COVER STORY

SUARA HATI SEORANG UMAR UZAIR

“Kejayaan ialah bila kita merasa kepuasan dalam setiap hal yang diusahakan. Kepuasan tidak boleh datang dengan sikap cuba-cuba atau melalui proses yang palsu. Ia mesti dirasakan tidak kira hal itu kecil ataupun sesuatu yang besar, tidak kira sama ada ia gagal atau berjaya; KEJAYAAN ADALAH RASA.” Umar Uzair

Di balik keterbukaan, Umar Uzair, 38, seorang yang sukakan sesuatu yang misteri; penuh tanda tanya dan gemarkan cabaran. Umar dibesarkan dalam keluarga yang sederhana tetapi tinggi nilai estetik sebagai seniman di Johor Bahru dan Singapura pada hujung 80-an dan dekad 90-an dan berulang alik di dua kota itu. Ayahnya seorang kontraktor yang pernah menjadi pemuzik di RTM dan ibu terkenal dengan kepakarannya sebagai tukang masak.

Sejak usia 12 tahun, Uzair memilih membawa usia awal remaja untuk membesar jauh daripada keluarga di pondok pengajian Islam dn Bahasa Arab dekat Benut, Pontian sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur. Usia remajanya sungguh warna-warni. Kerana Uziar dihalang untuk menjadi penulis pada 2005, lalu memilih untuk ke Kolej SEGI Subang dalam bidang Rekaan Multimedia. Di situlah Umar menemui sisi kreatifnya dalam bidang rekaan grafik yang masih dimanfaatkan sehingga hari ini. 

Pernah menjadi fashion advisor dalam beberapa tempoh waktu untuk sebuah jenama aksesori terkenal sebelum nekad menyambung pengajian di Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan dalam bidang penulisan dan vokal pada 2008, yang kemudian menjadikan Umar Uzair seperti adanya pada hari ini. 

Antara penyair, penyanyi, penulis, penerbit yang mana lebih menyenangkan?

Soalan yang sangat rumit kerana semuanya saling berkait bagi menyempurnakan seorang Umar Uzair. Saya membesar sebagai penyanyi sejak usia sekolah rendah, dibawa ke banyak pertandingan sekitar Johor Bahru termasuk mengadakan persembahan untuk Menteri Penerangan Malaysia pada 1997. Kemudian mencintai dunia penulisan dengan menulis karya-karya remaja dalam blog era pertengahan 2000-an. Sebelum mengenali dunia kepenyairan, saya mengenali almarhum Sasterawan Negara Dato' Dr. Kemala lewat 2011.

Sebagai penyair saya menyempurnakan banyak ruang-ruang kosong hingga dapat mewakili negara ke banyak festival puisi antarabangsa. Sebagai penyanyi saya dapat berganding dengan ramai bintang tersohor dan sebagai penulis pula saya dapat menerokai perasaan dan mendidik akal menghasilkan sebuah karya penulisan yang kreatif dan berpuitika. 

Namun bagi saya kepuasan yang lebih tebal ialah menjadi penerbit kerana selain memberikan keuntungan kewangan yang baik terutama selepas menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya, dengan perusahaan acara ini saya dapat lebih menonjol ke hadapan dan membawa gagasan serta pemikiran saya yang tidak dapat ditanggapi oleh ramai orang. 

Saya telah hadir dengan karya baharu sebuah lagu puisi berjudul Balada Tengkujuh yang telah pertemukan pendengar pada awal Januari 2025. Sebuah lagu tulisan saya dan mendapat gubahan muzik oleh legenda Maman Teacher's Pet bersama maestro seruling, Mohar. Selain mempromosikan lagu itu, ada beberapa projek seni yang saya sedang usahakan antaranya siri persembahan jelajah bersama dua kumpulan orkestra iaitu di Langkawi dan di Johor Bahru untuk mengetengahkan lagu kepuisian dalam sebuah persembahan berskala besar. Selain itu juga sebuah projek antarabangsa kembara budaya ke Sarajevo dan Konya bersama beberapa tokoh seni dalam bidang muzik, puisi dan fesyen.

Sebagai penggiat seni apa yang paling menyeronokkan tentang pilihan menjadi orang seni?

Ada dua persepsi bila bercakap dengan orang seni, pertama; ahli seni yang aktif dan pakar dalam bidangnya atau kedua ialah selebriti. Oleh kerana saya bukan seorang selebriti jadi saya fikir menjadi orang seni ini lebih banyak kesakitan daripada keseronokan tetapi barangkali kesakitan itu adalah kepuasan yang menyeronokan bagi seorang seniman (seperti saya). Aneh!

