Soalan
Assalamualaikum wbt ustaz. Saya nak bertanyakan pasal kawan saya ni sebab dia pernah makan babi. Saya tanya dia untuk minta kepastian yang dia sedar ke tak masa makan babi tu, atau dia tak sengaja ke atau macam mana. Kawan saya kata dia sedar je masa tu, dan dia memang tahu babi ni haram tapi dia makan je. Soalan saya, tak jatuh murtad ke ustaz kalau makan babi dengan sengaja sebab dah terang-terang haram? Mohon penjelasan ustaz.
Jawapan Ringkas
Waalaikumussalam wbt. Hukum memakan daging babi dengan sengaja adalah haram di sisi agama Islam berdasarkan dalil-dalil yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis. Namun begitu, pelakunya tidak jatuh murtad. Tetapi, jika sekiranya seseorang itu sudah sampai tahap mengatakan bahawa daging babi itu halal, atau secara terang-terangan dengan ucapannya menghalalkan apa yang haram, maka pada ketika itu barulah dia boleh dikategorikan sebagai jatuh murtad.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat. Hukum memakan daging babi adalah haram berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Surah al-Baqarah (173)
Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya mengatakan Allah SWT mengharamkan daging khinzir dan keseluruhan bahagian daging-dagingnya. Bukanlah perkataan ‘daging’ itu bermaksud daging sahaja yang haram dimakan manakala bahagian lain dibenarkan. ‘Daging’ disebut disini ialah kerana uruf (kebiasaan) mengetahui daging itu dimakan oleh seluruh manusia.
[Rujuk Tafsir al-Kabir: Jil.3; 5-6/11]
Seterusnya Allah SWT juga berfirman:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Surah al-An’am (145)
Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa ayat ini sebagai jawapan terhadap kaum musyrikin yang menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal. Maka ayat ini turun sebagai peringatan bahawa sumber hukum syariah adalah berdasarkan wahyu.
[Rujuk Tafsir al-Munir: Jil. 4; juz 7-8/433]
Menurut Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya al-Mughni, beliau berkata: “Sesiapa yang beriktiqad (meyakini) halal sesuatu (perkara) yang diharamkan secara ijmak ulama dan jelas hukumnya di antara umat Islam serta hilang syubhah (keraguan) padanya mengenai nas-nas yang wujud mengenainya seperti daging babi, zina dan seumpamanya yang mana ia tiada khilaf (di antara ulama), maka ia jatuh khafir.”
[Rujuk al-Mughni li Ibn Qudamah: 9/11]
Namun begitu, dosa memakan babi dengan sengaja tergolong di dalam perkara dosa besar yang tertakluk di bawah hukum-hakam syariah dan bukannya di dalam usul akidah. Pelaku kepada perbuatan memakan daging babi dengan sengaja adalah fasiq yang berdosa besar. Al-Maqdisi dalam kitabnya mengatakan bahawa tidak jatuh murtad memakan daging khinzir dalam keadaan ketakutan atau dipaksa (demi menjaga nyawa dan keselamatan), mahupun dalam keadaan sedar dan selagi tidak beriktiqad akan halalnya daging khinzir tersebut.[4]
[Rujuk al-Kafi fi Fiqhil Imam Ahmad bin Hanbal: 4/72]
Syeikh Nuh al-Qudah pula mengatakan bahawa kita tidak boleh menghukum seseorang yang melakukan dosa itu sebagai kafir, sekalipun dia melakukan dosa-dosa yang besar. Ini kerana dosa besar itu boleh diampunkan oleh Allah SWT, tetapi tidak kepada dosa kufur atau syirik.
[Rujuk Jauharah al-Tauhid: 1/198]
Kesimpulan
Justeru, hukum memakan daging babi dengan sengaja adalah haram di sisi agama Islam berdasarkan dalil-dalil yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis, namun pelakunya tidak jatuh murtad. Tetapi jika seseorang itu sudah sampai tahap mengatakan bahawa daging babi itu halal, atau secara terang-terangan dengan ucapannya menghalalkan apa yang haram, maka itu baru boleh dikategorikan sebagai jatuh murtad.
Wallahua’lam.
Sumber asal: https://muftiwp.gov.my/index.php