GAYA HIDUP

Bonds of Care Cross the Border: Apabila Empati Melangkaui Sempadan dan Jarak

Ada perkara yang tidak memerlukan bahasa yang sama untuk difahami. Rasa empati, pengalaman melalui ujian dan keinginan untuk saling menguatkan adalah antara ikatan yang mampu merapatkan manusia, walaupun dipisahkan sempadan negara.

Begitulah yang dapat dirasakan menerusi kunjungan Persatuan Kanser KanWork (KanWork) dari Malaysia ke Brunei Darussalam bagi bertemu rakan seperjuangan mereka, Brunei Breast Cancer Support Group (BBCSG).

Berlangsung dari 18 hingga 21 September, kunjungan ini bukan sekadar pertemuan antara dua organisasi. Lebih daripada itu, ia menjadi ruang untuk survivor, caregiver dan sukarelawan berkongsi pengalaman, memahami cabaran yang dilalui komuniti kanser dan mencari inspirasi untuk terus memperkukuh sokongan psikososial.

Bertemu Kerana Satu Perjuangan

Seramai 13 anggota delegasi KanWork menyertai kunjungan ini, terdiri daripada survivor, caregiver dan sukarelawan, diketuai Presiden KanWork, Profesor Dr. Mazanah Muhamad.

Di bumi Darussalam, rombongan ini disambut oleh BBCSG dalam suasana penuh kemesraan. Pertemuan yang pada awalnya mungkin kelihatan seperti sebuah kunjungan biasa, akhirnya berkembang menjadi perkongsian yang sarat dengan cerita, pengalaman dan emosi.

Selain sesi perkongsian bersama BBCSG, delegasi KanWork turut berpeluang melihat aspek penjagaan kontemporari di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC).

Kunjungan itu turut diselang-selikan dengan pengalaman meneroka keindahan Brunei, termasuk mengunjungi Masjid Omar Ali Saifuddien dan menyusuri sungai menerusi Brunei River Cruise. Mereka kemudiannya diraikan dalam majlis makan tengah hari di Restoran Aminah Arif, Gadong.

Namun, di sebalik perjalanan dan aktiviti yang disusun, nilai sebenar kunjungan ini terletak pada masa yang diluangkan bersama. Dalam setiap perbualan dan perkongsian pengalaman, terselit satu persamaan iaitu keinginan untuk memastikan tiada pesakit kanser dan keluarga mereka berasa keseorangan dalam melalui perjalanan yang penuh cabaran.

Sokongan Yang Melangkaui Sempadan

Ditubuhkan pada 16 Jun 2004, BBCSG aktif menyediakan bantuan kebajikan, kunjungan sokongan ke rumah dan hospital, selain bantuan kewangan serta moral kepada pesakit dan keluarga mereka.

Pendekatan ini mempunyai persamaan yang cukup dekat dengan perjuangan KanWork di Malaysia. Ditubuhkan pada 2005, KanWork memberi tumpuan kepada sokongan emosi dan psikososial kepada mereka yang terkesan akibat kanser.

Dengan sekitar 500 ahli, majoritinya wanita, KanWork melihat pertemuan seperti ini sebagai peluang untuk memahami dengan lebih dekat pengalaman komuniti kanser di negara jiran.

Lebih penting, perkongsian antara kedua-dua organisasi membuka ruang untuk bertukar pandangan tentang bagaimana sokongan emosi boleh diberikan dengan lebih berkesan, terutama ketika pesakit dan keluarga berada dalam fasa paling rapuh.

Daripada Perkongsian Lahir Harapan

Bagi Profesor Dr. Mazanah Muhamad, kunjungan ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar membina jaringan antara dua organisasi.

Kerjasama dan perkongsian pengalaman yang terjalin dilihat mampu memperkukuh sokongan kepada pesakit, survivor dan keluarga mereka, selain membuka ruang kepada pelaksanaan program serta inisiatif bersama pada masa hadapan.

Apa yang bermula sebagai sebuah kunjungan akhirnya meninggalkan sesuatu yang lebih bermakna yakni sebuah hubungan yang dibina atas pengalaman, empati dan rasa saling memahami.

Kerana dalam perjalanan melawan kanser, kekuatan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang besar. Kadangkala, ia hadir melalui sebuah pertemuan, sebuah cerita yang dikongsi, atau sekadar kehadiran seseorang yang memahami apa yang sedang kita lalui.

Dan di situlah indahnya persahabatan yang tidak mengenal sempadan.

Related posts

Tips & Tricks To Work From Home, Away From Home, Far From Home

adminwm

Minum Petang Yang Stylish & Mewah di  Al Halabi Gourmet Sempena FMA 2025

Afiza Kamarulzaman

Kimpton Naluria Kuala Lumpur: Di Persimpangan Rasa, Reka dan Jiwa Kota

adminwm

Leave a Comment