Lagu-lagu puisi dikatakan amat menjemukan dan penyanyinya terlalu ‘baik’ di pentas, rasanya?

Gubahan sesebuah lagu itu amat penting kerana itu yang akan menentukan penerimaan pendengar. Bagi saya lagu puisi bukanlah sesuatu yang baharu bahkan telah diberikan acuannya oleh pemuzik terdahulu seperti Dato' M. Nasir, Abiet G Ade, Maman Teacher's Pet. Saya tidak fikir lagu-lagu mereka sesuatu yang menjemukan bahkan mereka mempunyai 'attitude' dalam penyampaian dan ia tidak lahir dalam masa yang singkat malah pengalaman dan kedewasaan menemukan mereka dengan proses kreatif yang matang.

Saya tidak nafikan sesetengah acuan lagu puisi itu kedengaran terlalu klasik, apakah barangkali kerana ia telah (pernah) diterjemahkan sebagai seni orang jalanan yang bermain di celah permasalahan masyarakat. Mungkin menjemukan itu lahir daripada penggiat ataupun pengusaha yang tidak dapat meletakkan lagu puisi di tempat yang sewajarnya. Mereka sendiri membunyikan lagu dengan puisi yang terlalu melankolik sedangkan muzik dan lirik harus ada penyatuan. Ini yang saya lari dalam lagu Balada Tengkujuh gubahan Maman yang mempunyai 'grove' tersendiri tetapi nuansa puisi yang kental dan kedengaran mahal. 

Setiap artis ada sikap tertentu di atas pentas dan penyanyi lagu puisi seperti saya ada semacam tanggungjawab untuk mendidik masyarakat supaya tidak menjadi 'liar' dalam berkarya apatah lagi dalam keadaan semasa yang dipenuhi dengan karya-karya kasar dan 'straight forward' yang dianggap berani. Saya fikir penerbit tv dan masyarakat perlu lebih banyak keterbukaan terhadap penggerak puisi yang ingin menampilkan karya yang segar. Kami perlukan ruang yang lebih luas seiring irama lain supaya ia sentiasa berada di tengah-tengah muzik arus perdana. 

Bagaimana Umar memotivasikan diri supaya kekal berkarya?

Setiap kegagalan dan permasalahan, setiap penolakan, setiap ejekkan yang saya terima  adalah motivasi terbesar untuk saya menghasilkan sesuatu yang lebih ampuh daripada sebelumnya, tidak kira dari sudut penghasilan lagu atau penulisan buku atau penerbitan program. Jika orang kata lagu saya belum cukup baik atau telah amat baik, saya terus mencari lagu yang lebih enak daripada sebelumnya. Jika ada yang kata buku saya belum tinggi nilai sastera, saya akan terus mendalami ilmu penulisan dengan menghasilkan karya yang lebih berpuitik dan ramai yang berkata program yang saya usahakan telah besar namun saya ingin membuat yang lebih besar dari segi ruang dan impak daripada sebelumnya. Saya masih terlalu dahaga untuk mengisi semuanya.

Satu detik yang Umar berjaya mengatasi cabaran sewaktu persembahan secara langsung.

Pernah dalam suatu acara persembahan untuk DYMM Sultan Selangor saya diminta meraikan penerimaan Dato' Dr. Kemala sebagai anak Selangor yang menerima Sasterawan Negara, berganding bersama seorang sahabat yang juga teateris, Taufiq Izmir. Oleh kerana beliau seorang yang bersikap gemar mengusik dan saya gemar ketawa membuatkan suara saya hilang seluruhnya sehari sebelum persembahan. 

Malam sebelumnya saya menjadi sangat panik kerana suara adalah aset terpenting dalam sesebuah persembahan apatah lagi ia sebuah persembahan secara langsung bersama kombo pemuzik. Berbotol air asam jawa yang saya minum waktu itu dan saya tiba di tempat persembahan pada petang itu hanya dapat memunculkan separuh daripada suara saya. Pada saat kritikal itu saya terpaksa meminta pemuzik untuk mengubah nada muzik menjadi lebih rendah sesuai dengan keadaan suara dan selainnya hanya mampu untuk bersikap tenang, senyap dan diam sehinggalah pada saat persembahan. Akhirnya suara saya mampu juga dikeluarkan dengan baik walaupun bukan sepenuhnya. Ia sebuah pengalaman yang amat mendidik tetapi melucukan!

