GAYA HIDUP

PERDANA MENTERI MELANCARKAN ‘VISIT MALAYSIA 2026’

(L-R) Fahmi Fadzil, Amirudin Shari, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Seri Tiong King Sing, Chief Secretary to the government Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar posing with the newly launch of Visit Malaysia 2026 logo and mascots Wira and Manja at hangar 6 MAB engineering complex, KLIA. —SAMUEL ONG/The Star

“Perdana Menteri menyambut Tahun Baharu bersama rakyat Malaysia dan secara rasmi melancarkan Visit Malaysia 2026 di Pavilion Kuala Lumpur, diserikan dengan pertunjukan bunga api piro muzik, formasi dron, pertunjukan laser serta paparan 3D anamorfik yang memukau, diiringi barisan artis ternama tanah air”

Malaysia menyambut ketibaan Tahun Baharu dengan penuh gemilang apabila Visit Malaysia 2026 Countdown Festival (VM2026) mencapai kemuncaknya menerusi sambutan Malam Tahun Baharu yang spektakular di Pavilion Kuala Lumpur. Acara bersejarah ini merupakan satu kerjasama strategik antara The Fame Events, Pavilion Kuala Lumpur dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), dan berperanan sebagai acara pembuka tirai ikonik bagi menyemarakkan momentum nasional serta aspirasi negara menjelang kempen VM2026.

Detik kemuncak malam tersebut ialah saat kiraan detik yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia selaku Tetamu Kehormat, yang bersama ribuan rakyat Malaysia dan pengunjung menyambut Tahun Baru. Turut hadir YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, berkata:

“Perayaan ini adalah acara simbolik bagi menyemarakkan momentum Visit Malaysia 2026 sambil mengalu-alukan dunia ke negara kita. Malaysia kini bersedia sepenuhnya untuk menampilkan keunikan budaya, kreativiti serta keramahan rakyatnya. Ia menandakan permulaan ke arah aspirasi mencapai 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di peta pelancongan global.”

The VM2026 Countdown Festival menzahirkan keunggulan Malaysia di pentas antarabangsa. Dengan kehadiran ribuan pelawat tempatan dan antarabangsa, sambutan Malam Tahun Baharu ini menampilkan sebuah persembahan multimedia yang mengagumkan dengan menggabungkan bunga api piro muzik, formasi dron dan unjuran laser. Antara tarikan utama ialah paparan 3D anamorfik yang menampilkan maskot kempen kesayangan ramai, Beruang Matahari Malaya, Wira dan Manja.

Pentasan utama turut diserikan dengan barisan artis tempatan terkemuka, antaranya Shila Amzah, Aina Abdul, Belle Sisoski, Vanessa Reynauld, Kidd Santhe, The Kuans, KLP48, Nazu, Rezza Shah, Danson Ooi, Euzen dan Penny. Persembahan mereka dilengkapkan dengan segmen pameran kebudayaan khas yang menggabungkan elemen tradisional dan moden, sekali gus menyerikan suasana perayaan.

VM2026 Countdown Festival merupakan sebahagian daripada program perayaan yang lebih besar, bermula seawal 26 Disember 2025, dan melangkaui pusat bandar Kuala Lumpur. Pelbagai acara dan aktiviti selari telah dianjurkan bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai kekayaan warisan serta semangat kreatif Malaysia, sambil mengalami intipati Truly Asia.

Antaranya termasuk Bazar VM2026 di Pavilion Bukit Jalil serta Pameran Seni & Budaya VM2026 di Fahrenheit 88 yang menampilkan pop-up kebudayaan dan pengalaman interaktif seperti seni batik, pembuatan porselin dan hiasan wau, di samping pameran yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sepanjang beberapa hari penganjuran. Keunikan gastronomi Malaysia turut diketengahkan menerusi Bazar Makanan VM2026 Bukit Bintang di Lot 10, yang menyajikan masakan tradisional, kegemaran tempatan dan sajian kontemporari.

Kemeriahan pra-acara turut diperkukuh dengan persembahan harian oleh 10 DJ ikonik, flash mob di Persimpangan Bukit Bintang yang juga digelar Shibuya Malaysia serta persembahan busking di beberapa lokasi utama, sekali gus sekali gus menyemarakkan suasana menjelang detik kiraan dan mencetuskan perhatian di lapangan serta di media sosial.

Visit Malaysia 2026 menyediakan platform untuk mengetengahkan naratif Malaysia ke peringkat global, berpandukan lima tonggak strategik utama: kelestarian, warisan budaya, pengembaraan berasaskan alam semula jadi, inovasi digital dan keterhubungan global. Namun, kekuatan ini akan lebih terserlah apabila diraikan secara bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

Festival ini dianjurkan dengan sokongan padu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tourism Malaysia sebagai rakan utama. Kejayaan penganjuran turut dipacu melalui kerjasama dengan rakan strategik termasuk Istana Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Tatkala kemuncak sambutan menerangi langit Kuala Lumpur, VM2026 Countdown Festival menandakan permulaan yang penuh yakin bagi tahun pelancongan yang bakal menjelang, sekali gus mengesahkan kesiapsiagaan Malaysia untuk mengalu-alukan dunia pada tahun 2026.

Tahun 2026 akan diperkukuh dengan pelbagai acara mega, termasuk sambutan perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali, yang akan menampilkan kepelbagaian budaya dan etnik Malaysia sambil memperkaya pengalaman pelawat menerusi persembahan seni, warisan dan hiburan tempatan yang bertenaga.

Momentum ini akan dipacu melalui pelaksanaan pelbagai acara dan program pelancongan berimpak tinggi, merangkumi festival kebudayaan, konvensyen serta aktiviti MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran), selain pameran pelancongan berskala besar. Dilaksanakan di peringkat nasional, pendekatan ini bertujuan memperluas jangkauan pelancongan, menggalakkan tempoh penginapan yang lebih panjang dan menyediakan peluang bermakna untuk pelancong meneroka identiti budaya unik di setiap wilayah Malaysia.

Related posts

Filem ‘Babi’ vs Babi (Daging Import Haram)

admin

Khasiat Bawang Putih

admin

SENI DAN INSANI DISANTUNI

Wirda Adnan

Leave a Comment