COVER STORY

ANZALNA NASIR “Sebagai Ibu Hati Saya Mudah Tersentuh” 

Dari zaman free hair sehinggalah kini sudah berhijab, kecantikan pelakon Anzalna Nasir masih terserlah. Beliau antara selebriti yang pandai menjaga penampilan diri, selain kejelitaan semulajadi wajahnya yang diakui ramai. Anzalna  anak ke dua daripada lima beradik yang kesemuanya perempuan. Dilahirkan pada 9 Januari 1988 di Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan memiliki darah kacukan Cina Singapura daripada sebelah bapanya manakala ibunya bercampuran Punjabi, maka tidak hairanlah apabila beliau memiliki anugerah cantik hasil gabungan ajnas genetik unik.

”Tapi, saya tetap berasakan saya sepenuhnya keturunan Melayu. Hahaha..” pintas Anzalna mengekek ketawa.

Sejak berumah tangga dan kini memiliki dua cahaya mata lelaki, Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan, Anzalna dilihat memperlahankan perjalanan karier seninya. Dia lebih banyak fokus pada pengurusan rumah tangganya. Malah, mampu menguruskan kedua anaknya itu sendirian tanpa pembantu. Inilah kehebatan seorang ibu. Kekuatan kita bukan terletak pada tenaga tubuh tetapi jiwa yang sarat kasih-sayang dan tanggungjawab yang membolehkan semua tugasan ibu itu tergalas di bahu sendiri.

“Saya selesa dan rasa puas dapat melihat anak-anak membesar di depan mata. Apatah lagi, dapat membesarkan mereka dengan dua tapak tangan ini. Ia adalah pengalaman yang datang hanya sekali seumur hidup. Setiap hari yang kita lalui dengan anak-anak tidak akan berulang yang sama dan mereka terus membesar hari demi hari. Saya tidak mahu ketinggalan detik-detik emas itu,” ujarnya apabila ditanya kenapa memilih untuk menjadi suri rumah dan meninggalkan dunia glamor?

Tambah Anzalna, selain sibuk dengan urusan keluarga, dia juga memenuhi masa senggangnya dengan menceburi bidang perniagaan bersama jenama produknya, Anzel. Tidak dinafikan cabaran perniagaan ini berbeza dengan kerjaya sebagai pelakon, namun ia sangat mengujakan dalam mencabar kewibawaannya sebagai usahawan. Belajar tentang untung rugi, pemasaran, penjualan dan lain-lainnya memberi satu energi baru kepadanya. Selain itu, Anzalna juga dilihat kerap dilantik sebagai duta produk.

“Alhamdulillah rezeki anak-anak. Walaupun suami mampu untuk menyara kami sepenuhnya tetapi saya suka kalau dapat pegang duit sendiri.”

Kalau Mampu Membantu, Kenapa Harus Membatu?

Ketika Ramadan, Anzalna ada berkongsi kisah seorang wanita bersama anak-anaknya menjual biskut Raya di kaki lima. Entah kenapa, hatinya tersentuh dan dia terus menghampiri wanita itu yang kelihatan sangat lelah menghabiskan jualannya. Sangkaan Anzlana tidak silap apabila wanita itu benar-benar dalam kesempitan kerana selain mencari wang itu perbelanjaan keluarga, dia juga sedang mengumpul wang untuk merawat sakit ibunya.

Tidak mahu hanya berdiam diri, Anzalna membawa wanita dan anak-anaknya itu ke rumahnya. Allahu, baiknya hati, ikhlasnya dia. Berapa ramai antara kita yang sudi mempelawa orang yang hanya kita terjumpa di tepi jalan untuk bertandang ke rumah? Walaupun niat untuk berbuka bersama dengan wanita itu tidak kesampaian, lantaran suami wanita itu sudah datang menjemputnya pulang, namun Anzalna terus membantu dengan berkongsi kisah wanita itu di Instagramnya. Hasil perkongsian itu berjaya mengumpulkan wang sumbangan sebanyak RM10,000. MashaAllah.

“Dengan kelebihan yang kita ada (memiliki pengikut yang ramai), mengapa tidak dimanfaatkan untuk membantu mereka yang memerlukan. Bukan susah pun, kita sama-sama mengajak pengikut untuk berkongsi rezeki. Alhamdulillah, wanita itu sampai menggeletar kaki dan tangan saat melihat dalam akaunnya ada sejumlah wang yang besar. Terima kasih kepada semua yang turut membantu,” cerita Anzalna.

Anzalna juga dilihat sering menyantuni anak-anak yatim di Rumah Kebajikan. Ada masa-masanya, dia akan membawa keluarga dan anak-anaknya mengunjungi anak-anak kurang bernasib baik ini. Dapat dilihat hubungan mesra mereka seperti sudah lama kenal. Malah, anak-anak Anzalna juga tidak kekok bergaul bersama anak-anak ini.

“Hati saya mudah tersentuh apabila melihat anak-anak ini. Saya anggap mereka seperti anak saya sendiri. Kalau kita nak yang terbaik untuk anak sendiri, kenapa anak-anak ini harus ditidakkan hak mereka untuk turut menikmati keindahan dunia ini,” katanya sebak.