Melahirkan karya-karya seperti cerpen dan buku, tentang pemilihan tema yang paling Umar Uzair senangi untuk karya-karya  itu.

Bagi sesetengah penulis, sastera perlu diiringi dengan cerita yang berat namun saya seorang yang tidak sukakan hal yang terlalu kompleks. Rumit dan misteri masih baik tetapi tidak perlu hingga memeningkan pembaca. Saya gemar membawa pembaca melihat tentang suasana persekitaran dan kehidupan seharian tetapi melalui penyampaian bahasa yang baik dan indah kerana saya menulis apa yang saya rasa, yang saya mahu baca. 

Apabila saya ke toko buku, saya mahu membaca tentang cinta, tentang keluarga tetapi dalam sastera, namun karya sastera yang sedia ada terlalu berat; seputar politik atau agama atau peradaban. Sedangkan cerita yang saya inginkan hadir dengan bahasa pasar yang tidak romantis, rojak dengan perkataan yang tidak menerbitkan rasa kepuasan apabila membaca. Tidak adakah penulis yang ingin menghasilkan cerita romantis, tentang sosial, tentang kehidupan tetapi dengan bahasa sastera? Di situlah saya hadir mengisi sebagai pengarangnya. 

Memilih menggunakan bahasa kesusastraan adakah Umar berjaya mengajak anak muda sekarang mendekati bahasa indah ini sedangkan di media sosial dan di mana-mana, bahan bacaan dan pertuturan menggunakan bahasa rojak dan bahasa pasar. Apa usaha yang lain mengajak generasi sekarang lebih menyayangi bahasa ibunda dan bahasa yang indah ditutur dan dibaca?

Permasalahan tentang adab dalam berbahasa tidak cuma dialami di Malaysia dan untuk Bahasa Melayu sahaja namun ia melanda di banyak negara dan bahasa lain di dunia. Saya fikir penggerak mesti sentiasa bersedia untuk mengimbangi permasalahan ini. Saya faham tentang kenakalan sesetengah pihak untuk kelihatan lebih 'terkini' namun di situlah tanggungjawab saya hadir memberikan semacam peringatan agar kembali kepada akar dan peradaban kita melalui acara-acara kesenian dan kesusasteraan yang diusahakan.

Saya dapati ramai anak-anak muda hari ini yang masih faham untuk memberikan penghormatan kepada bahasa dan menggemari puisi; sajak, pantun dan prosa tradisional tetapi ramai juga yang keliru tentang keperluan pemartabatan bahasa yang bagi mereka tidak mendatangkan keuntungan kerana tidak terlibat dalam bidang itu. Namun pada saya mereka perlu sedar bahawa untuk bergelar sebagai sebuah negara yang maju ia tidak diukur dengan sejumlah bangunan tinggi tetapi seberapa banyak buku dan hasil bahasa yang dihasilkan. Ini semua perlukan masa dan ketekunan seorang pengusaha, pendidik, penghibur, seniman; ia sebenarnya sebuah kerja berkumpulan.

Saya ada terbaca bahawa Uzair senang memperhatikan tingkah laku anak remaja dan sikap masyarakat dalam menghadapi pasca kehidupan yang amat mencabar ini. Apa yang boleh Uzair ringkaskan dalam penelitian ini?

Ada waktu saya berasa saya masih berada di usia remaja dan menanti tunjuk ajar daripada seorang guru sedangkan guru saya juga telah pergi dan membuat saya sedar saya pulalah yang sepatutnya menjadi 'guru' kepada para remaja ini. Barangkali kerana kehidupan di usia saya melalui zaman di pertengahan yang dapat mengadaptasi pelbagai perkara; moden dan gaya lama.

Ada banyak acara yang saya usahakan membabitkan remaja siswa dan siswazah di institusi pengajian tinggi. Saya lihat kehidupan remaja hari ini agak santai; ada banyak masa dan ruang untuk mereka terima sumber inspirasi dan pendidikan daripada bermacam-macam sudut, tidak lagi hanya daripada seorang guru ataupun ikon. Teknologi memang membantu tetapi tidak dapat dinafikan sedikit sebanyak ia menghalang proses seseorang terutama remaja untuk belajar menjadi kreatif di usia muda.

