GAYA HIDUP

Kasih Ramadan Mutiara & BERKAT Mengindahkan Ramadan, Menggembirakan Syawal

Bulan Ramadan sering menjadi ruang untuk memperbanyakkan amalan kebajikan dan menyemai nilai empati dalam masyarakat. Dalam semangat inilah Program Kasih Ramadan Mutiara (PKRM) 2026 dilaksanakan bagi menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Program yang berlangsung di Kuala Nerus ini meraikan seramai 100 orang anak-anak dan pelajar sekolah terpilih dari kawasan sekitar. Inisiatif ini dianjurkan oleh Kelab Wanita Universiti Malaysia Terengganu (MUTIARA) dengan kerjasama Badan Kerja Amal Wanita Profesional Terengganu, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (BERKAT). Program ini bukan sekadar aktiviti kebajikan biasa, sebaliknya menjadi simbol keprihatinan masyarakat terhadap golongan asnaf agar mereka turut merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Menurut Pengerusi MUTIARA, Wan Sarimah Wan Razak, penganjuran PKRM bertujuan meraikan anak-anak dan pelajar terpilih dengan menyediakan kelengkapan persalinan raya selain majlis berbuka puasa bersama. Antara institusi yang terlibat termasuk Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot, Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam serta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Batu Rakit.

“Program ini memberi peluang kepada anak-anak yang terpilih untuk memilih sendiri pakaian raya serta keperluan mereka. Kami berharap inisiatif ini dapat menceriakan sambutan Aidilfitri mereka di samping mengukuhkan nilai kasih sayang dalam masyarakat,” jelas beliau.

Sementara itu, Presiden BERKAT yang juga mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Beliau menegaskan bahawa BERKAT sentiasa komited dalam menjayakan program kebajikan yang mampu meringankan beban golongan asnaf, terutamanya pelajar sekolah daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban keluarga mereka sepanjang Ramadan serta memberi kegembiraan dalam menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma,” ujar beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para penyumbang yang terdiri daripada ahli jawatankuasa serta ahli BERKAT, termasuk syarikat Khalifa Cares dan Nazra Sdn. Bhd. yang bersama-sama menyokong pelaksanaan program ini.

Program PKRM 2026 turut diserikan dengan kehadiran Penaung BERKAT, Toh Puan Seri Dr. Wan Hidayah Wan Ismail yang hadir memeriahkan majlis berbuka puasa di Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu.

Lebih bermakna, anak-anak yang diraikan turut diberi peluang memilih pakaian dan kelengkapan raya di beberapa premis terpilih di Kuala Nerus seperti Jakel, Mydin dan Dans Shoes. Suasana ceria jelas terpancar apabila mereka teruja memilih pakaian baharu sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

Program Kasih Ramadan Mutiara ini membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat masih utuh. Di sebalik kesibukan menyambut Ramadan, masih ada tangan-tangan yang ringan menghulurkan bantuan demi memastikan kegembiraan Syawal dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

Related posts

MUMMY, WALAU TIADA, SAYA MASIH DAPAT MERASAKAN KASIH SAYANGNYA

Iskander Melan

Pernikahan Melissa Helena binti Iskandar Sargeant dan John Peter Artley

adminwm

New Year, Old Self, But More Honest

Hana Halim

Leave a Comment