COVER STORY

RAHSIA ZIANA ZAIN KEKAL JELITA & TEGUH DI PERSADA SENI

Usah diperkenalkan panjang-lebar siapa dirinya? Kalau generasi baru masih tertanya-tanya, silakan ‘google’ saja nama beliau, banyak informasi boleh dicerap dari sana. Di halaman ini, Majalah WM ingin terus memanjangkan ceritanya yang terkini, menyingkap kehidupan baharunya yang dilihat semakin tenang bersama anak-anak sambil meneruskan kerjayanya yang dilihat sangat eksklusif. 

Baru selesai menyudahkan tugasannya sebagai juri sebuah program pertandingan nyanyian terbitan televisyen swasta baru-baru ini, figura bernama Ziana Zain ini ternyata masih bersimbah emas aura dan pesona yang dimiliki. Selain mahu mendengarkan komennya tentang bakat yang dipertandingkan, rancangan itu juga menjadi platform kepada peminatnya untuk menatap wajah dan tertunggu-tunggu penampilan Ziana yang saban minggu hadir dengan gaya yang tidak pernah mengecewakan. Elegan, classy dan stylish!

Bakal meraikan ulang tahun ke-56 pada 2 Mei ini, namun imej dan penampilan yang dibawanya jauh daripada usia sebenar. Ziana antara selebriti yang dilihat sentiasa menjaga ketrampilan diri, selalu tampil dengan wajah berias sempurna dengan sarungan adi busana selayak seorang diva! Tidak hairanlah apabila beliau mempunyai glam team sendiri yang akan memastikan penataan top to toe sentiasa tip top. 

Saat ditanya apakah petua kecantikan yang diamalkan sehingga terlihat awet muda dengan kulit wajah yang masih cekang dan susuk tubuh terletak kemas, kata Ziana, “Tiada amalan khusus yang Kak Gee amalkan, semuanya penjagaan biasa yang menjadi rutin harian seperti penjagaan muka yang tetap seperti mencuci dan melembab kulit. Cuma, semakin bertambah usia ni, kenalah jaga pemakanan juga. Kak Gee biasa amalkan berhenti sebaik saja berasa kenyang, jangan makan lagi. Cukup.”

Sibuk dengan agenda harian, Ziana tetap meluangkan masa untuk melakukan brisk walk atau ke gimnasium sesekali bagi mengelakkan otot jatuh. Senaman penting untuk menganjalkan kembali bahagian-bahagian tubuh yang sudah melalui proses pemecahan lemak, dan semakin berusia, ia semakin ketara. Tidak seperti kebanyakan selebriti lain yang mungkin menjadikan rutin bulanan ke pusat rawatan kecantikan untuk melakukan facial dan sebagainya, bagi Ziana ia bukan tuntutan kecantikan utamanya, memadai disiplin penjagaan wajah yang tetap di rumah.

Bebas Gosip dan Skandal Walau Berstatus ‘Single’

Sudah hampir tujuh tahun berstatus ’single’ dan ibu tunggal, namun Ziana belum pernah dilanda gosip atau skandal liar yang mengaitkan dirinya dengan mana-mana lelaki. Menjadi lumrah dan ujian bagi wanita yang berstatus ‘janda’ kerap kali terpalit cerita-cerita liar tentang hubungan dengan laki orang atau mana-mana VIP yang biasa menjadi buah mulut mereka yang bergelar selebriti. Apatah lagi, Ziana Zain yang masih lawa dan ‘meletop’ persis anak dara! Tiadakah yang ‘mengapi-api’ atau Ziana sendiri bijak menepis?

Kongsi Ziana jujur, daripada zaman anak dara lagi beliau bukan jenis ‘kaki lepak’ atau dalam erti kata lainnya, beliau bukan jenis yang suka berpelesiran tak tentu arah. Jauh sekali untuk duduk minum-minum dengan orang yang baru atau tidak dikenali. Istilah ‘dating’ memang tiada dalam kamus hidupnya. Bukan mudah untuk orang yang tidak mengenalinya mahu keluar berduaan dengannya. Semua orang tahu Pak Zain juga seorang yang amat tegas dan menjaga hal-hal sebegitu. 

“Apa lagi waktu sekarang ni, kalau keluar pun dengan orang yang Kak Gee kenal saja atau dengan anak-anak. Bukan masanya lagi nak dating dik. Untuk elakkan diri kita terjebak dengan isu-isu panas seperti itu, kita sendiri kena elakkan menjerumuskan diri ke arah situ. Elakkan pergi ke tempat-tempat yang ‘tak cantik’. Jangan mengundang fitnah, maka orang tak akan berkata tentangnya,” jawab Ziana tegas.

Ditanya pula bagaimana Ziana kekal bertahan sehingga kini? Ujar Ziana Zain yang mula menandatangani kontrak rakaman bersama syarikat rakaman BMG pada 1990, setinggi mana pun kita berada, jangan lupa untuk memandang tanah di bumi. Itu antara nasihat dan tips Ziana kekal diminati sehingga ke hari ini. “Lagi satu, dalam hati jangan ada perasaan dengki. Ingat, setiap kita mempunyai ‘rumah suara’ tersendiri, bakat kita berbeza antara satu dengan yang lain. Jadi, untuk apa kita bersaing secara tak sihat? Pesan Kak Gee juga murahkan senyuman, selalulah berkata yang baik-baik dan bawa diri dengan positive vibes, maka orang sekeliling akan selesa dengan kita,” tambahnya lagi.

