Di bumi Malaysia ini, kamu juga seperti aku, kita tidak dibelenggu.
Kamu dan aku bisa tidur lena.
Tiada ancaman bom, tiada peluru meluru ke pintu.
Di bumi yang bertuah ini, kita bisa ke sana ke sini mencari rezeki.
Enam puluh lapan tahun kini usia kemerdekaan.
Lalu apa yang kita mahukan lagi? Hidup terus aman, rezeki yang berpanjangan, anak cucu berpendidikan, berpelajaran, tiada kemiskinan dan tiada penderitaan. Tidak ada penindasan dan kezaliman, menikmati ‘equal right’ tidak kira siapa kita. Yang rajin berusaha, pendapatan lumayan, yang kurang pun tetap ada pekerjaan, boleh makan. Di kampung terus dapat bercucuk tanam, di kota tiada gelandangan. Setiap rakyat miliki rumah sendiri. Ya itulah harapan agar kita semua bisa hidup dalam kesejahteraan dan aman di bawah pemerintahan kerajaan pilihan MADANI kini.
Namun yang amat menyedihkan terlalu ramai yang menggunakan kuasa bebas itu untuk memporak-poranda keamanan negara. Ramai hilang sopan dan tidak bermaruah menabur fitnah, menghina, menipu. Rasuah dirasakan amanah walaupun dalam usaha kerajaan membanteras habis-habisan. Pembangkang berkomplot tidak habis-habis dengan mencanang Malaysia tidak dipimpin dengan betul. Tikam menikam berterusan, tidak kira sahabat atau darah daging sendiri. Mereka lupa bangsa dan agama. Yang konon tinggi ilmu agama bersekongkol dengan perasuah, penzina, penipu, pengkhianat. Mereka yang sepatutnya bertindak sebagai penasihat atau pembela agama sudah dirasuki ‘dajal’ membenarkan kezaliman di depan muka. Asal menguntungkan kerana sogokan wang berjuta sebagai habuan bersekongkol, langsung hilang maruah menghalalkan yang haram sehingga lupa pada satu masa dahulu, merekalah yang bermati-matian konon menegakkan syiar Islam.
Namun semenjak dua tahun kebelakangan ini ekonomi negara kian menampakkan pertumbuhan yang amat mengalahkan rentetan usaha kerajaan memperbaiki sistem kewangan negara, menentang rasuah secara habis-habisan, menurunkan defisit seterusnya membawa banyak pelabur asing ke dalam negara. Hutang negara yang bertimbun timbun sehingga anak cucu cicit pun jika dibiarkan tidak berbayar akan terus menjahanamkan infisit negara dan kerajaan berusaha menurunkan defisit secara berfasa demi mengurangkan hutang negara. Malaysia yang punya pelbagai sumber alam yang Allah kurniakan dari bumi yang subur dan lautan yang bernilai seperti minyak tidak mahu lagi dicemari oleh kuasa-kuasa mereka yang tamak haloba.
Seyugia, usaha murni kerajaan bukan sahaja dicemik pembangkang dengan menaburkan pelbagai fitnah dan maki hamun dalam sosial media malah membawa ke jalanan untuk bertempek ‘Turun Anwar’. Ribuan penyokong yang dikatakan dibayar supaya turut sama berteriak merentang sepanduk ‘Turun Anwar’ di pelbagai sudut himpunan. Kata-nista dilemparkan. Bertambah kejam dibuat sebuah patong Perdana Menteri dan ditegakkan di tengah-tengah himpunan kemudian ia belasah sehabis-habisnya menandakan kebencian yang teramat sangat kepada pemimpin negara ini. Terlihat wajah-wajah pemimpin pembangkang tersenyum simpul yakni penuh dengan kepuasan dan kebanggaan kerana berjaya membusuk dan menghina insan yang bernama Anwar Ibrahim. Majlis diakhiri dengan doa qunut Nazilah yang dipimpin oleh orang kuat PAS sendiri mohon musnah insan yang mereka jijikan ini. Inikah ajaran agama Islam yang kamu muliakan?
Bila yang jujur difitnah
Dan yang menipu dipuja
Inikah yang dikatakan merdeka? Inikah cara kebebasan yang kamu mahukan, menentang apa juga usaha kerajaan membaik pulih semua sektor dalam negara; ekonomi; kesihatan, pendidikan, perdagangan antarabangsa, keamanan dalam dan luar negara, menjalin erat perpaduan dan banyak lagi. Mengapa dipandang enteng, sedang usaha itu adalah demi kesenangan dan kemakmuran, ketahanan jati negera dan sebagainya.
