Baru-baru ini Parlimen Kuala Lumpur diserbu Ketua Wanita Ikon Negeri dan ahli Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) 2024/25. Kunjungan tersebut diusahakan oleh Presiden Kelab tersebut Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed bersama AJK Kelab dengan tujuan untuk mendekatkan dan mendedahkan para ikon seluruh negeri dengan selok-belok dan pentadbiran negara melalui Parlimen.
“Sebagai Wanita Ikon, adalah amat penting bagi mereka semua memahami bagaimana kerajaan bergerak serta melaksanakan tugas, seterusnya merealitikan pandangan dan keperluan rakyat,” pintas Dato Normaziah,” “Pengetahuan dan kefahaman ini penting kerana ia dapat membantu dan memudahkan mereka dalam kerja dan aktiviti yang mereka bakal atur untuk negeri masing-masing secara lancar dan professional dan selari mengikut undang-undang.
Antara yang beliau tekankan ialah fungsi utama Parlimen iaitu berkuasa dalam Penggubalan Undang-Undang yang mana Parlimen membuat dan meluluskan undang-undang persekutuan, serta membuat pindaan kepada undang-undang sedia ada. Selain itu para Wanita Ikon di Pengawasan Dasar Kerajaan di mana Parlimen menyelia dan memeriksa dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan termasuk menetapkan cukai baru misalnya.
Wanita Ikon harus bersedia dalam pelbagai sudut pentadbiran negara untuk menangani masalah dan menggunakan saluran yang tepat dan betul agar usul dan usaha mereka lebih berkesan, mantap dan berjaya di masa akan datang.
Sebagai contoh melalui Forum Perbincangannya, Parlimen berfungsi sebagai forum untuk membincangkan isu-isu penting dan memberi manfaat kepada orang ramai seperti dari sudut Pembangunan Ekonomi yang mana ia juga boleh berperanan dalam membahaskan dan menjadi sumber kajian dalam membentuk dasar-dasar pembangunan ekonomi negara.
Wanita Ikon Mesti Berpengetahuan dan Bersedia
“Paling penting, ia menjadi platform yang memainkan peranan dalam Sistem Checks and Balances. Jika Parlimen melaksanakan peranannya dengan adil dan saksama, Parlimen yang dianggap sebagai “Dewan Yang Mulia” adalah institusi penting untuk memastikan tidak ada satu pihak yang terlalu berkuasa atau teraniaya,” jelasnya dan menambah, dengan memberikan suara kepada rakyat, ia membantu memastikan hala tuju pelbagai dasar, misalnya ekonomi negara agar menjadi lebih jelas dan kukuh.
Daripada kunjungan tersebut, beberapa Wanita Ikon Negeri telah mengusulkan beberapa cadangan yang bernas dan bagus untuk diambil perhatian oleh Parlimen. Antara yang disebut ialah isu Wanita B40 oleh Wanita Ikon Johor 2024/25, Puan Faridah P Hamsa mengenai penderitaan wanita yang mana suami mereka berada dalam penjara dan tidak layak mendapat bantuan, kerana tidak dikategorikan sebagai ibu tunggal. Ini dianggap tidak adil.

Berbincang dengan Datuk Seri Noraini



Wanita Ikon mengabadikan kenangan di Parlimen
Cadangan yang dianjurkan ialah kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme khas supaya golongan ini juga mendapat sokongan kewangan & sosial memandangkan sesetengah mereka, selain bekerja keras terpaksa menjaga dan pada masa sama menjadi bread winner untuk keluarga mereka, malah terpaksa membiayai pendidikan anak-anak.
Tindakan yang dicadangkan ialah untuk mendapatkan maklumat dari JKM bagi pemohon golongan sasar ini; ada bantuan diperuntukan untuk mereka? Selain itu, boleh mendapatkan bantuan pusat zakat Johor.
Ikon Wilayah Persekutuan, Norriza Mohamed Yusof juga turut membentangkan usul: terlalu banyak agihan diberikan tertumpu kepada bantuan makanan. Ini menurut pemerhatian mereka terdapatnya berlaku pembaziran sumber.
Sehubungan itu mereka telah mencadangkan fokus dialihkan kepada program peningkatan kemahiran (upskilling) supaya penerima dapat berdikari. Tindakan yang dicadangkan patut diambil ialah mendapatkan maklumat daripada KSM (Kementerian Sumber Manusia) tentang dana yang ada bagi tujuan upskilling ini.
Sementara itu Ikon Sabah 2024/35, Nordiyana Made pula mengenengahkan isu keperluan pendidikan awal bagi anak-anak OKU/autisme, terutama umur tiga – lima tahun dan lima – tujuh tahun bagi pra-pendidikan formal.
Nordiyana turut mecadangkan untuk mewujudkan panduan dan sokongan kepada ibu bapa dalam menguruskan anak-anak berkeperluan khas sejak awal. Tindakan yang dicadangkan ialah KWIM akan mendapatkan syarat-syarat dan peraturan untuk membuka sebuah PPDK (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti) untuk tujuan ini di Tawau, Sabah.

Dari kiri: Wanita Ikon Perak 2024/25, Puan Tina Tajuddin, Wanita Ikon Malaysia 2024/25 Dr. Sh Marzety Adibah bt Al Sayed Mohamad bersama Datuk Noraini dan Dato Normaziah, Wanita ikon Wilayah dan Wanita Ikon Johor, Puan Faridah.
Kunjungan yang julung-julung kali diadakan oleh KWIM ini mendapat sokongan penuh daripada pihak tuan rumah iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad yang menyuarakan rasa gembiranya bukan sahaja di atas kunjungan mereka tetapi teruja dengan cadangan dan kesungguhan para ikon untuk membela nasib rakyat serta membangunkan negara secara profesional, adil dan berkesan.
Ini selaras dengan peranan utama parlimen, sebagai badan perundangan yang menggubal undang-undang, memeriksa dasar kerajaan, dan meluluskan perbelanjaan kerajaan, selain menjadi medan perbincangan isu kepentingan awam. Ia juga berperanan sebagai institusi yang menyediakan forum untuk membahaskan isu-isu ekonomi negara dan menjaga keseimbangan kuasa dalam sistem pemerintahan.

Bergambar bersama Datuk Seri Noraini dan Dato Marziah, Wanita Ikon Malaysia serta Wanita Ikon Negeri.
