GAYA HIDUP

JUARA WIM 2026/27-Sembilan Wakil Negeri Bakal Berentap

Bagi merebut gelaran Wanita Ikon Malaysia 2026/2027, sembilan wanita hebat telahpun dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Wanita Ikon Negeri 2026/2027. Wanita-wanita luar biasa ini bakal mewakili negeri masing-masing ke peringkat akhir pada Oktober nanti.

Daripada 301 pencalonan yang diterima di seluruh negara pada tarikh penutup April lalu, 179 calon berjaya melepasi saringan pertama sebelum 93 calon dipilih ke peringkat penilaian akhir.

Kesemua finalis telah melalui proses temuduga bersama panel juri profesional, penilaian menyeluruh serta tugasan lapangan melalui Program Jelajah Ikon, yang menilai bukan sahaja pencapaian kerjaya tetapi juga kepimpinan, integriti, tanggungjawab sosial dan impak sebenar mereka kepada komuniti.

Daripada proses penilaian yang kompetitif itu, seramai 26 penerima telah dipilih bagi mewakili kategori utama yang mana sembilan Penerima Anugerah Wanita Ikon Negeri, 11 Penerima Anugerah Wanita Ikon Muda Negeri, empat penerima Anugerah Wanita Ikon Waja Negeri dan dua penerima Anugerah Wanita Ikon Inspirasi Negeri.

Mereka telah dianugerahkan dalam satu majlis sidang media khas yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Anugerah yang mula diperkenalkan pada tahun 2007 ini terus menjadi platform pengiktirafan berprestij kepada wanita Malaysia yang telah membuktikan kecemerlangan dalam bidang masing-masing serta memberi impak besar kepada pembangunan masyarakat dan negara. Sejak penganjurannya, anugerah ini mendapat sokongan KPWKM sebagai usaha mengangkat sumbangan wanita dalam pelbagai sektor.

Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia, YBhg. Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed, yang merupakan ikon pertama mendapat gelaran Wanita Ikon Malaysia berkata, pemilihan tahun ini bukan sekadar mencari wanita yang berjaya dalam kerjaya, sebaliknya individu yang mampu mencipta perubahan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Malaysia mempunyai begitu ramai wanita luar biasa yang bekerja dalam diam tanpa mengharapkan publisiti,” pintasnya, “Anugerah Wanita Ikon Malaysia diwujudkan untuk mengetengahkan kisah perjuangan mereka agar menjadi inspirasi kepada generasi akan datang. Seorang ikon bukan hanya dikenali kerana kejayaannya, tetapi dikenang kerana jasa dan impaknya kepada masyarakat.”

Beliau turut menjelaskan bahawa pengenalan Program Jelajah Ikon telah memperkukuhkan lagi kredibiliti proses pemilihan apabila setiap finalis perlu melaksanakan projek tanggungjawab sosial di negeri masing-masing sebelum dinilai oleh panel profesional.

Memperkukuhkan lagi, kenyataan Dato’ Normarziah itu, Yang Berhormat Puan Lim Hui Ying dalam ucapan perasmian beliau juga menyebut bahawa Anugerah Wanita Ikon Malaysia selari dengan aspirasi pentadbiran negara dalam memperkasakan penyertaan wanita sebagai pemimpin, profesional, usahawan, pendidik dan agen perubahan.

Sejak Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) ditubuhkan, setiap programnya mendapat sokongan dan berterusan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dan hari ini mengumumkan 26 pemenang Anugerah Wanita Ikon Negeri 2026/2027 adalah satu kenyataan kesinambungan kerjasama yang bermafaat ini.

Road to AWIM – Memersiapkan Diri Dengan Pengiktirafan & Impak

Bermula 17 Ogos 2026, para penerima akan memulakan Road to AWIM 2026/2027, satu siri program yang menjadi sebahagian daripada perjalanan rasmi menuju ke Majlis Gala.

Melalui program ini, setiap Wanita Ikon Negeri dan Wanita Ikon Muda Negeri akan Kembali ke negeri masing-masing untuk melaksanakan satu Projek Tanggungjawab Sosial (CSR) yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti. Projek-projek ini akan dilaksanakan berteraskan lima fokus utama KWIM, iaitu Ekonomi, Pendidikan, Budaya dan Nilai, Kesihatan dan Keselamatan

Selain itu, para penerima juga akan menyertai Sesi Bicara IKON, sebuah platform perkongsian ilmu, pengalaman dan inspirasi bersama masyarakat. Menerusi sesi ini, mereka akan berkongsi kisah perjuangan, cabaran, kepimpinan serta pengalaman yang telah membentuk kejayaan masing-masing, sekali gus menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita dan generasi muda.

Sepanjang tempoh ini, KWIM turut akan mengadakan Jelajah IKON ke negeri-negeri yang terlibat bagi melihat sendiri pelaksanaan projek CSR, berinteraksi bersama komuniti dan menyaksikan impak yang berjaya diwujudkan oleh para penerima. Pendekatan ini mencerminkan komitmen AWIM untuk memastikan setiap penerima terus menyumbang secara aktif

Dato’ Normaziah juga menegaskan, AWIM diwujudkan bukan sekadar untuk memilih wanita yang berjaya, tetapi untuk membina sebuah komuniti pemimpin wanita yang mampu membawa perubahan positif kepada negara.

