COVER STORY

Sara J-The Woman You Think You Know, but Don’t.

“Di Sebalik Warna Hitam, Ada Merah Jambu. Di Sebalik Runway, Ada Buku-Buku.”

Sara J dan Sara Jamaludin sebenarnya dua entiti yang berbeza. Saya adalah orang pertama di Malaysia yang menggunakan inisial nama sebagai jenama pada 2014. Ia bermula secara spontan; rakan-rakan memanggil saya ‘Sara J’ sebagai singkatan nama dan tanpa disangka, panggilan itu kekal hingga kini sebagai identiti fesyen saya.

Namun, di sebalik jenama Sara J, karakter sebenar saya sering bercanggah dengan persepsi orang. Saya gemar mengejutkan orang dengan sisi yang tidak mereka sangka. Malah, saya biasanya menonjolkan sisi kurang baik dahulu supaya apabila sisi baik saya terlihat, ia menjadi satu kejutan yang menyenangkan buat mereka yang benar-benar penting dalam hidup saya.

Walaupun dikenali dengan gaya berani dan dominan; saya ada satu ‘rahsia kecil’ yang saya jarang akui secara terbuka: selain hitam, saya sebenarnya menyukai warna merah jambu. Ini kali pertama saya mengakuinya secara umum dan mungkin sedikit meruntuhkan imej ‘fierce’ yang sering dikaitkan dengan diri saya selepas ini. Lol.

Selain fesyen, kecintaan saya yang paling lama ialah terhadap ilmu. Sejak sekolah rendah, saya obses dengan buku. Jika diberikan RM100,000 untuk dibelanjakan, destinasi pertama saya tetaplah kedai buku, menambah koleksi peribadi saya sebelum saya memikirkan perkara lain. Sehingga hari ini, saya memiliki hampir 300 buah buku, atau mungkin lebih, saya perlu mengira semula kerana koleksinya semakin bertambah.

Keluarga dan Pendidikan Sara J

Saya dibesarkan dalam keluarga yang penuh warna. Ibu bapa saya berpisah ketika saya berusia tujuh tahun dan pada usia sembilan tahun, hadir seorang lelaki yang akhirnya saya anggap sebagai ayah sebenar saya, walaupun hakikatnya beliau ialah bapa tiri. Ramai yang tidak tahu kerana beliau sendiri tidak mahu membezakannya. Bagi beliau, saya adalah anaknya. Noktah. Dan bagi saya, beliau adalah seorang ayah dalam erti kata sebenar yang menjaga ibu dan keluarga kami dengan penuh kasih sayang sejak dahulu hingga kini.

Hubungan saya dengan ibu pula unik. Dahulu kami ibarat Tom dan Jerry, sering bercakaran tetapi semakin saya meningkat dewasa, hubungan itu berubah menjadi persahabatan sejati. Ibu adalah sahabat baik saya, tempat saya berkongsi segala-galanya dan insan yang sanggup saya korbankan nyawa untuknya. Beliau telah berkorban begitu banyak demi saya dan keluarga. Jika diberi pilihan antara wang dan anak-anak, ibu saya tidak pernah ragu untuk memilih kami, walau terpaksa bekerja keras untuk membesarkan kami. Doa terbesar saya ialah agar beliau dikurniakan umur panjang dan kesihatan yang baik, supaya saya sempat membalas segala pengorbanan dan menebus segala kesakitan kepala yang saya pernah berikan ketika zaman remaja.

Dari segi pendidikan, perjalanan saya juga penuh dengan ironi. Pada usia 18 tahun, saya pernah ditawarkan pekerjaan sebagai pramugari oleh sebuah syarikat penerbangan gergasi, namun ibu menolak. Katanya, saya perlu menyambung pelajaran dan akhirnya saya menurut. Hakikatnya, walaupun saya sering memberontak dahalu, entah mengapa saya tetap mendengar kata ibu. Jadi, saya melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen di UiTM.