Anzalna dan suami sentiasa menerapkan didikan melalui teladan. Menurut Anzalna, dia dan suami tidak pandai marah-marah anak. Jadi, cara terbaik adalah dengan menggunakan kaedah penerapan kasih-sayang dan sentiasa mengingatkan mereka tentang hormat-menghormati, agama dan ilmu. Dengan cara ini, anak-anak lebih mudah lembut hatinya dan mendengar kata.

Kepingin Anak Perempuan? Siapa Tak Nak…

Ditanya tidakkah dia mengimpikan seorang anak perempuan setelah memiliki dua putera? Katanya dengan nada lembut, keinginan itu pastinya ada, namun itu semua kuasa Allah. Walaupun jauh di sudut hatinya, sudah rasa cukup dengan dua cahaya mata ini, namun dia tidak menolak andainya diberi rezeki mengejut.

Namun, memiliki anak-anak saudara perempuan juga sudah memadai baginya menumpang kasih. Anzalna dan adik-beradiknya sangat rapat dan mereka berkongsi apa sahaja. Anak-anak daripada kakak dan adiknya juga dianggap seperti anak sendiri. Jadi, kekosongan tanpa anak perempuan tidak dirasakan dengan adanya anak-anak saudara perempuan yang lainnya.

“Untuk berasa cukup dan bahagia, kita jangan melihat apa yang kita tidak ada tetapi lihatlah apa yang sudah Allah anugerahkan di depan mata ini. Ia lebih baik menghargai apa yang sudah dimiliki daripada memaksa diri menagih sesuatu yang belum pasti,” lafaznya penuh makna.

Anzalna juga menyifatkan anak-anaknya sebagai sangat penyayang, romantik dan manja. Sifat-sifat yang biasanya ada pada anak perempuan juga dimiliki anak-anak lelakinya itu. Sampaikan katanya, anaknya yang sulung itu akan mahu memeluk dan menciumnya sebelum tidur dengan pesanan, “mimpikan dirinya…”

Andainya tiada anak perempuan pun tidak mengapa, katanya. Kedua-dua anak lelaki ini pasti menjadi bodyguards mummynya kelak.

Zaman sekarang, mendidik dan membesarkan anak sama besar cabarannya tidak kira lelaki atau perempuan. Maka, kita tidak perlu fokus pada jantina anak, sebaliknya kita pelajari ilmu keibubapaan untuk memahami perangai anak-anak agar didikan kita selaras dengan perkembangan mereka. “Saya juga tidak kisah apa pilihan kerjaya anak-anak apabila mereka besar nanti, asalkan sahaja mereka menjadi orang berguna dan membawa kebaikan kepada orang sekeliling, itu sudah memberi seribu makna kepada saya dan suami.”

Saya Sudah Tidak Kejar Perhatian Dunia

Anzalna juga memilih untuk menamatkan zaman anak daranya pada ketika namanya sedang menjadi sebutan ketika itu. Dan, selepas itu beliau dilihat tidak lagi ’ghairah’ dengan dunia glamor yang semakin jauh ditinggalkannya. Bukan kata meninggalkan terus tetapi seperti ’tidak memerlukannya lagi’, benarkah begitu Anzalna?

“Saya sudah cukup bahagia dengan kehidupan saya sekarang ini, mempunyai suami yang penyayang dan anak-anak yang menghiburkan, membuatkan hari-hari saya sempurna dan membahagiakan. Jadi, apalagi yang ingin saya cari di dunia luar sana? Saya tidak lagi mendambakan perhatian atau kemasyhuran. Saya sudah melaluinya dulu dan cukuplah…” lontarnya sambil menguntum senyum manis.

Namun, ujar Anzalna dia tidak menolak jika satu hari nanti ada tawaran berlakon yang datang, namun buat masa ini dia sibuk dengan jadualnya sebagai isteri, ibu dan usahawan sehingga tidak terfikir untuk aktif seperti dulu. Walau bagaimanapun, sesekali dia tampil juga di depan lensa untuk sesi fotografi sebagai model dan duta produk, selain mempromosikan produk jenamanya sendiri.

“Ini juga antara sebab kenapa saya jarang terkait dek gosip atau isu-isu negatif. Saya berasakan inilah hikmahnya apabila saya berkorban untuk lebihkan masa bersama keluarga daripada berada di luar. Lain orang, lain cara dan pemikirannya. Ada orang berasa jemu berlama-lama di rumah sendiri tapi sebaliknya, saya berasa di rumah inilah syurga saya sebagai isteri dan ibu.”

Sempena Hari Ibu yang disambut bulan ini, Anzalna sempat menitipkan ucapan untuk semua wanita yang bergelar Ibu.  “Di kesempatan ini, Anzalna ingin ucapkan Selamat Hari Ibu buat semua wanita hebat di luar sana. Terima kasih kerana sentiasa kuat, sabar dan penuh kasih sayang dalam menunaikan setiap tanggungjawab yang disandang di bahu anda. Setiap anda mempunyai keistimewaan luar biasa kerana tanpa wanita, dunia ini pasti kelam.”

Related posts

Dato’ Tom Dan Habsah Abang Saufi “Sisters Are For Sharing Laughter And Wiping Tears.”

admin

Sasha Bashir – Malaysia’s Vintage Queen. Rahsia Geroboknya Dikongsi Untuk Pertama Kalinya

admin

SELEPAS 15 TAHUN DALAM DUNIA FESYEN ‘A Tale of The Bright Young Designer FIZIWOO’ 

Wirda Adnan

Leave a Comment