Saya bukanlah mahu mempertahankan filem ‘Babi’ arahan Namewee, tetapi jika dibanding dengan perbuatan ‘membabikan’ daging import menjadi halal, sudah tentu ia lebih hina daripada filem babi.
Sekurang-kurang Namewee terus dalam menerbitkan filem Babi untuk tontonan semua. Namewee menyerlahkan siapa diri dia sebenar. Dia berani. Dia bersedia menerima sebarang pandangan dan kritikan.
Paling jelas, sudah tentu, filem Babi ini, tidak ada unsur rasuah, yang boleh meruntuhkan negara. Dosa makan rasuah lebih berat daripada makan babi. Babi hanya nama, makhluk ciptaan Allah tetapi ‘membabikan’ daging-daging bagi menghalalkannya sangat hina.
Salahnya Namewee, mungkin dari segi ultra kiasunya, kurang memahami adab budaya setempat dan sentimen sensitiviti kaum. Tetapi perbuatan melepaskan daging tidak halal, seterusnya diletakkan label halal, ibarat memakan daging babi, adalah perbuatan tersembunyi yang sangat terkutuk. Pengkhianatan kepada agama, bangsa dan negara.
Pelbagai unsur kejahatan yang terselindung, seperti melepaskan import daging haram untuk dijual, meletakkan label halal, sebelum dipasarkan, seterusnya menjual kepada pasaran untuk dibeli pelanggan yang sudah tentu, majoriti pemakannya adalah orang Islam.
Dalam hal ini sudah tentu, ada beberapa agensi penguatkuasaan yang terlibat.
Menurut laporan, taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.
Ini baharu satu pelabuhan, bagaimana dengan pelabuhan yang lain. Lagi pun ultra kiasu yang mengetuai pelabuhan bukan kisah sangat dengan halal haram. Masalahnya, pemakannya adalah kita.
Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MaQIS), rupanya sindiket kartel menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang di pelabuhan, sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu. Kemudiannya akan ditampal tanda halal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Tindakan ini dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia, kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.
‘Modus operandi’ sindiket terbabit adalah dengan mendapatkan stok daging sejuk beku dari luar negara sebelum dikatakan diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Bagi memastikan kegiatan penyeludupan terbabit berjaya, mereka (sindiket) dipercayai akan menggunakan dokumen palsu termasuklah borang Kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran.
Peliknya, tak kan pihak berkuasa pelabuhan tidak mengetahui perkara ini semu? Apa yang mereka lakukan selama ini?
Dilaporkan, wujud syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan mudah mengimport daging sejuk beku dari negara yang tidak menerima kelulusan sah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu. (Sinar Harian 2 Disember 2020).
Hairan saya, sudahlah Malaysia dikenali dengan lambakan ternakan babi, sehingga mencemarkan sungai dan alam sekitar. Ada pula ultra kiasu bikin filem ‘Babi’. Ditambah pula bagaimana membenarkan daging haram ditukar menjadi halal dengan menukarkan labelnya.
Perangai babi apakah semuanya ini?
Apa sudah jadi dengan sebuah negara yang majoriti Islam, tetapi syiar Islam kurang menyinar. Yang terlebih bersinar adalah perkara-perkara haram dan subahah seperti ‘babi-babi’ ini.
Sebab itu, tak payahlah kita bersusah payah nak protes filem Babi, jika ‘babi-babi’ begitu mudah dibawa masuk untuk dihidangkan ke perut kita semua.
Maka sudah sampai masanya tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab melepaskan babi-babi ini.
Kita tidak mahu lagi mendengar pegawai kerajaan Gred 48, boleh hidup mewah dan menjadi kaya raya sekelip mata. Sedangkan perkara itu terlalu mustahil boleh berlaku. Kerja kerajaan ini mana boleh kaya, termasuk juga mereka yang berada gred JUSA dan Turus. Jika menjadi kaya raya, bermakna, makan rasuahlah. Kecualilah memang daripada keturunan kaya-raya.
Saya merayu dan memohon kepada semua pihak bertanggungjawab supaya melakukan beberapa perkara ini, bagi memastikan semua masuk ke perut adalah benda yang halal.
Pertamanya, tiba masanya juga kita melahirkan lebih banyak pengusaha Muslim eksport import daging.
Tidak dinafikan bahawa perniagaan ini memerlukan belanja yang besar. Pelaburan untuk storage facility dan logistik terlalu tinggi.
Kedua, agensi berkaitan agama yang kaya raya, hasil daripada kutipan zakat negeri-negeri, perlu melakukan sesuatu untuk meramaikan usahawan import eksport Muslim.
Semua sedia maklum bahawa usahawan Muslim tidak banyak modal untuk menjadi ‘pemegang agensi, ditambah pula rantaian bekalan (supply chain) tidak kuat.
Ketiga, sudah sampai masanya juga agensi berkaitan agama melaburkan dalam perniagaan ini. Jangan hanya suka melabur untuk membina dan membeli bangunan bagi menunjukkan kehebatan pengurusannya. Begitu juga membeli ladang-ladang.
Ingatlah, melaburkan dalam perniagaan ini adalah fardu kifayah ini bagi menjaga punca makanan.
Al-maklum sahajalah, membeli bangunan atau ladang, mudah mendapat mendapat komisen ‘one off‘, sedangkan melaburkan dalam projek yang masuk ke perut menjadi darah daging ini, tidak ada komisen.
Untuk maklumat, pengimport dan pembekal utama daging kepada distributors/wholesaler dikuasai oleh bukan Islam Pok Brothers, Lucky Frozen dan sebagainya. Cuba teliti rantaian bekalan dan logistik mereka. Mampukah kita bersaing?
Keempat, belajarlah daripada kesilapan demi kesilapan. Jangan ulangi kesilapan seperti biasa kita lihat. Sangat menyedihkan, bila ada agensi kerajaan membuat projek ‘high impact’ dalam peruncitan, biasanya mengikut amalan, cara mengurus mengikut gaya dan urus tadbir kerajaan iaitu dengan meletakkan pengurusan tertinggi dalam kalangan pegawai-pegawai tinggi kerajaan (termasuk yang telah bersara) yang tidak ada pengalaman dalam industri dan selok-belok ‘retailing wholesaling’ dan ‘distributorship’.
Akhirnya, apa jadi? Sebab itu, kebanyakan projek seperti ini gagal selepas lima tahun beroperasi. Salah siapa?
Kelima, tindakan tegas mesti dikenakan ke atas siapa juga yang bertanggungjawab melepaskan daging haram ini berada di pasaran untuk dibeli dan dimakan oleh umat Islam, terutama mereka yang bertugas berkaitan dengan pelabuhan. Buatlah siasatan sehingga ke akar umbi.
Keenam, lantiklah mereka untuk mengetuai pelabuhan dalam kalangan profesional yang ada iman dan takut kepada Tuhan, bukan orang politik. Lebih-lebih lagi ultra kiasu. Pelabuhan ini adalah maruah kedaulatan dan keselamatan negara.
Akhirnya, saya merayu, agar kita semua mengambil iktibar daripada kejadian ini. Kerja melahirkan usahawan Muslim dalam bidang peruncitan eksport import adalah fardu kifayah. Berdosa kita jika tidak melakukan usaha ini, kerana melibatkan ramai orang. Bersihkah perut dan darah daging kita?
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Facebook: https://www.facebook.com/ridhuantee/