Hari ini anak-anak muda tidak lagi terbeban dengan rasa gusar terhadap keperluan menggeruni orang yang lebih dewasa, mudah mengadaptasi, berbeza dengan usia remaja saya yang mengalami banyak tanda tanya sebelum menerima sesuatu yang baharu namun mereka memberikan penghormatan yang baik terhadap kematangan seseorang dan sentiasa bersedia untuk mempelajari permasalahan baharu. 

Apakah masyarakat hari ini terlalu mementingkan diri sendiri? Kepada remaja apa cara yang boleh dibantu supaya mempersiapkan diri menghadapi kehidupan mendatang yang lebih cerah dan harmoni?

Saya fikir remaja hari ini amat berani untuk menerokai dunia moden namun sesuatu yang mereka ketinggalan ialah adab. Tidak banyak yang ingin saya bantu tetapi suatu hal yang mahu saya tekankan ialah adab bukan cuma tentang menghormati orang tua atau keluarga dan kawan-kawan, tetapi membersihkan diri, menjaga alam semulajadi dan persekitaran sebelum semua yang tidak baik menebal dalam diri.

Adakah ibu bapa hari ini mengajar anak-anak tentang mengemas katil selepas bangun tidur atau mendidik mereka masuk ke dapur mengenali bahan-bahan yang kita makan? Adakah ibu bapa hari ini sempat memberitahu anak-anak supaya membasuh dan menyusun pinggan dan mangkuk dengan teratur dan mengelap meja selepas makan atau marahkan anak supaya meletakkan barang di tempatnya semula selepas menggunakan? Ini semua adalah adab yang sering terlepas pandang oleh remaja hari ini yang mungkin tidak disampaikan oleh keluarga mereka oleh kerana mengejar hal yang kononnya lebih utama. 

Sering mewakili negara dalam festival kesusastraan, apa yang dipelajari tentang budaya dan peranan Umar Uzair sebagai menjalin hubungan serantau?

Apabila membawa diri ke luar negara saya menganggap diri saya sebagai duta kecil tidak rasmi yang bukan saja membawa nama Malaysia ke luar, bahkan membawa pulang pengalaman untuk dikongsikan kepada masyarakat tempatan. Saya amat suka melihat bagaimana negara luar memberikan apresiasi kepada bahasa mereka bukan sekadar sebagai bahasa rasmi di papan-papan tanda tetapi jauh menelusuri jiwa masyarakat mereka. 

Kita biasa melihat tarian, makanan dan muzik menjadi alat penghubung sedangkan bagi saya sastera Melayu Malaysia adalah satu peranan yang tidak kurang utama dan kuat yang belum diterokai sepenuhnya sebagai bahan untuk menjambatani hubungan sosio ekonomi dan sosio budaya bersama negara antarabangsa kerana setiap negara mempunyai ketamadunan dan kesusasteraan tersendiri.

Saya telah mewujudkan usaha dengan dengan menganjurkan acara Cipta Citra bersempena dengan Hari Puisi Sedunia sejak 2021 dan telah banyak sasterawan dari peringkat antarabangsa seperti Rusia, Turkiye, Georgia dan dalam ASEAN terutama Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand yang hadir ke Malaysia. Dalam acara ini kita dapat melihat serampang dua mata; kesusasteraan Melayu terus diperkenalkan kepada khayalak dan sastera dapat memberikan perpaduan sejagat melalui kedamaian seni berbahasa setiap bangsa. Dunia hari ini semakin memeningkan, lalu marilah kita menemui ketenangan dengan bahasa dan kesusasteraan. 

Budaya dan masyarakat negara mana yang paling senang didekati dan disenangi?

Saya amat menyenangi budaya dan kesenian di Turkiye kerana bagi saya mereka amat tekal menjaga bahasa, budaya dan seni. Walaupun tamadun mereka berada di pertengahan antara Eropah dan Asia, namun mereka tidak dijajah. Ke mana pun saya pergi, orang-orang Turk membawa diri mereka sebagai bangsa yang berbangga terhadap masakan aslinya dan menghormati budaya serta bahasanya namun saya juga teringat ketika kunjungan ke Kyrgyzstan sewaktu mewakili Malaysia untuk Festival Seniman Epik Dunia pada 2015. Kyrgyzstan sebuah negara bergunung ganang yang sangat indah, unik dan memiliki citra budayanya yang kaya. Muzik tradisionalnya dengan petikan gitar kecil disebut komuz mewarnai setiap acara rasmi dan keraian serta masyarakatnya yang sebenarnya peramah meskipun memiliki air muka Mongol yang berwajah garang. 