Anugerah ini juga bukan sekadar sebuah trofi atau pengiktirafan, ia adalah satu amanah. Setiap Wanita Ikon ditegaskan agar menjadi pemimpin yang terus menyumbang kepada masyarakat, membimbing wanita lain, menggerakkan program berimpak dan menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Selama dua tahun mereka akan bersama KWIM dan KPWKM dalam memperjuangkan agenda pemerkasaan wanita Malaysia. Inilah keunikan Anugerah Wanita Ikon Malaysia yang membezakan AWIM daripada mana-mana platform pengiktirafan.

Majlis Gala Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2026/2027 yang bakal berlangsung Oktober ini bakal menjadi kemuncak kepada keseluruhan perjalanan ini; menghimpunkan pemimpin negara, wakil kementerian, agensi kerajaan, sektor korporat, badan bukan kerajaan, media serta para penerima anugerah dalam meraikan wanita-wanita yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang mereka yang tersendiri, malah bersedia memimpin perubahan dan mencipta impak berterusan kepada masyarakat.

Berikut adalah mereka yang telah berjaya ke peringkat akhir Anugerah Wanita Ikon Negeri 2026/2027. Anugerah Wanita Ikon Johor disandang oleh Puan Farrah Faridah Baptist, Anugerah Wanita Ikon Muda Johor ialah Puan Ezzah Nellysa Binti Mohammad Fairus.

Sementara itu bagi negeri  Selangor Anugerah Wanita Ikon Selangor dijuarai oleh YBhg. Dato’ Nurulhidayah Binti Ahmad Zahid, Anugerah Wanita Ikon

Muda Selangor ialah Puan Nur Hazreen Binti Mohd Ramzi dan bagi Anugerah Wanita Ikon Waja Selangor dimenangi oleh YBrs. Dr. Reynu Rajan

Untuk negeri Perak, Anugerah Wanita Ikon Muda Perak telah dimenangi oleh Puan Balkis Binti Mohd Soib dan Anugerah Wanita Ikon Inspirasi Perak ialah Puan Ceylyn Tay Wei Lung. Negeri Kelantan pula bagi Anugerah Wanita Ikon Muda Kelantan telah dimenangi oleh Puan Sharifah Nori Binti Bahar.

Negeri Sembilan juga mempunyai wakil lengkap bagi semua kategori yang dipertandingkan. Anugerah Wanita Ikon Negeri Sembilan jatuh kepada Puan Norwani Binti Ahmat, Anugerah Wanita Ikon Muda

Negeri Sembilan Cik Nurul Shahira Binti Mazli dan Anugerah Wanita Ikon Waja Negeri Sembilan disandang oleh Puan Parameswari A/p Manohran

Bagi negeri Terengganu ia diwakili dua orang iaitu Pemenang Anugerah Wanita Ikon Terengganu YBrs. Dr. Raihana Binti Ismail sementara Anugerah Wanita Ikon Muda Terengganu, jatuh kepada Puan Wan Nurul Ain Binti Wan Shaaidi. Seperti Terengganu, Kedah juga diwakili dua wanita hebat ke peringkat akhir iaitu bagi Kategori Anugerah Wanita Ikon Kedah disandang Puan Maizatul Shahida Binti Abdul Jalin @ Jalil dan Anugerah Wanita Ikon

Muda Kedah ialah Puan Nur Ameera Nabila Binti Azmi

Pahang tiada diwakili oleh Wanita Ikon Negeri, namun bagi Kategori Anugerah Wanita Ikon Muda Pahang akan diwakili oleh Puan Nor Akmar Binti Abdullah, sementara Sarawak pula hanya diwakili oleh pemenang Anugerah Wanita Ikon Sarawak Puan Maya Binti Haris. Pulau Pinang juga hanya akan diwakili oleh pemenang Anugerah Wanita Ikon Muda Pulau Pinang iaitu YBrs. Dr. Aqilah Binti Yusoff dan Sabah akan diwakili juara Anugerah Wanita Ikon Sabah, Puan Noor Farahdilah Binti Najmuddin.

Wilayah Persekutuan bakal diwakili untuk kesemua kategori yang dipertandingkan, yang mana Anugerah Wanita Ikon Wilayah Persekutuan, ialah YM Che Puan Intan Safinaz Binti Redzuan, Anugerah Wanita Ikon Muda Wilayah Persekutuan Puan Najah Syahira Binti Mohd Zulkifli dan Anugerah Wanita Ikon Inspirasi

Wilayah Persekutuan dimenangi Puan Cordelia Lee Suet Fun

Sementara itu, bagi kategori Anugerah Wanita Ikon Melaka diwakili oleh Puan Azlifa Binti Md Idris dan bagi kategori Anugerah Wanita Ikon Muda Melaka diwakili Puan Maryani Binti Hasan dan Anugerah Wanita Ikon Waja Melaka pula ialah Puan Kalaivanie A/p Balakrishnan.

Related posts

DENDENG HIDANGAN KHAS NUSANTARA 

adminwm

Inilah Malaysia — Tempat Manusia Datang Melihat Dunia, Tetapi Pulang Dengan Melihat Diri Mereka Sendiri.

adminwm

Apa Itu Mati Pucuk Lelaki?

adminwm

Leave a Comment