Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor atau nama singkatnya ORKIDS yang
bermaksud ‘Our Kids Are Special’, adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang menjalankan sebuah pusat pendidikan untuk anak-anak istimewa Sindrom Down berumur 7 tahun ke atas.
ORKIDS ditubuhkan pada 2012 dan didaftar di bawah Pendaftar Persatuan Selangor (ROS).
Ia ditubuhkan oleh sekumpulan ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa Sindrom Down untuk memastikan kesinambungan pembelajaran bagi anak-anak istimewa Sindrom Down semasa usia persekolahan mereka iaitu 7-20 tahun. Keperluan dan proses pembelajaran bagi setiap spektrum anak-anak istimewa adalah berbeza dan memerlukan pusat pendidikan khas yang sesuai mengikut keperluan setiap spektrum. ORKIDS ditubuhkan bagi memenuhi keperluan ini untuk memastikan anak-anak istimewa ini mendapat pendidikan yang sewajarnya bagi memastikan kebolehan seperti membaca,
mengira, menulis serta kemahiran vokasional yang membolehkan mereka mencapai potensi diri sepenuhnya dan berdikari pada masa akan datang.
Berikut adalah Objektif penubuhan ORKIDS :
1) Menyediakan pendidikan yang berterusan untuk anak-anak istimewa Sindrom Down di usia persekolahan
2) Untuk mempengaruhi perkembangan pendidikan untuk anak-anak istimewa di Malaysia
3) Mewakili suara anak-anak istimewa Sindrom Down di dalam masyarakat
4) Memberi sokongan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak istimewa Sindrom Down Program-program yang disediakan di ORKIDS adalah mengikut umur dan tahap kebolehan kognitif setiap pelajar. Berikut adalah program yang disediakan :
1) Junior Programme (7-9 tahun)
2) School Age Programme (10-13 tahun)
3) Pre-Vocational Programme (14-20 tahun)
4) STAM (Science, Technology, Arts, Mathematics) Programme (15-20 tahun) Kos operasi ORKIDS diperolehi dari sumbangan ibubapa serta sumbangan dari pihak luar – individu & korporat. Kos tahunan untuk menjalankan program di ORKIDS mencecah RM350,000 setahun. Pelbagai usaha dilakukan untuk mendapat dana bagi menampung kos yang tinggi seperti memohon geran, menjalankan aktiviti-aktiviti amal untuk mengutip dana, di mana salah satunya Festival Extra Chromosome, Extra Awesome yang akan dijalankan pada bulan September kelak.