Terfikir untuk bersara?

“Sehingga kini, Kak Gee tak pernah terfikir untuk bersara, Alhamdulillah Allah kurniakan Kak Gee pekerjaan yang Kak Gee suka dan mampu buat. Kak Gee tak pernah complaint dengan apa yang Kak Gee buat selama ini. InsyaAllah selagi ada kudrat dan penerimaan peminat, Kak Gee akan terus di sini.”

Persiapan Raya dan Baju Raya Rizman Ruzaini

Raya seadanya. Begitulah yang boleh digambarkan sambutan Aidilfitri Ziana bersama keluarga dan anak-anaknya nanti. ”Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, kami akan beraya bersama berkumpul di rumah Mak dan Abah. Persiapan lebih kepada menu-menu wajib Hari Raya kami seperti ketupat, rendang, kuih kacang manakala biskut Raya biasanya akan dibeli awal.”

”Bercakap tentang tema baju Raya. Anak-anak lelaki dah beritahu awal-awal nak pakai baju Raya tahun lepas sahaja. Mereka selesa begitu. Biasalah anak lelaki kan, tak banyak kerenah dan ragam kalau bab baju-baju ni. Tema warna apa pun masih belum diputuskan, kita tengoklah nanti nak dekat-dekat Raya, apa yang berkenan di hati,” ujar Ziana diselangi tawanya.

Bercakap perihal baju Raya, jenama tempatan terkenal yang sinonim dengan Ziana Zain, Rizman Ruzaini pasti ada dalam senarai baju Raya wajib Ziana tahun ini, betul?

”Setiap tahun, kami sentiasa ada bekerjasama. Hubungan Kak Gee dengan adik-adik Kak Gee ni, Rizman dan Ruzaini sudah lama. Kak Gee selesa dengan mereka dan suka dengan setiap karya yang dihasilkan. Kalau bercakap tentang baju Raya mereka, ya tidak dinafikan koleksi Raya RR tidak pernah mengecewakan saban tahun. Fabrik yang digunakan airy dan tidak panas, selesa untuk dipakai sepanjang hari beraya. Itu yang Kak Gee suka. Pilihan warna dan potongan juga tak perlu dinafikan, amat sempurna dan stylish.

Pesanan Ziana kepada semua peminatnya untuk Hari Raya ini, ”Selamat menyambut Hari Raya kepada semua peminat Kak Gee terutamanya Ziana Folks. Pesan Kak Gee berayalah secara sederhana, syukuri apa yang kita ada dan raikan seadanya. Kalau yang memandu pulang ke kampung tu, berhati-hati, kalau mengantuk, berhenti rehat. Kita tak mahu kerap kali terdengar kes kemalangan jiwa di saat orang tersayang menanti kita di kampung. Kalau yang masih ada orang tua, pergilah balik jenguk. Raikan warga emas ini, bagi mereka rasa yang masih dihargai dan disayangi ya. Ingat dik, esok lusa entah ada lagi atau tidak masa dipinjamkan... ”

Sesuatu Yang Ziana Rindukan, Yang Tak Mungkin Berulang

“Kalau bercakap tentang Raya, Kak Gee rindu program televisyen Raya dulu-dulu, terutamanya zaman 90-an. Kita dapat lihat program yang disiarkan sangat meriah dengan seramai-ramai selebriti dihimpunkan dalam rancangan berwarna-warni dan dendangan pelbagai lagu nostalgik,” cerita Ziana mengimbau kenangan Raya zaman dulu-dulu.

Ziana juga teringat zaman wujudnya syarikat rakaman yang merapatkan hubungan selebriti dengan Pegawai Perhubungan Awam. Malah pihak syarikat rakaman juga akan menjaga selebriti di bawah naungan mereka dengan begitu baik dan sempurna. Umpama menatang minyak yang penuh. 

Menurut Ziana lagi, senario industri dahulu berbeza tanpa media sosial. Mereka bersaing secara sihat tanpa hasad dengki yang ada kala sengaja dipamerkan pada hari ini. ”Sekarang berbeza, orang boleh bercakap apa sahaja tentang diri kita secara tak bermoral. Mediumnya ada media sosial yang tiada sekatan dan limitasi. Kebanyakan netizen menjadikan penggunaannya kurang sihat dengan mengajak orang lain mengutuk, mengata secara berjemaah, perkara itu dilihat normal sekarang.” tegas Ziana.

Dan, yang terakhir, dia turut merindui zaman adanya majalah bercetak. Walaupun, sekarang ia bersifat digital, namun feel dan nikmatnya tidak sama dengan membaca majalah secara fizikal yang mana boleh dipegang dan dijadikan koleksi. “Cara laporan media juga sudah berbeza. Tapi, apa nak dikata, itulah perubahan zaman…” akhirinya.

Kredit Foto:
Terima kasih kepada team Rizman Ruzaini
Solekan dan Dandanan: Sheila Mohamad
Fotografi: Fakhri Razzi
Pakaian: Rizman Ruzaini dan Rizman Ruzaini Red

Related posts

Adelin Dato’ Azman Happy Girls Are The Prettiest

admin

MBDA Voice to shape the Malaysian fashion, lifestyle, and creative ecosystem

admin

Jantra Loves Fashion – “I Got It From Mama and Opah”

Wirda Adnan

Leave a Comment