Hari Bapa pertengahan Jun ini. Peranan yang paling penting bagi seorang bapa kepada keluarga, masyarakat dan negara?

Selain menjadi tonggak, saya fikir seorang bapa mesti mampu untuk memberikan sistem sokongan kepada keluarga yang tidak cuma melalui kewangan dan harta benda bahkan melalui kerohanian; kasih sayang dan perhatian yang tinggi, pengorbanan yang tidak ada tara dan sentiasa bersiap meraikan apa jua kejayaan yang terhasil daripada keluarga dan bersedia pula menerima kegagalan yang mungkin terjadi dalam keluarga itu.  

Seperti ayah saya, beliau seorang yang amat bersederhana dan tidak cerewet tentang kehidupan. Sebagai suami, ayah tetap menguruskan perkara seharian dan tidak bergantung dengan ibu walaupun ibu juara memasak dan mengemas. Ayah menitik beratkan tentang perasaan anak-anaknya dan sentiasa cuba menyempurnakan permintaan saya dan adik-adik walaupun kadang-kadang ia agak membebankan tubuh tuanya. 

Secara analoginya begitulah juga seorang bapa atau pemimpin masyarakat yang mesti sentiasa bersedia membakar perasaan dan menelan segala duri demi menjaga apa yang berada di bawah naungannya. 

Mencecah usia yang tidak lama lagi masuk 40 tahun, apakah Umar tiada rancangan mendirikan rumah tangga dan membentuk keluarga sendiri?

Secara jujur saya takut untuk mendirikan rumah tangga. Ketakutan itu datang daripada pelbagai sudut terutama kemampuan saya untuk menjadi seorang suami; adakah saya stabil bagi menyara keluarga, adakah mental saya kuat untuk memiliki anak-anak? Oleh kerana saya dibesarkan oleh seorang ibu yang sentiasa memastikan kesempurnaan lalu melahirkan saya sebagai seorang yang cerewet.

Saya ingin seorang wanita yang tahu serba serbi; masakannya mesti sedap dan enak bukan sekadar ada rasa, mengemas mestilah tersusun bukan cuma bersih dan seumpama kerana bagi saya perkahwinan adalah tentang komitmen dan kesempurnaan. Mungkin saya pernah berjumpa dengan komitmen tetapi ia tidak menyempurnakan atau saya pernah berjumpa dengan orang yang sempurna namun tidak dapat memberikan komitmen.

Sebagai anak ucapan Umar kepada bapa.

Tiada ucapan yang terlalu panjang yang sepadan dengan panjangnya penderitaan yang dilalui oleh ayah. Tiada ucapan yang terlalu indah yang mampu mengatasi keindahan dan kemurnian hati ayah dan tiada kekayaan yang segunung yang dapat membalas pengorbanan seorang ayah. Di usia saya yang semakin mendewasa, saya cuma dapat memberikan ketaatan dan perhatian yang sebaiknya agar ayah dapat merasa ketenangan daripada permasalahan kehidupan yang dihadapinya.

Jika Umar seorang bapa, apa yang hendak disampaikan kepada mereka dan kepada anak saudara Umar?

Saya amat bertuah kerana miliki anak-anak buah seramai tiga orang; Rayhan, Aura dan Ayra. Mereka anak kepada adik bongsu saya. Merekalah tempat saya menumpang kasih dan memberikan saya sekilas perasaan sebagai seorang bapa yang menguji kesabaran, ketahanan mental saya dan ada waktu menyedarkan mengapa saya tidak atau belum berkahwin untuk memiliki anak. Jadilah anak-anak yang baik terhadap umi, ayah, keluarga, kawan-kawan dan masyarakat. Jangan takut untuk merasa kesakitan kerana Pak Long akan sentiasa bersedia memberikan penawar dan kasih sayang.

Kata mutiara Umar mengenai seorang bapa.

Kepada dunia kau adalah bapa, kepada keluarga kau adalah dunia. 

Gambar: Syarief Nurlette
Solekan. Dandanan. Konsep:
Rossa Talip daripada Eternal Beauty menggunakan alatsolek Note, Turki
Pakaian: Gerobok Umar Uzair
Pengarah Seni: Wirda Adnan

Related posts

Poorani Rajoo, ‘Beauty Is Power’

admin

Tinie I Am Who I Am Thats I’ll Ever Be

admin

Adlina Borhan – The Marketing and PR Specialist

admin

Leave a Comment