
SK intellix Malaysia memperkenalkan peranti berasaskan kecerdasan buatan yang menggabungkan pemantauan kesejahteraan, penulenan udara dan interaksi suara dalam satu inovasi pintar.
Perkembangan teknologi pintar kini membuka ruang baharu dalam usaha meningkatkan kualiti hidup. Daripada peranti yang membantu mengurus rutin harian kepada sistem automatik yang menyesuaikan diri dengan persekitaran, inovasi semakin dekat dengan keperluan kehidupan moden.

Meneroka potensi tersebut, SK intellix Malaysia memperkenalkan Namuhˣ, peranti robotik kesejahteraan yang dibangunkan untuk kediaman dan ruang kerja moden. Diperkenalkan ke pasaran Malaysia sebagai antara pelopor dalam bidang robotik kesejahteraan, Namuhˣ menggabungkan kecerdasan buatan (AI), pemantauan indikator kesejahteraan terpilih dan penjagaan kualiti udara dalam satu peranti.

Keistimewaan Namuhˣ terletak pada keupayaannya bergerak secara autonomi di dalam ruang bagi mengesan perubahan keadaan persekitaran dan bertindak balas terhadap kualiti udara. Dengan liputan sehingga 2,000 kaki persegi, peranti ini menawarkan pendekatan berbeza berbanding penggunaan beberapa unit penulen udara statik.
Keupayaan tersebut membolehkan Namuhˣ bergerak ke kawasan yang memerlukan perhatian, sekali gus membantu melaksanakan penulenan udara secara lebih bersasar apabila bahan pencemar dikesan. Dalam keadaan Malaysia yang masih berdepan isu jerebu dari semasa ke semasa, teknologi seperti ini menawarkan pilihan tambahan untuk penjagaan udara di dalam rumah dan ruang kerja.
Interaksi lebih semula jadi menerusi AI

Selain keupayaan bergerak secara autonomi, Namuhˣ turut dilengkapi teknologi Large Language Model (LLM), iaitu teknologi AI yang membolehkan interaksi dalam bentuk perbualan semula jadi. Pengguna boleh bercakap terus dengan peranti untuk mendapatkan maklumat berkaitan apabila diperlukan.
Pendekatan kawalan suara ini menjadikan interaksi dengan teknologi lebih mudah dan intuitif. Pengguna tidak semestinya perlu bergantung sepenuhnya pada kawalan manual untuk berkomunikasi dengan peranti tersebut.
Namuhˣ juga boleh dihubungkan dengan aplikasi mudah alihnya, membolehkan pengguna kekal berhubung dengan peranti walaupun berada jauh dari rumah. Gabungan interaksi suara dan sambungan mudah alih ini memperlihatkan bagaimana teknologi pintar boleh disepadukan dalam rutin harian.
Menurut Pengarah Urusan SK intellix Malaysia, Andy Kim Ja Joong, pengguna selama ini lazimnya bergantung pada peranti berasingan untuk mengurus kualiti udara dan mendapatkan maklumat berkaitan kesejahteraan.
Namuhˣ, katanya, menghimpunkan pengalaman tersebut dalam satu peranti, sekali gus memperkenalkan pendekatan baharu terhadap kesejahteraan menerusi robotik. Beliau turut menekankan bahawa teknologi seharusnya terasa semula jadi, mesra pengguna dan sesuai dengan cara manusia menjalani kehidupan.
Teknologi yang berpusatkan manusia

Diperkenalkan terlebih dahulu di Korea, Namuhˣ mencerminkan visi syarikat untuk menggabungkan teknologi pintar dengan penyelesaian kesejahteraan yang berteraskan keperluan manusia.
Pelancarannya di Malaysia turut menandakan usaha berterusan SK intellix Malaysia dalam memperluas pengalaman kehidupan berkualiti melalui inovasi dan teknologi kesejahteraan pintar.
Dalam landskap kediaman moden yang semakin mengutamakan kemudahan, keselesaan dan kecekapan, kehadiran peranti seperti Namuhˣ memperlihatkan perubahan peranan teknologi. Ia bukan sekadar alat yang digunakan apabila diperlukan, tetapi direka untuk bergerak, mengesan perubahan persekitaran dan membantu pengguna mengurus aspek tertentu kehidupan seharian dengan lebih mudah.