Tahun ini pula, saya menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di universiti yang sama. Dua bidang yang begitu bertentangan iaitu fesyen dan undang-undang; mencerminkan watak saya sendiri: penuh kontradiksi. Ramai yang menyangka mereka mengenali saya tetapi realitinya, saya sering melangkaui jangkaan. Lol.

Sewaktu berusia 18 tahun juga, saya juga pernah bercita-cita menjadi ahli politik. Malah, seorang sahabat VIP ibu pernah menawarkan peluang untuk saya bergelar ahli politik di bawah naungannya kerana katanya saya mampu meyakinkan orang ramai dengan kebolehan saya. Namun, sekali lagi, ibu menolak. Saya akur. Kadang-kadang saya sendiri keliru, adakah saya benar-benar seorang anak yang suka memberontak masa lalu atau sebenarnya seorang anak yang taat? Haha.

Mengapa Masih Single?

Soalan yang sering ditanya orang ramai, namun jawapannya cukup ringkas: saya seorang yang sangat berhati-hati dan teliti dalam memilih pasangan hidup. Saya lebih rela tidak berkahwin sampai tua daripada tersalah memilih ayah kepada anak-anak saya pada masa depan. Kedengaran pelik bagi sesetengah orang tetapi bagi saya ia sangat masuk akal.

Saya boleh memilih siapa suami saya (dengan izin Allah) tetapi anak-anak saya kelak tidak mampu memilih siapa ayah mereka. Impian terbesar saya ialah membina sebuah keluarga yang terbaik; sebuah keluarga yang penuh kasih sayang, tanggungjawab dan maruah. Realitinya, hari ini terlalu ramai yang berakhir dengan perceraian dan terlalu ramai yang mendedahkan kisah rumah tangga mereka di media sosial untuk tatapan umum. Segala yang tersiar akan kekal selamanya dan akhirnya anak-anak menjadi saksi kepada kesilapan ibu bapa mereka.

Saya tidak mahu menganiaya bakal insan-insan kecil yang tidak berdosa. Inilah cara saya melindungi masa depan keluarga yang belum terbina dengan sebaik mungkin dalam ruang kudrat saya. Bagi saya, memilih pasangan bukan sekadar soal cinta. Sedangkan jika kita hendak membeli rumah pun kita lakukan kajian mendalam terhadap setiap pro dan kontra sebelum membuat keputusan. Inikan pula memilih teman sehidup semati.

Ya, zaman sekarang pilihan ada di hujung jari tetapi bagi saya, itulah yang lebih menakutkan. Semakin saya dewasa, semakin berhati-hati saya dalam membuat keputusan besar ini. Doakanlah saya agar bertemu dengan pasangan hidup yang pertama dan terakhir dalam hidup saya; seorang lelaki yang bertanggungjawab, penyayang, bijak dan mampu menjadi pemimpin dalam rumah tangga. Aamiin.

Apakah yang menginspirasikan Sara untuk menceburi bidang rekaan fesyen?

Secara ironinya, minat utama saya semasa di bangku sekolah sebenarnya adalah undang-undang. Namun, ibu saya merupakan seorang pereka fesyen VIP yang memiliki butik sejak saya berusia empat tahun. Antara detik terbesarnya ialah ketika beliau membuka butik di Legend Hotel, sebuah hotel lima bintang yang tersohor pada ketika itu, bersebelahan Yaohan. Dari situlah lahirnya ramai klien VIP yang kekal bersama hingga ke hari ini sebahagiannya.

Sebagai anak sulung, ibu mengharapkan saya untuk menyambung legasi yang telah beliau bina. Pada mulanya, saya memberontak kerana latar belakang saya adalah aliran sains tulen, pelajar straight A’s dan langsung tidak mempunyai pendedahan dalam bidang seni. Namun, kerana taat pada ibu, saya memilih untuk mengorbankan minat asal saya dalam bidang undang-undang dan mendaftarkan diri ke UiTM dalam jurusan rekaan fesyen pada 2008.

