FESYEN

20 TAHUN PIALA SERI ENDON, KEKAL MUTU & OBJEKTIF

Pertandingan akhir rekaan batik PIALA SERI ENDON 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menyaksikan bukan sahaja pertarungan sengit di kalangan peserta malah berjaya menghasilkan mutu yang diharapkan pihak penganjurnya Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG).

Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim telah memeriahkan lagi majlis apabila Tuanku mencemar Duli sebagai tetamu Kehormat Diraja pada majlis berprestig tersebut. Keberangkatan Tuanku diiringi dan diraikan Pengerusi PENYAYANG Puan Nori Tun Abdullah Badawi, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Leela Mohd Ali serta ahli politik, penerbit podcast dan pengacara radio Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Majlis petang itu merupakan acara kemuncak tahunan yng dinanti-nantikan pereka dan penggiat fesyen khususnya mereka yang menjalankan perniagaan berteraskan batik di seluruh negara. Seperti biasa, peragaan hasil finalis bagi kategori fesyen tetap menjadi tumpuan dan acara kemuncak pertandingan ini.

Bagi Kategori Fesyen, tempat pertama dirangkul oleh ANUAR & AJLAA  (Kumpulan terdiri daripada Anuar Ridzuan Bin Arshad dan Nur Alifah Ajlaa Binti Jaafar dengan tema ‘Of Silk And Gold’, sementara Syahrul Amirul Bin Samsuri dengan temanya ‘Pesona Borneo’ mendapat tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Fariznur Bin AB Manaf bertema ‘Kembali’.

Bagi kategori Kemasan Lembut, EJAM ARJUNA yang terdiri daripada dua orang iaitu Mohd Nizam Bin Shahbudin dan Mohd Fadhil Bin Md.Taib telah berjaya mendapat tempat pertama     dengan tema mereka ‘Mama’, tempat kedua dimenangi oleh THE BLUES (Wan Mohd Hafiz Bin Wan Hamid, Mawardi Bin Othman, Mohamad Shahrizal Bin Ramli’ bertema ‘Touch Of Sky’ dan SUKMA yang terdiri daripada Syahrul Amirul Bin Samsuri dan Siti Maisharah Binti Alias dengan tema mereka ‘Lotus Splendour’ telah mendapat tempat ketiga.    

Karya bertemakan ‘Of Silk and Gold’, Anuar & Ajlaa dinobatkan Juara.

Hasil karya Syahrul Amirul Bin Samsuri, yang bertemakan ‘Pesona Borneo di Tempat Kedua.

Muhammad Fariznur Bin AB Manaf di tempat ketiga dengan tema ‘Kembali

Petang tersebut turut menyaksikan kemenangan kumpulan SERI MAYURA yang terdiri daripada Johari Bin Jaffar dan Nurrul Ain Binti Shaid Ahmad dengan tema ‘Eternal Glow’ di tempat pertama, Badrul Hisham Bin Mahadi dengan tema ‘Bila Bintang Berbisik’ di tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh GARIS LILIN X LIYANA oleh Nurul Nadia Binti Mohd Rosdi daan Nurul Liyana Binti Ismail dengan tema ‘Seri Bunga Tekat’.

Sejarah PSE

Pertandingan ini dianjurkan di bawah Pergerakan Batik Malaysia: Ciptaan untuk Dunia dan merupakan Edisi ke-20 penganjuran dan diilhamkan daripada nama YABhg Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, Pengasas Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) yang bertujuan mewujudkan serta menyediakan platform sokongan, pengiktirafan dan dorongan bagi pembuatan Batik Malaysia seterusnya mengangkat mutu hasil kraf Malaysia ke persada dunia.

Dibahagikan kepada tiga (3) kategori iaitu Kategori Fesyen, Kategori Kemasan Lembut dan Kategori Kraftangan, ia merupakan pertandingan yang dinanti-nantikan. Bagi mengangkat martabat batik Malaysia ke tahap lebih tinggi dan meliputi pelbagai sudut kraf.

