Setelah lama menanam impian yang satu ini, akhirnya ia menjadi realiti apabila butik RR by Rizman Ruzaini kini benar-benar berada di LC107, Tingkat Satu, Suria KLCC!
Dalam pelancaran rasminya semalam, kata Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif Rizman Ruzaini, Rizman Nordin, “Kami mahu membuka butik KLCC ini dengan sebuah cerita — bukan sekadar pemotongan reben. Ia tentang makbulnya sebuah impian yang membanggakan bukan saja kami tetapi juga setiap individu yang pernah bersama menaikkan jenama ini.”

Seperti identitinya yang dikenali sebagai sebuah jenama mewah, penuh keanggunan dan terperinci, setiap sudut rekaan di butik ini juga dipersembahkan dalam gaya senada daripada lantai marmar, kemasan emas, pencahayaan romantis hingga aroma khas RR yang pastinya memberikan pengalaman luar biasa kepada setiap pelanggan yang melangkah masuk ke dalamnya. Susun atur yang kemas dan mesra pelanggan memudahkan setiap penelitian dibuat di samping kemudahan bilik persalinan yang luas dan selesa.
Ia menyediakan rangkaian penuh RR by Rizman Ruzaini — daripada koleksi pakaian siap pakai sehingga barangan kulit, aksesori dan helaian eksklusif yang hanya terdapat disini.
“KLCC adalah nadi Kuala Lumpur. Memiliki butik di sini membawa makna yang lebih mendalam. Ini bukan sekadar butik baharu — ia adalah surat cinta kepada wanita-wanita yang telah menyokong kami selama ini. Rebirth adalah tentang pembaharuan; ini pula adalah tentang pengiktirafan. Setiap helaian di sini dicipta untuk melengkapi kehidupannya — seperti mana kesetiaannya melengkapkan perjalanan kami,” kata Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif, Ruzaini Jamil.









Pembukaan ini menandakan satu lagi detik penting dalam perjalanan 20 tahun Rizman Ruzaini, daripada impian dua pereka muda kepada sebuah jenama yang kini mendefinisikan kemewahan gaya moden Malaysia.
Ini bukan nostalgia. Ini adalah evolusi. Sebuah rumah fesyen yang kekal berakar di bumi sendiri, namun kini melangkah yakin ke pentas dunia. Dan ketika pintu butik dibuka serta lampu kamera menyala, satu persoalan masih berlegar di udara — Siapakah wanita yang berbelanja di RR by Rizman Ruzaini?



Mungkin… dia sudah pun berada di sini.
Pembukaan butik KLCC ini turut menandakan langkah seterusnya dalam pelan pengembangan serantau bersama Modinity Group dari Indonesia — membuka jalan kepada butik baharu di Jakarta dan destinasi utama lain di Asia Tenggara.
Tahniah RR by Rizman Ruzaini. Semoga terus terbang tinggi!
