GAYA HIDUP

Sarawak ‘Bergegar’ di MATTA Fair 2026 Dengan Pelbagai Promosi Mengujakan!

Negeri Bumi Kenyalang terus mengorak langkah agresif dalam mempromosikan pelancongan domestik apabila Sarawak Tourism Board (STB) melancarkan kempen Sia Sitok Sarawak 2026 sempena MATTA Fair Kuala Lumpur yang berlangsung di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC).

Kempen ini tampil tepat pada masanya, menawarkan potongan harga sehingga 40% bagi pakej percutian terpilih ke Sarawak. Tawaran eksklusif ini boleh didapati sepanjang MATTA Fair di Pavilion Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk merancang percutian dengan lebih berbaloi sehingga 15 Disember 2026.

Menurut Pengerusi STB, YB Dato Dennis Ngau, pelancong domestik memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri pelancongan negeri tersebut. Dalam era perubahan corak perjalanan global dan cabaran geopolitik semasa, pendekatan yang lebih inklusif dan mampu milik seperti ini menjadi kunci untuk terus menarik minat pelancong tempatan.

Kempen Sia Sitok Sarawak 2026 menampilkan lebih 80 pakej pelancongan yang dirangka khas oleh 17 pengendali pelancongan berlesen. Setiap pakej menawarkan pengalaman sekurang-kurangnya tiga hari dua malam (3H2M), lengkap dengan penginapan, lawatan berpandu serta itinerari yang disusun rapi.

Pelbagai destinasi menarik menanti pengunjung. Di selatan Sarawak, Kuching menawarkan gabungan warisan sejarah, budaya yang hidup serta akses mudah ke taman negara dan habitat hidupan liar. Di bahagian tengah pula, Sibu membawa pelancong menyusuri Sungai Rajang, menikmati pengalaman di rumah panjang serta mendalami budaya tempatan. Sementara itu, Miri di utara menjadi pintu masuk ke destinasi ikonik seperti Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah yang diiktiraf UNESCO, selain keindahan tanah tinggi Bario yang nyaman.

Lebih menarik, pengunjung juga digalakkan menyelaraskan percutian mereka dengan kalendar acara Sarawak yang meriah sepanjang tahun 2026. Lebih 110 acara telah dirancang, termasuk festival muzik bertaraf antarabangsa, Rainforest World Music Festival 2026, yang bakal berlangsung dari 26 hingga 28 Jun di Sarawak Cultural Village.

Festival ini dikenali sebagai antara acara muzik paling unik di Asia Tenggara, menampilkan barisan artis tempatan dan antarabangsa seperti Dato’ M. Nasir, The Commodores bersama Thomas McClary serta Incognito. Selain persembahan pentas, pelbagai aktiviti interaktif seperti bengkel muzik dan pertukaran budaya turut diadakan dalam suasana hutan hujan Borneo yang memukau.

Sepanjang MATTA Fair, Pavilion Sarawak turut menawarkan pengalaman budaya yang autentik kepada pengunjung. Persembahan muzik tradisional seperti sape dan seruling hidung, demonstrasi kraftangan, sulaman keringkam dan lukisan batik memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri keunikan warisan Sarawak. Aktiviti kuiz dan pemberian cenderamata juga menambah kemeriahan suasana.

Sebagai negeri terbesar di Malaysia, Sarawak sememangnya kaya dengan kepelbagaian. Dengan 34 kumpulan etnik yang mempunyai tradisi, makanan dan gaya hidup tersendiri, Sarawak menawarkan pengalaman pelancongan yang sukar ditandingi. Landskapnya yang luas merangkumi hutan hujan purba, gunung-ganang, gua batu kapur, sungai berliku dan pantai yang tenang menjadikan setiap perjalanan penuh dengan penemuan baharu.

Tidak hairanlah Sarawak terus meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa, termasuk tersenarai dalam 10 destinasi paling diidamkan dunia serta memenangi pelbagai anugerah dalam kategori pelancongan, alam semula jadi dan acara muzik.

Dengan slogan “More to Discover”, Sarawak mengajak rakyat Malaysia untuk kembali meneroka keindahan negara sendiri dan kali ini dengan pengalaman yang lebih bermakna, berbaloi dan tidak mungkin dapat dilupakan.

Related posts

Meraikan Ulang Tahun ke 10 Kumpulan BMIC

admin

Wajib Tahu!

admin

BMW Luxury Excellence Pavilion 22 Februari Ini

admin

Leave a Comment