Justeru, untuk menjawab soalan ini, inspirasi terbesar saya bukanlah sekadar sesuatu, tetapi seseorang iaitu ibu saya, satu-satunya insan yang menjadi sumber kekuatan, tunjang utama dan pencetus perjalanan saya dalam dunia fesyen hingga ke hari ini.

Bagaimanakah anda menggambarkan rekaan Sara J?

Rekaan Sara J boleh diringkaskan dalam tiga perkataan: berani, sofistikated dan versatile. Setiap helaian yang saya hasilkan bertujuan untuk memberi pengalaman berbeza kepada si pemakai; sesuatu yang membuatkan mereka menonjol, bukan kerana mengikut arus, tetapi kerana memiliki keanggunan tersendiri. Saya tidak percaya pada meniru atau sekadar mengulang gaya orang lain; bagi saya, keunikan harus hadir dalam bentuk yang elegan dan berwibawa.

Arah rekaan saya sentiasa seimbang: tidak terlalu sarat dengan perincian, tetapi tidak pula kosong tanpa jiwa. Ia adalah keseimbangan yang ‘just nice’ namun tetap berani memberi impak. Saya juga tidak terlalu terikat dengan tren semasa, sebaliknya lebih mengutamakan rekaan yang timeless dan sesuai dengan identiti individu.

Jika ditanya apakah jiwa sebenar Sara J, saya akan katakan ia adalah rekaan yang mempunyai elemen “regal” iaitu tampil anggun, eksklusif dan memberi aura keagungan yang tersendiri.

Bagaimanakah perjalanan Sara dalam industri fesyen bermula?

Sara J secara rasmi ditubuhkan pada 2014 dan tahun ini sudah genap 11 tahun saya berada dalam industri. Perjalanan bermula dengan sebuah butik di TTDI Plaza. Saya harus akui, pada peringkat awal kerana fesyen bukanlah minat asal saya, saya sering mengambil mudah terhadap perniagaan ini. Ibu saya banyak berkorban untuk memastikan saya benar-benar memberi tumpuan dan saya sendiri sedar betapa berat beban itu buatnya.

Sejujurnya, ia terasa seperti bangun setiap hari untuk menjadi seorang mekanik yang membaiki kereta dan jika itu bukan passion anda, ia akan terasa seperti bebanan. Namun, walaupun minat sukar untuk dipupuk pada awalnya, saya mempunyai kelebihan untuk benar-benar memahami proses fesyen dari A hingga Z: bermula daripada rekaan, pembuatan pola, pemotongan fabrik, sehinggalah menjahit sendiri.

Saya juga telah membawa nama Sara J ke pentas antarabangsa; dari Manila, Jakarta hingga ke New York. Namun selepas setiap pencapaian besar, saya sering memilih untuk “hibernate.” Bezanya, selepas 11 tahun berjuang, kini saya benar-benar merasai semangat itu. Tahun 2025 khususnya, menjadi titik tolak baharu buat saya dan kali ini, saya rela mengorbankan masa tidur demi fesyen. Alhamdulillah, tahun ini penuh makna dan saya yakin lebih banyak pencapaian menanti di hadapan.

Apakah detik yang membuatkan Sara berasa paling bangga dalam perjalanan ini?

Antara detik yang paling membanggakan buat saya ialah apabila berjaya menembusi pentas fesyen antarabangsa. Bermula dengan Manila Fashion Week 2014, diikuti Jakarta Fashion Week 2016 dan kemudiannya New York Fashion Week 2017 di bawah naungan Peniagawati, hasil cadangan bonda angkat saya ketika itu, Dato’ Raja Ropiah dan Datin Hartini, serta tentunya sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu saya sendiri, Ima Abdullah. Ketika itu juga, saya menerima tajaan sebahagian daripada Jakel yang menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna.

