AGAMA

Pengalaman Istimewa 45 Wanita Di Nasyrul Quran

Lawatan ke Kompleks Nasyrul Quran (Jawiکومڤليک‌‌س نشر القرآن) yang terletak di Presint 14, Putrajaya merupakan satu pengalaman indah lagi bermakna buat sekumpulan 45 orang wanita. Menyelami kisah turunnya kitab suci Al Quran dan perjalananya hingga ke hari ini, membuat terharu hingga ada yang begitu tersentuh hingga menitiskan air mata.

Bermula sebagai kumpulan Whatsapp Aktiviti Yassin dan Marhaban serta ziarah keuzuran atau kematian, mereka berkembang dan group chat mereka menjadi platform penting aktiviti lain yang memberi manfaat pada ahli kumpulan seperti riadah dan lawatan.

“Selain mengadakan majlis keagamaan seperti tahlil, kesyukuran dan ziarah keuzuran termasuklah majlis cukur jambul dan sebagainya mereka sering beriadah sekali-sekala ke tempat-tempat peranginan menarik dan bersejarah atau yang berkaitan Islam,” jelas Datin Hajah Alimah Arsat yang juga adalah ketua lawatan tersebut.

Aktiviti tersebut menurut beliau adalah untuk penduduk yang tinggal di sekitar kawasan perumahan SS1, SS3, kawasan Masjid Kampung Tunku dan masyarakat Islam sekitar Balai Islam yang terleyak di petaling Jaya.  Apabila cadangan untuk menganjurkan lawatan ke Nasyrul Quran, sabutan cukup menggalakkan dan hanya beberapa hari dimuatkan dalam group, lebih separuh kerusi bas telah terisi.

Pencetak AlQuran Kedua Terbesar Dunia

Berbalik kepada lawatan Istimewa ini, ramai mungkin tidak tahu, Kompleks Nasyrul Quran merupakan Pusat Pencetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Pusat Percetakan Al-Quran al-Malik Fahd di Madinah.

‘Nasyrul Quran’ diilhamkan daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘Penyebaran al-Quran dan Kompleks ini mula beroperasi pada 13 Jun 2017. Ia menyasarkan percetakan sejuta naskhah al-Quran setahun dan 30 peratus daripadanya diwakafkan.

Dengan perbelanjaan RM60 juta untuk kos pembinaan dan pengisian peralatan serta mesin cetak, Kompleks Nasyrul Quran ini telah dibangunkan dengan bantuan Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Malaysia dan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan gabungan usaha Yayasan Restu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri dan Perbadanan Putrajaya yang mana aktif dalam aktiviti sumbangan Al-Quran terutamanya kepada warga di negara yang minoritinya merupakan umat Islam.

Di dalamnya terdapat galeri pameran yang turut mempertontonkan kaedah pemprosesan percetakan Al Quran daripada mula hinggalah ianya tercetak dan dibaca. Ia juga turut menyediakan ruang latihan kemahiran, pemprosesan, serta pejabat pentadbiran dan pengurusan. 

Kompleks yang mesra kanak-kanak dan pengunjung kelainan upaya ini menyediakan galeri pameran seni bina dan hiasan dalaman bercirikan Islam, bilik mesyuarat, surau dan kafeteria untuk kegunaan umum.

“Paling menarik, pengunjung boleh mendaftarkan diri untuk mengikuti kelas-kelas keagamaan yang ada di sini,” pintas Siti Mahfuz, “Baru saya tahu di sini juga kita boleh menempah atau membeli produk-produk berkenaan Al-Quran seperti buku, poster, cenderahati dengan motif khat dan sebagainya,” sambungnya gembira.

Keindahan Hiasan dalaman Kompleks Nasyrul Quran

Hiasan indah di dalam Kompleks Nasyrul Quran

Pada kunjungan tersebut banyaklah sejarah mengenai al Quran diperolehi seperti Hari Nuzul Al-Quran pada tanggal 17 Ramadan bagi memperingati malam turunnya ayat Al-Quran yang pertama oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW yang berlaku pada tahun 610 Masihi ketika baginda beribadah di Gua Hira.

Lima ayat dari surah Al-‘Alaq iaitu surah ke-96 dalam kitab Al-Quran merupakan potongan ayat pertama yang diterima oleh baginda SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril dan secara berperingkat (selama 23 tahun

Naskhah kitab suci Al-Quran yang lengkap dengan 114 buah surah, dimulai dengan Surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan Surah An-Nas merupakan kitab utama agama Islam yang mengandungi bukan sahaja firman (kata-kata dan janji agung) Allah, tetapi juga naratif zaman para anbiya, doa dan pengajaran penting yang tidak lapuk ditelan zaman.

