yang menentukan hidup mati.

Yang menarik dia akan berusaha menunjukkan dia kuat, dia sihat, lalu kadang ada juga mengambil kesempatan. Janjinya pada diri sebelum dia pergi, dia mahu menolong sebanyak orang, kalau tidak dengan wang ringgit, masih banyak cara dia boleh membantu. Ketika dia nyenyak tidur, kadang dikejutkan hanya untuk mendengar kesepian teman, sedangkan dirinya sendiri sepi dan selalu bermandi airmata yang membasahi bantal peluknya. Kadang di tengah dia sendiri kepayahan mencukupkan wang untuk membayar sewa pejabat dan gaji pekerja, dan dia sendiri terpaksa mencatu untuk tidak berbelanja, tetapi kerana percaya berbudi akan mendapat ganjaran yang lebih, dia tidak takut menyerahkan wang itu kalau yang meminta dirasanya terlebih memerlukan berbanding dia. Dia sendiri tidak membeli barangan berjenama kerana padanya bahagian wang itu boleh dibagikan pada rumah anak yatim untuk mengurangkan beban makan minum di sana.

Sungguh murni hatinya, membuat saya tidak sedetik pun lupa akan dia yang telah banyak menitipkan pedoman hidup yang baik. Kami tidak sering berjumpa tetapi hati masing-masing berasa terlalu dekat. Dan kami saling menghormati kerana ada batas-batas persahabatan yang mesti dijaga.

Dan setiap kali teringatkan dia, terngiang ungkapan yang dia suka petik daripada kata hikmah Sayyidina Ali bin Abi Thalib, “Jangan membenci siapapun, tak peduli seberapa banyak kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu. Hiduplah dengan rendah hati, tak peduli seberapa banyak kekayaanmu. Berpikirlah positif, tak peduli seberapa keras kehidupan yang kamu jalani. Berikanlah banyak, meskipun menerima sedikit. Tetaplah menjalin hubungan dengan orang-orang yang telah melupakanmu, maafkanlah orang yang berbuat salah padamu, dan jangan berhenti mendoakan yang terbaik untuk orang yang kau sayangi. “

“Wirda I mahu you tulis semua ini, kerana dalam dunia yang kian menjadi kurang ajar ini, orang bertindak di luar kemanusiaan. Jika di rumah dia sendiri bercakaran, tidak saling bersamaan dalam urusan rumah tangga malah mengenepikan tanggung jawab masing-masing, bagaimana mungkin boleh menjadi pemimpin di pejabat jauh sekali masyarakat. Ramai, konon dialah pemimpin masyarakat yang terpaling baik sedangkan apa yang dibuat adalah memporak perandakan malah merobohkan keharmonian.”

Bulan Oktober, dipilih sebagai (Breast Cancer Awareness — Pink October) tetapi banyak pihak kini menggunakan peluang untuk memberi kesedaran kepada penyakit kanser jenis lain juga). Difahamkan 4 Februari adalah World Cancer Day). Kehadiran bulan ini membuat saya sendu lagi rindu, dia juga menderita kanser dan kerana tidak dapat diubat lagi, akhirnya dia menyahut panggilan Ilahi. Allah lebih sayang dia.

Minggu lalu, saya singgah ke Tanah Perkuburan Kiara. Melepaskan rindu kepada keduanya; pada teman yang pergi terlebih dahulu daripada arwah suami. Sewaktu arwah masih hidup, kami sering juga menziarahi kubur dan menaburkan mawar kerana dia paling senang mawar kuning dan setiap meraikan harijadi  kami, dia tidak pernah lupa menghantar jambangan mawar kuning. Al Fatihah buat keduanya, semoga tenang di sana dan sehingga kita semua berjumpa di Jannah nanti.

“Beautiful people are not always good but good people are always beautiful.” – Ali bin Abi Thalib

Related posts

KUIH KOCI

adminwm

Manggis – Lemak Manis

admin

BIASISWA SISWI SAFI MENYOKONG WANITA MALAYSIA MEMACUMASA DEPAN

adminwm

Leave a Comment