Selain itu, saya juga pernah membuka kiosk Sara J di Parkson Pavilion, Parkson One Utama dan Parkson KLCC untuk koleksi ready-to-wear. Sebagai pendatang baru, kejayaan meraih tempat kedua dalam jualan, menyaingi jenama-jenama lama yang sudah lama bertapak merupakan satu pencapaian yang amat saya hargai.

Namun, pencapaian tahun ini membawa kebanggaan yang berbeza. Sara J telah berjaya menjejakkan diri di pentas nasional apabila dipilih untuk mereka dan menghasilkan keseluruhan busana KWSP sempena Perarakan Merdeka di Putrajaya. Koleksi batik eksklusif rekaan kami ditampilkan secara langsung di kaca televisyen nasional melalui RTM, dengan KWSP mengetuai 42 GLC Malaysia dalam perarakan tersebut. Ia benar-benar menjadi simbol kejayaan baru buat Sara J.

Saya percaya, ini hanyalah permulaan. Dengan izin Allah, saya tidak sabar untuk terus mencipta lebih banyak pencapaian pada masa akan datang. Tidak lupa juga, semua ini adalah kerjasama daripada insan-insan yang berhati mulia di belakang tabir, tanpa mereka siapa lah saya. Terima kasih terutamanya kepada ibubapa saya, team saya dan individu-individu yang terlibat. Jasa kalian begitu besar buat saya.

Bagaimanakah Sarah kekal bermotivasi ketika melalui waktu sukar?

Bagi saya secara peribadi, untuk kekal bermotivasi, seseorang itu perlu ada rasa suka walaupun sedikit terhadap apa yang dilakukan. Ini kerana motivasi tidak pernah kekal lama; yang benar-benar bertahan adalah disiplin. Namun tanpa motivasi di awal langkah, kita mungkin tidak akan bermula langsung.

Pada awalnya, ketika saya belum benar-benar menyukai fesyen, saya akui amat sukar untuk konsisten dan kekal di landasan. Namun lama-kelamaan saya menyedari sesuatu: jika kita memberi ruang untuk mengenali sesuatu bidang dengan lebih mendalam dan meluangkan masa bersamanya, kita akan mula nampak sisi keindahan yang sebelumnya tersembunyi.

Apabila sudah mengenalinya dengan lebih dalam, akan lahir satu rasa suka secara semula jadi. Dari situlah timbulnya semangat untuk terus maju. Dan jujurnya, siapa yang tidak suka apabila dirinya menjadi seorang pakar dalam sesuatu bidang? Rasa kepuasan itu sendiri adalah motivasi terbesar apabila berjaya melakukan sesuatu yang mustahil pada awalnya.

Bagaimanakah maklum balas daripada klien atau pengkritik membentuk hasil kerja anda?

Terus terang, siapa sahaja yang benar-benar suka dikritik? Namun bagi saya, setiap kritikan adalah cabaran untuk meningkatkan mutu kerja. Walaupun saya tidak menyukainya, ia mendorong saya untuk menaikkan tahap permainan kerana saya enggan tunduk pada kritikan semata-mata.

Bagi mereka yang mungkin menantikan kejatuhan saya, percayalah, itulah sebenarnya bahan bakar yang membuatkan saya bangkit lebih tinggi dan membuktikan bahawa mereka silap dalam menilai saya. Seringkali, kritikan menjadi pencetus kepada projek-projek besar saya. Katakan kepada saya bahawa sesuatu itu mustahil, maka saya akan buktikan sebaliknya sehingga berlipat kali ganda, bahawa saya mampu melakukannya.

Ringkasnya, jangan sekali-kali menyalakan enjin yang asapnya tidak sanggup anda hidu dari belakang.

Bagaimanakah anda mengimbangi kebebasan kreatif dengan memenuhi kehendak klien?