Koleksi mushaf tempatan dan antarabangsa, dan kanan sekali corak jilid kitab berdasarkan elemen negeri dan negara Malaysia

Ahli rombongan mendengar taklimat

Hari ini, kitab Al-Quran mengikut mushaf Malaysia datang dalam pelbagai bentuk, ukuran, rupa dan warna untuk   kemudahan bacaan dan pembelajaran segenap usia. Contoh naskhah Al-Quran dari seluruh pelosok dunia boleh didapati di kompleks ini di bahagian Galeri Mushaf Antarabangsa, di mana pengunjung boleh meneliti perbezaan bentuk tulisan dan susun atur mushaf dari rantau ini  dan negara lain.

“Menariknya, keluaran mushaf tempatan yang terpamer, memberi pengalaman terkesan di hati yang mana kita dapat melihat perbezaannya dari segi seni rupanya mengikut negeri,” kata Puan Mashitah berkongsi pengalaman.

Semua keistimewaan tersebut dapat kita selami melalui galeri pameran khas yang menyimpan koleksi lembaran Al-Quran yang memaparkan setiap negeri di Malaysia. Saya pasti pengunjung lain juga teruja seperti saya, pasti mereka akan perhatikan dan mencari ikon yang membentuk corak lembaran tertentu khususnya negeri asal mereka!”

Sebahagian prosedur penyiapan Al-Quran yang berada di sini sebenarnya dilaksanakan di Kompleks Taman Seni Islam Antarabangsa yang terletak berhampiran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Biru. Kajian susun atur dan rekaan motif naskhah juga dilakukan di sini sebelum dihantar ke Kompleks Nasyrul Quran.

Kawasan pencetakan kitab Al-Quran

Setiap pengunjung pastinya tidak mahu melepaskan peluang melihat sendiri kawasan utama pencetakan jilid-jilid Al-Quran yang berada di tingkat atas bangunan ini. Terutamanya buat kumpulan lawatan bersaiz besar (melebihi 10 orang), jurupandu disediakan untuk menerangkan proses pencetakan di sini secara ringkas yang meliputi peralatan dan langkah yang digunakan.

Istimewa pada hari tersebut ahli rombongan dapat meninjau sudut di mana Podcast Borak WM di rakam dan turut menderma kepada Tabung Wakaf AlQuran kerjasama antara Majalah WM dan Nasyrul Quran.

Para pengunjung turut dihamparkan dengan jilid Al-Quran dari negara luar dan dapat melihat sendiri proses pencetakan Al-Quran di tingkat atas kompleks. Bagi para pengunjung yang meminati sejarah Islam, di sini mereka juga seronok menikmati koleksi dan pengisian menarik beberapa pameran lain yang terdapat di kawasan mushaf kitab.

“Kami seronok dapat melihat koleksi replika pedang para sahabat Rasulullah yang disalurkan dari Pameran Pedang Khazanah Tamadun Islam bersempena Hari Muhammad SAW,” kata Siti Mahfuz lagi.

Pedang kegunaan antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Uthman bin Affan turut dipamerkan. Melalui pameran tersebut, kami pengunjung berpeluang meneliti corak pembuatannya sabil mengenal serba sedikit membayangkan sosok sahabat yang suatu ketika dahulu pernah memegang senjata.  Pameran koleksi pedang

“Bagi saya banyak bahan pameran yang menarik, begitupun paling istimewa, dan membuat kami semua gembira serta rasa berbaloi menyertai lawatan ke sini tentulah perluang dapat menyaksikan sendiri bagaimana proses pencetakan sebenar Al-Quran yang sekian lama kami baca,” kata Puan Mashitah Abdul.

Daripada lawatan tersebut katanya, barulah beliau faham bagaimana sebenarnya proses cetakan dibuat. Ternyata di Nasyrul Quran, setiap proses pencetakan diatur secara sistematik dan penuh ketelitian.

“Rata-rata memang menyeronokkan dan ada ketika terasa amat tersentuh hingga menitiskan air mata,” tambah Datin Alimah Arsat lagi, “Saya  memang belum pernah melihat bagaimana pencetakan sebenar Al Quran dan ini pengalaman pertama dan saya amat terharu.”

Kiri: Puan Mashitah bertudung hitam (duduk) Datin Alimah (duduk di sebelah kanan bertudung merah jambu) dan Puan Siti (bertudung hijau kanan). Kanan: Antara ahli lawatan. Mereka sempat bersolat di Masjid Putrajaya dan menikmati hidangan tengah hari di restoran berdekatan.

Keistimewaan inilah yang menjadi ibrah buat para pengunjung, tidak kiralah yang datang dari jauh dan dekat, dari dalam dan luar negara. Ramai yang menyatakan kesedaran dan kepuasan setelah kunjungan tersebut dan terus berasa lebih terinspirasi untuk membaca dan mengkaji isi kandungan kitab suci ini dengan lebih kerap dan berharat untuk memahaminya lebih mendalam lagi.

Related posts

Hukum Menjual Barangan Lama dan Rosak Tanpa Meminta Izin Tuannya Terlebih Dahulu

admin

Cinta yang Diajar Rasulullah SAW

admin

5 Tanda Allah SWT Mencintai Hamba Yang Muslim 

adminwm

Leave a Comment