FESYEN

ABU, SARA J, ASYRAF ARIFF MEMBAWA FESYEN MODEST KE SATU LEVEL KE ATAS

“Quite something unexpected”, pintas beberapa tetamu di sebelah, dan rasanya terpaksa bersetuju dengan mereka kerana keterujaan itu memang ketara terasa. Memukau dan punya elemen kelainan itulah dipertontonkan pada lantai catwalk Modest Fashion Asean (MFA) yang mana slot tersebut dijayakan bersama Majalah WM.

Dalam gaya dan mode tersendiri tiga pereka ABU, Sara J dan Asyraf Ariff mempertontonkan hasil kerja masing-masing dalam konteks fesyen modest sopan namun dari kotak minda kreatif mereka yang berbeza; ada sedikit sentuhan haute couture, avant-garde ada ketikanya, nampak begitu selesa, current. Paling penting, relevan.

Montaj pembukaan setiap seorang daripada mereka juga begitu tajam dan penuh kreativiti dalam menterjemahkan filosofi dan idea mereka lalu memberi ruang pada para penonton untuk menjelajah, memahami dan menghadamkan setiap ciptaan dengan lebih mendalam lagi.

Selesai persembahan penyanyi Jazz dan R&B, Farhan AF dengan lagu Sway yang dipopularkan oleh penyanyi kacak Michael Buble, telah menyuntik suasana classy soul jazz, lalu petang tersebut terus memuncak dengan keterujaan peragaan koleksi pereka muda ABU.

Membuka tirai lantai peragaan dengan pilihan hitam pekat pada keseluruhan koleksinya, ABU telah dengan ketara sekali memberikan satu kejutan kerana jarang sekali hasil kerja pereka hanya tertumpu kepada satu warna, lebih lagi hitam pekat yang dianggap taboo atau pantang pada sesetengah.

Beliau mungkin ada alasannya yang tersendiri, lagipun, bukankah ‘modest’ itu sendiri menggalakkan dan membawa kepada kesederhanaan? Bagi ramai yang pernah tahu hasil kerja pereka Jepun Yohji Yamamoto pasti merasakan ini bagaikan satu flashback atau penjelmaan semula, bezanya, ABU lebih terperunci dan begitu feminin.

Sekiranya Yamamoto membuat kejutan dengan memperkenalkan koleksi ‘The Shock of Black’ pada Paris Fashion Week di awal 80-an dan terus menjadi satu fesyen ‘viral’ di serata dunia ketika itu, malah bertahan berdekad kemudian, ABU pada milenium ini, membawakan ‘hitam’ dalam silluet yang lebih indah, dan wearable walaupun menjurus Avant-garde.

Hitam Interpretasi ABU 

Mungkinkah ABU, secara kebetulan dan di bawah kesedarannya pada era ini pula terpanggil untuk menghidupkan semula satu karya unggul? Atau Itukah kehebatan warna hitam ciptaan Maha Esa yang meluas pengertiannya dan menghasilkan interpretasi yang berbeza-beza bagi setiap orang – Thus The

Power of Black?

Kelangsungan itu memberi kita ruang melihat lebih jauh kepada setiap hasil rekaannya yang menyuntik ciri-ciri mewah pada siluet gedoboh, longgar namun structured lagi menawan.

Menariknya, setiap perincian rekaannya bukan sahaja mampu menghasilkan rupa elegan malah secara tidak langsung mengeksperimentasikan modest fashion dalam rupa Avant-garde. Syabas!

Sara J Pamerkan Power, Elegance & Beauty

Persembahan seterusnya oleh pereka yang lebih senior dalam arena fesyen Malaysia. Beliau adalah pemain tegar dalam dunia fesyen negara selama belasan tahun. Kali ini Sara J, juga membawa kelainan yang begitu ketara daripada apa yang beliau pernah hasilkan sekian lama ini.

Penggunaan fabrik secara bijak menyuntik kemewahan dan kerja tangan manik yang menawan, pilihan perhiasan yang tepat dan good engineering terpamer pada setiap rekaannya. Kesemua itu telah berjaya menyuntik

tumpuan malah membawa fesyen modest ke satu level yang lebih gah; sesuai untuk acara mewah glamor hingga ke karpet merah.

Menambah keterujaan penonton, pertunjukan SaraJ telah diserikan oleh kemunculan adik lelakinya yang turut menyanyi dan bermain saksofon. Yang pasti kedua-dua beradik itu telah membuat satu gabungan persembahan yang begitu bagus lagi padu.

Sofistikasi & Anggun Asyraf Ariff

Sebagai persembahan finale, Asyraf Ariff pula meneruskan kehangatan ruang dengan satu koleksi yang mengungkap sofistikasi dan keanggunan dalam setiap karyanya. Beliau seolah-olah menolak sempadan antara karya itu sendiri dan proses artistiknya yang mana setiap helai koleksi beliau merealisasikan perincian yang menyatukan kedua-dua elemen tersebut.

Ini bukan satu usaha mudah, ia memerlukan perancangan rapi dan mengambil kira beberapa faktor dengan teliti seperti elemen warna, struktur serta fabrikasi untuk membangunkan setiap helai garmennya. The good news, Asyraf melaksanakan tugas tersebut dengan baik.

Rata-rata tetamu yang diwawancara secara rambang selesai pertunjukan petang itu, sependapat bahawa apa yang telah mereka tonton adalah sesuatu yang segar dan telah berjaya membawa fesyen modest ke satu level yang meyakinkan dan membuktikan genre fesyen itu relevan untuk masa kini.

Memandangkan status ekonomi dunia yang kian suram, mungkin persembahan tersebut sedikit sebanyak boleh menjadi booster untuk merangsang para pereka terus berkarya dan pencinta fesyen ternanti-nantikan koleksi seterusnya.

Seperkara yang perlu diberi penghargaan juga ialah kemampuan setiap pereka untuk menghasilkan siluet memukau melalui elemen grafik yang agak structured, sementara pilihan fabrikasi yang bijak juga berjaya menyerlahkan ciri-ciri penting yang menjadi tuntutan dalam alam fesyen.

Ciri-ciri penting tersebut terserlah dengan ketara yang mana rekaan menunjukkan flow and fall, siluet dan good engineering dalam gayanya yang tersendiri, lantas membuktikan betapa pilihan warna, fabrikasi dan idea rekaan juga perlu bersatu untuk menghasilkan satu mahakarya.

Related posts

POLAROID: “Kami Membolehkan Anda Melihat Lebih Lagi.”

admin

MUHASABAH DIRIMUHASABAH DIRI

adminwm

MODA di Pentas Ulangtahun Ke-10 KLFW

admin

Leave a Comment