Pertandingan dimulakan pada 2003 dengan satu kategori, iaitu Kategori Fesyen yang juga menjadi kategori paling popular di kalangan peserta dan biasanya mendapat penyertaan paling ramai. Namun begitu Kategori Kemasan Lembut diperkenalkan pada 2004 dan diikuti Kategori Kraftangan pada 2005 yang mana penambahan kategori ini perlu dan selaras dengan matlamatnya sebagai satu pergerakan untuk meluaskan penggunaan Batik bagi menghasilkan produk baru.

Kategori

Kategori Fesyen telah menerima 38 penyertaan pada tahun ini yang mana setiap peserta perlu menghasilkan empat (4) set pakaian lengkap iaitu 1 set lengkap pakaian formal lelaki, 1 set lengkap pakaian formal wanita, 1 set lengkap pakaian kasual lelaki dan 1 set lengkap pakaian kasual wanita. Seramai dua belas (12) finalis telah layak ke Pusingan Akhir Piala Seri Endon 2025.

Beberapa  juri bertauliah telah mengadili  peringkat akhir, mereka ialah YBhg Professor Dato’ Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa – Ketua Juri, YBhg Dato’ Tom Abang Saufi, YBhg Datuk Radzuan Radziwill, Mr Carven Ong dan YBhg Dato’ Jacqueline Fong.

Sementara Kategori Kemasan Lembut diperkenalkan untuk menggalakkan pemikiran yang lebih kreatif dalam penggunaan batik untuk hiasan rumah. Objektif kategori adalah untuk mempromosikan kepelbagaian pembuatan produk daripada batik. Seramai 22 penyertaan dalam kategori Kemasan Lembut direkodkan pada Piala Seri Endon 2025.

Bagi kategori ini, 10 penyertaan terpilih ke pusingan Separuh Akhir untuk mempamerkan hasil kerja mereka di bilik-bilik yang disediakan di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur untuk sesi penghakiman.

Kategori Kraftangan pula, penyertaan dan mutu kerja masih di peringkat awal dan memerlukan inovasi yang lebih besar dari segi penghasilan produk dan reka bentuk.

Namun dengan pemikiran yang lebih kreatif, kategori ini berpotensi besar untuk dibangunkan dan menggalakkan pengeluaran produk jualan kepada pelancong memandangkan terdapat banyak kedai kraftangan tempatan menjual produk dari negara luar.

Sebanyak 29 penyertaan telah diterima dan 13 penyertaan melayakkan diri ke pusingan Separuh Akhir. Peserta perlu menghasilkan tujuh barangan secara keseluruhan, masing-masing satu aksesori fesyen, alat tulis, mainan dan pembungkusan kreatif, serta tiga barangan kraf pilihan mereka sendiri.

Menariknya, dari mula diperkenal hadiah bagi setiap kategori pertandingan meningkat. Hadiah tempat pertama bernilai RM30,000.00, tempat kedua RM20,000.00, dan tempat ketiga RM10,000.00 bagi setiap kategori. Selain itu, terdapat lima (5) hadiah saguhati bernilai RM1,500.00 setiap satu untuk setiap kategori.

Pameran “Constellation of Stars” Mendapat Tumpuan

Sempena meraikan dua dekad kecemerlangan kebudayaan dan membudayakan Batik Malaysia, PENYAYANG, pada Pertandingan Akhir Piala Seri Endon 2025 ini, telah membuat satu kelainan dengan memperkenalkan, pameran bertemakan “INSPIRED BY BATIK”.  Pameran ini mempamerkan rekaan-rekaan yang mendapat inspirasi daripada Batik Malaysia. Melalui pameran “Constellation of Stars” ini juga telah mempamerkan hasil kerja unik dan menarik pemain industri. Pempamer termasuklah FERUNI, BREEZWAY, AMORI, CHESTER LONDON, DSX TECHNOLOGY MALAYSIA, GALERI SERI ENDON, SUPERDOOFUS by Arif Rafhan

Sambil menunggu keputusan  diumumkan, satu persembahan kebudayaan ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Piala Seri Endon membawakan persembahan dari negara-negara ASEAN termasuk Republik Indonesia, Thailand, Republik Filipina dan Malaysia.

Related posts

Apa Yang Membuat Lelaki Ini Stylish – Style Icon?

admin

5 Trend Fesyen Yang Perlu DiLupakan

admin

Bergaya dengan Longchamp

admin

Leave a Comment