Kita tidak mahu lagi ibu bapa merintih bahawa anak mereka masih tidak mendapat pekerjaan sesuai ijazah. Kita tidak mahu lagi anak jiran yang memiliki PhD (jiran saya di kampung), sekadar diterima bekerja sebagai jurujual di farmasi dengan gaji RM1900. Tidakkah ini menyesakkan jiwa ibu ayah dan anak? Suami teman yang juga punya PhD sukar mendapat kerja setelah kolejnya ditutup terus dan kolej-kolej swasta lain mengecilkan kursus, tentu kita mahu orang yang bijak pandai ini melangut tiada kerja. Sebaliknya kita mahu mereka terus menyumbangkan ilmu kepada anak bangsa. Dan pastinya kita mahu yang berkelulusan tinggi menyandang jawatan-jawatan penting di kerajaan dan swasta mahupun berniaga. Jangan ada lagi raider-raider yang menghantar makanan ke rumah-rumah kita, berkelulusan tinggi seperti jurutera, akauntan dan akitek kerana terpaksa mencari makan cara ini, sebaliknya biar yang bijak pandai ini menjadi pemimpin dan menyumbangkan ilmu serta kepakaran di sektor sesuai kelulusan.
Sebagai anak yang dilahirkan selepas merdeka khasnya, kita impikan negara yang aman dan tenteram. Kita bersama-sama mahu menikmati pertumbuhan ekonomi yang membanggakan, seyugia dapat diagihkan sama rata, supaya anak cucu terus hidup maju. Hari ini apa yang kita nampak adalah kenceman demi kecaman yang yang tidak sudah-sudah bagi menimbulkan rasa benci, jelek, curiga dan menyukarkan kerajaan menjalankan usaha untuk terus memajukan negara.
Maka berikan kerjasama anda. Gunakan otak dan akal yang Allah kurnia ke jalan yang betul. Jangan sebab tok nenek dulu sokong pihak tertentu kamu pun menyokong membabi buta, tanpa mengkelaskan baik buruknya, Jangan sebab beberapa ringgit diberikan dan kamu meluangkan kata nista, fitnah dan kebencian teramat itu. Ada kah itu nilai diri kamu yang sebenarnya?
Kini dengan usaha keras kerajaan, pintu perniagaan sudah banyak dibuka, bersama pintu masuk perdagangan luar yang dibuka luas untuk para pelabur. Patutkah kita halang usaha baik ini? . Anak-anak kita yang tamat pengajian yang mengharapkan untuk berdikari jangan dbiarkan lagi duduk di bawah bumbung ibu bapa.
Enam puluh lapan tahun Malaysia Merdeka. Ayuh kuatkan azam dan semangat bagi memaju negara ke jalan yang paling baik dan diberkahi.
Merdekakah kita bila melihat ramai rakyat menderita? Merdekakah kita bila masih mahu lanun-lanun yang merompak dan mengaut hasil negara untuk diri, keluarga, kroni dan menyelamatkan anak menantu daripada tahanan kembali mentabir negara?
Kita mencari hanya tulen dan jati
Sekadar hidup mengerti dan berbudi
Dan bumi akan subur, makmur dan mewah
Jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama
Tanah air memberi banyak
Mesra mendakap kita
Kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti
Dan dalam alaf baru
Semangat kita wajar padu berjalan kita
Atas nama tanah air dan bangsa
Bangga kerana merdeka
Megah kerana bahagia – A. Samad Said
Doa ku, Ya Allah, Martabatkan lah negara ini dan seluruh rakyat dengan kemuliaan di sisiMu Allah. Hindarkan kami daripada segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan dan pelihakan kami daripada segala bencana. Kurniakan kami dengan hikmah dan kebijaksanaan serta ketajaman fikiran supaya kami (rakyat) dapat terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Ya Allah kau Maha Pemberi, berilah kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, pelihara kami daripada azab api neraka. (maaf saya pernah menyuarakan pandangan ini di sebuah makalah dan hari ini saya mahu anda membacanya sekali lagi dengan pertambahan kisah tauladan yang meruntun jiwa).
Selamat menyambut hari kemerdekaan ke 68 tahun.