Secara jujurnya, kebanyakan klien sering datang dengan permintaan untuk meniru rekaan pereka lain. Saya tidak menentang sepenuhnya kerana itu tanda mereka mempunyai citarasa tertentu, namun atas dasar hormat kepada rakan-rakan seindustri, saya tidak akan menyalin bulat-bulat hasil karya orang lain. Tuhan telah menganugerahkan saya akal dan bakat untuk berkarya, jadi mengapa harus saya sia-siakan dengan sekadar meniru? Jika seseorang mahukan salinan sepenuhnya, lebih baik mereka terus pergi kepada pereka asal itu sendiri.

Apa yang saya lakukan ialah mengambil contoh atau rekaan yang digemari klien sebagai sumber inspirasi. Saya melihatnya sebagai panduan terhadap citarasa mereka, lalu saya ubah suai, tambah nilai dan mencipta sesuatu yang unik khusus untuk mereka. Saya sukakan perbezaan dan gemar meneroka rekaan baharu, jadi proses ini bukan sahaja memenuhi kehendak klien, malah mengekalkan identiti asli Sara J.

Seawal perbincangan, saya akan berterus terang bahawa saya tidak akan meniru rekaan pereka lain. Syukurlah, kebanyakan klien menghormati prinsip ini, malah lebih menghargai hasil rekaan yang lahir daripada kreativiti tulen.

Pada pandangan Sara, apakah cara terbaik untuk membina rangkaian dalam industri fesyen?

Bagi saya, cara terbaik adalah dengan benar-benar turun padang dan bergaul. Industri fesyen ini tentang hubungan dan ia bermula dengan kehadiran anda di majlis, acara atau pertemuan yang tepat.

Secara peribadi, saya gemar menjadikan penampilan diri sebagai kad perniagaan paling berkesan. Setiap kali menghadiri acara, saya akan memastikan saya memakai busana rekaan sendiri. Tanpa perlu bersusah payah mempromosikan diri, rekaan itu akan menjadi perbualan dan ramai rakan baharu mahupun klien berpotensi akan datang sendiri untuk bertanya serta membuat tempahan.

Saya akui, dalam beberapa tahun kebelakangan ini saya lebih banyak “hibernate”. Namun tahun ini, dengan semangat yang diperbaharui, saya kembali dengan sepenuh hati untuk mengejar minat fesyen ini. Inilah masanya untuk benar-benar membuka ruang kepada lebih banyak peluang dan hubungan baharu dalam industri.

Pada pandangan Sara, apakah peranan media sosial dalam membina kerjaya fesyen?

Dalam era digital hari ini, media sosial amatlah penting; ia ibarat sebuah majalah bergerak yang sentiasa berada di hujung jari masyarakat. Saya harus akui, penampilan media sosial saya agak perlahan berbanding pereka lain, namun kini saya sedang memberi tumpuan penuh untuk memperbaikinya.

Jika dahulu seseorang perlu menembusi tapisan ketat televisyen, majalah atau akhbar untuk dikenali, kini cukup sekadar satu momen tular, seluruh dunia boleh mengenali anda. Namun, inilah juga sisi gelapnya. Ramai yang terlalu sibuk menghasilkan kandungan sehingga keaslian semakin jarang kelihatan. Tidak kurang yang sanggup mengejar ‘likes’ dan sanggup mengorbankan maruah demi populariti internet.

Saya percaya, jika saya mahu menjadi terkenal dalam sekelip mata, saya boleh sahaja merancang sesuatu yang mencetuskan kontroversi. Namun, selagi dalam kawalan saya, saya tidak akan memilih jalan itu. Saya lebih rela tidak terkenal daripada terkenal kerana perkara yang salah. Segala yang dimuat naik di internet kekal selama-lamanya. Saya belum berkahwin tapi saya sudah berfikiran panjang yang saya tidak mahu anak-anak saya nanti membaca kisah silam ibunya yang memalukan.

