
Ada ujian yang hadir tanpa diduga, mengubah seluruh perjalanan hidup seseorang dalam sekelip mata. Namun ada juga ujian yang datang perlahan-lahan, memberi ruang untuk menerima, menyesuaikan diri dan akhirnya menemukan makna baharu tentang kasih-sayang, kesetiaan, pengorbanan, kesabaran dan reda.
Dan, realiti perkahwinan bukan sekadar manis-manis manja mengemudi bahtera sepanjang hari. Ada masanya, Allah hadiahkan ujian yang bukan kaleng-kaleng sebagai ‘penguat cinta’ dan penambah rasa dalam sebuah hubungan suami isteri juga seisi keluarga.
Bagi Shah Reza dan isterinya, Nur Husna, perjalanan itu bermula hampir sedekad lalu apabila masalah kesihatan yang pada awalnya disangka bersifat sementara membuka kepada satu hakikat yang sukar diterima apabila doctor memberitahu fungsi buah pinggang Shah Reza semakin merosot. Selepas bertahun-tahun berusaha mengawal keadaan melalui rawatan dan penjagaan pemakanan, beliau akhirnya terpaksa menjalani dialisis, satu fasa yang mengubah sepenuhnya rutin harian serta perancangan hidup mereka.


“Ketika itu saya sedar kehidupan saya tidak lagi sama, dan saya perlu terima hakikat itu dengan perancangan yang baik,” ujar Shah positif.
Rawatan dialisis yang perlu dilakukan beberapa kali seminggu bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal, malah memberi kesan kepada kerjaya, masa bersama keluarga dan kebebasan melakukan perkara-perkara yang sebelum ini dianggap biasa. Setiap janji temu perubatan menjadi keutamaan, sementara aktiviti bersama keluarga terpaksa disusun mengikut jadual rawatan yang ketat.
Namun di sebalik segala keterbatasan itu, beliau tidak pernah melalui perjalanan tersebut bersendirian.
Sebelah Buah Pinggang, Seluruh Cinta dan Keikhlasan



Apabila pemindahan buah pinggang disarankan sebagai pilihan terbaik, isteri tercinta, Nur Husna membuat keputusan yang mungkin dianggap luar biasa oleh sesetengah pihak, beliau dengan yakin dan muktamad menawarkan diri untuk mendermakan salah satu buah pinggangnya kepada suami.
Baginya, keputusan itu tidak hadir daripada desakan emosi atau dasar simpati, sebaliknya lahir daripada keyakinan bahawa setiap ketentuan mempunyai hikmah tersendiri.


Jauh di sudut hatinya, beliau melihat peluang untuk membantu suami kembali sihat sebagai satu bentuk amanah dan ibadah. Pada masa yang sama, beliau ingin melihat keluarganya kembali menjalani kehidupan seperti biasa, menikmati rutin harian yang sebelum ini banyak dibatasi oleh rawatan dialisis.

Meski kelihatan tenang, Husna mengakui beliau turut berdepan kegusaran. Menanti keputusan ujian keserasian organ, memikirkan kemungkinan penolakan buah pinggang selepas pembedahan, serta melalui pengalaman besar itu tanpa kehadiran ibunda tercinta yang telah kembali ke rahmatullah beberapa bulan sebelumnya merupakan antara cabaran emosi yang perlu ditempuhi.
Namun sebagai umat Islam, beliau memilih untuk berserah sepenuhnya kepada Allah SWT sambil terus memohon doa daripada ahli keluarga, sahabat dan kenalan.
“Mana tahu ada doa seseorang yang Allah perkenankan,” katanya.
Peluang Kedua Yang Tidak Ternilai
Bagi Shah Reza, hasrat isterinya untuk mendermakan buah pinggang dianggap sebagai satu pengorbanan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
Beliau mengakui pernah berasa berat hati untuk menerima keputusan tersebut, bimbang akan risiko yang mungkin ditanggung oleh isterinya. Namun, setelah dipujuk dan dihujah dengan pelbagai fakta oleh isteri yang tak mahu mengaku kalah, akhirnya beliau memahami bahawa apa yang dilakukan Nur Husna adalah manifestasi kasih sayang yang tulus dan keinginan untuk melihat keluarga mereka kembali menikmati kehidupan yang lebih baik.


Setelah melalui pelbagai proses sebelum dan ketika pembedahan… sebaik sedar daripada operasi pembedahan, perkara pertama yang terlintas di fikirannya ialah wajah isteri dan anak-anak.
“Saat membuka mata dari ‘lena’ yang panjang, saya tergamam seketika. Antara rasa syukur, lelah dan seperti tidak percaya. Ketika itu saya berasakan seolah-olah diberi peluang kedua untuk hidup,” katanya.
Hari ini, selepas pemindahan buah pinggang berjaya dilakukan, Shah kembali menjalani kehidupan yang lebih aktif. Beliau mampu bekerja seperti biasa, mempunyai lebih banyak tenaga dan menikmati masa berkualiti bersama keluarga tanpa lagi terikat kepada mesin dialisis.
Bagi Nur Husna pula, kepuasan terbesar bukanlah pada pengorbanan yang dilakukan, tetapi melihat suaminya kembali sihat dan tersenyum seperti dahulu. Saat mendengar suami dikhabarkan berada dalam keadaan stabil di bilik berlainan dan pembedahan berjaya, hanya lafaz syukur mampu dititipkan.
Memaknakan Semula Erti Kebersamaan
Pengalaman ini mengajar pasangan tersebut bahawa kebersamaan bukan sekadar hadir pada saat-saat membahagiakan, tetapi turut diuji ketika berdepan kesukaran yang tidak pernah dijangka.
Bagi Shah, perjalanan ini menjadikannya lebih menghargai setiap detik bersama keluarga dan mensyukuri setiap peluang yang diberikan. Nur Husna pula percaya bahawa kasih sayang yang dibina atas dasar keikhlasan dan kepercayaan kepada ketentuan Ilahi akan sentiasa menemukan jalan untuk terus bertahan.

Hari ini, mereka hanya mengharapkan satu perkara, agar kesihatan yang dikurniakan dapat dipelihara sebaiknya dan masa yang masih berbaki dapat dimanfaatkan untuk terus berbuat baik kepada keluarga, sahabat serta masyarakat.
Kerana sesungguhnya, ada pengorbanan yang tidak memerlukan sorotan. Cukup sekadar menjadi bukti bahawa cinta yang sebenar bukan sekadar hadir dalam kata-kata, tetapi terserlah melalui keberanian untuk memberi, walaupun ia bermakna menyerahkan sebahagian daripada diri sendiri.