Bagi saya, media sosial adalah medium pemasaran yang luar biasa, tetapi ia harus digunakan dengan tujuan yang baik bukan sekadar mengejar populariti yang mempunyai tarikh luput.

Pada pandangan Sara, apakah cara terbaik untuk mengukur kejayaan seorang pereka fesyen?

Saya tidak pasti bagaimana orang lain mendefinisikan kejayaan, tetapi bagi saya, membina sebuah perniagaan mungkin mudah. Namun, jika anda mampu mengekalkannya untuk jangka masa panjang, itu petanda anda sedang melakukan sesuatu dengan betul. Ia mungkin tidak sempurna, tetapi dengan sentiasa menilai, memperbaiki kelemahan dan menyesuaikan strategi, kita boleh terus berkembang.

Hari ini, ramai yang mengejar kepuasan segera; naik dengan pantas, tetapi jatuh juga dengan pantas. Bagi saya, kejayaan sejati hadir apabila kita melalui proses pembelajaran yang membina daya tahan dan ketabahan diri. Dalam perjalanan ini, saya amat bersyukur kerana memiliki seorang ibu sebagai tulang belakang; insan yang saya tahu tidak akan pernah mengkhianati saya.

Saya juga percaya kejayaan tidak boleh diukur melalui pencapaian semata-mata. Ia harus dilihat secara menyeluruh. Sebagai contoh, saya menilai seseorang melalui hubungan jangka panjang yang mereka bina. Jika seseorang masih dikelilingi sahabat yang setia lebih daripada sedekad, itu tanda mereka seorang yang ikhlas, dipercayai dan disukai. Tetapi jika terlalu kerap bertukar sahabat, saya lebih berhati-hati untuk mendekati.

Selain itu, integriti amat penting dalam menilai kejayaan. Jika saya melihat seseorang bersikap berbeza di hadapan dan di belakang, atau meraih pencapaian dengan cara yang meragukan, saya akan menjauhkan diri. Ada segelintir yang mencapai apa yang disebut sebagai ‘kejayaan’ dengan jalan yang kurang baik. Saya tidak gemar semua itu. Bagi saya, orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang berintegriti, yang pencapaiannya lahir daripada usaha tulen dan niat yang bersih.

Lebih penting lagi, kejayaan bagi saya mesti seimbang dengan nilai rohani. Saya sentiasa berusaha memperbaiki hubungan dengan Allah. Kerana jika saya berjaya di dunia tetapi lalai terhadap Pencipta saya, saya tidak akan pernah menganggap diri saya benar-benar berjaya. Saya masih bertatih dalam hal ini dan berharap dapat membaikinya. Hakikatnya, tiada siapa yang sempurna dalam semua perkara, tetapi kita semua boleh berusaha menjadi lebih baik setiap hari.

Selain fesyen, saya juga tidak pernah melupakan minat asal saya dalam bidang undang-undang. Empat tahun lalu, saya mendaftar dalam pengajian undang-undang yang terpaksa saya lupakan ketika berusia 18 tahun. Alhamdulillah, saya telah tamat pengajian tersebut dan kini sedang bersedia menduduki peperiksaan CLP untuk mengejar cita-cita sebagai seorang peguam. Hidup ini sebenarnya tiada batasan; had yang kita lihat hanyalah had yang kita letakkan pada diri sendiri.

Mungkin suatu hari nanti, saya akan menjadi pereka fesyen pertama yang juga seorang peguam di Malaysia. Siapa tahu,In Shaa Allah. Doakan saya.

Credit for cover:
Gambar: SH Photography and Studio
Solekan/Dandanan/Styling: Sara J
Pakaian: Sara J

Related posts

The Alchemy of Dr. Anjhula Mya Singh Bais: Aristocrat, Activist, Academic

admin

DATIN NORLIZA MOHD SALEH KHAN

Wirda Adnan

Forever Zahnita

Mahani Awang

Leave a Comment