Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang berlangsung baru baru ini, Dr Selena In, ahli psikologi klinikal dan pensyarah kanan di Universiti IMU, menyingkap pelbagai cabaran yang dihadapi lelaki dala menjaga Kesihatan mental mereka.
“Perlukah kita menggunakan istilah itu? Nanti orang rasa tidak selesa.”
“Terapi? Tak payahlah. Itu untuk orang yang betul-betul tidak stabil saja.”
“Tak ada apa-apa. Saya baik-baik saja,”
Perbincangan tentang kesihatan mental bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya dalam kalangan lelaki, kerana topik ini sering kali disambut dengan keengganan atau penolakan.
Menurut Dr. Serena In, ahli psikologi klinikal dan pensyarah kanan di Universiti IMU, stigma terhadap isu kesihatan mental masih kuat berakar umbi dalam masyarakat Malaysia. Namun, hakikatnya kita tidak boleh terus menafikan atau melarikan diri daripada realiti tersebut.
Statistik menunjukkan trend yang membimbangkan. Data tahun 2015 menganggarkan kadar gangguan mental di Malaysia mencecah 29%. Ia peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding tahun 1996. Manakala data tahun 2023 pula mendedahkan bahawa sekitar satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, angka yang lebih daripada dua kali ganda berbanding tahun 2019.
Hakikatnya, tahap kesihatan mental rakyat Malaysia berada pada paras yang merisaukan, dan situasi ini lebih ketara dalam kalangan lelaki. Ini banyak dipengaruhi oleh cara berfikir tradisional tentang peranan lelaki dalam masyarakat, bagaimana mereka sepatutnya bertingkah laku, serta batasan terhadap apa yang dianggap ‘boleh diterima’.
Perjuangan Lelaki Dalam Menghadapi Isu Kesihatan Mental
“Dalam banyak keadaan, wanita cenderung untuk lebih terbuka. Mereka lebih mudah mengakui dan berkongsi perasaan dengan rakan-rakan. Namun bagi orang lelaki, mereka sering diharap untuk kekal tabah, kuat dan tidak beremosi. Harapan seperti ini akhirnya menjadi pegangan dalaman, malah sering diperkukuh melalui pujian. Sejak kecil lagi, anak lelaki dibesarkan dengan tanggapan bahawa menunjukkan emosi atau meminta pertolongan itu tanda kelemahan. Ada kalanya mereka turut diejek atau dikritik apabila melakukannya. Akibatnya, ramai lelaki berasa malu apabila mereka gagal memenuhi harapan diri sendiri atau orang lain,” jelas Dr. Serena. “Apabila lelaki berasa tertekan kerana tidak mampu menepati harapan tersebut, keadaan ini dikenali sebagai masculine discrepancy stress, atau tekanan akibat ketidaksesuaian dengan jangkaan maskuliniti. Hal ini menambah lagi beban mental dan emosi yang mereka tanggung, di samping masalah lain yang sedang mereka hadapi.”

Menjelaskan dengan lebih lanjut, beliau berkata, lelaki turut memikul beban tambahan dalam menghadapi cabaran harian kehidupan, seperti waktu kerja yang panjang, tuntutan berterusan, serta tanggungjawab di tempat kerja dan di rumah. Lelaki lazimnya dilihat sebagai pencari nafkah utama keluarga. Apabila berdepan kesukaran kewangan, tekanan serta perasaan tidak mencukupi mudah timbul. Keadaan ini pula sering diperburuk oleh pengaruh media sosial yang menonjolkan gaya hidup ideal dan serba sempurna.
Gabungan semua faktor ini boleh menjadi terlalu berat untuk ditanggung sesiapa pun. Namun, kesannya lebih mendalam terhadap lelaki yang mudah terkesan dengan pandangan negative serta kritikan,
Tanda-Tanda Tekanan Kesihatan Mental
Kerap kali kita mendengar ungkapan seperti, “Saya tak tahu pun apa yang sedang dia lalui,” sehinggalah sesuatu berlaku. Ini kerana tanda-tanda gangguan kesihatan mental selalunya tidak jelas kelihatan. Dalam banyak keadaan, masalah ini berkembang secara perlahan-lahan, dan ini membuatkan kita mudah terlepas pandang proses itu. Bagi sesetengah orang pula, mereka menyembunyikan pergolakan dalaman di sebalik sikap dan tingkah laku yang kelihatan terkawal. Mereka sudah terbiasa berlakon seolah-olah semuanya baik-baik saja. Mereka tahu apa yang perlu dikatakan dan bagaimana harus bertindak, sehingga tiada sesiapa pun yang menyedari apa sebenarnya yang mereka alami.
Tanda amaran masalah kesihatan mental boleh muncul secara tidak langsung, sama ada pada lelaki mahupun wanita. Namun, sesetengah daripadanya lebih kerap dilihat dalam kalangan lelaki.
Perubahan tingkah laku dan emosi, termasuk tetapi tidak terhad kepada:
- Meningkatnya rasa mudah marah, gelisah, atau cepat naik angin. Antaranya, ia boleh terlihat melalui letusan kemarahan berulang, daripada sekadar ‘cepat panas’ hingga ke tahap baran jalanan (road rage).
- Tingkah laku mengawal atau bersifat kasar, sama ada secara lisan mahupun fizikal.
Tingkah laku berisiko atau eskapis (mengelak atau melarikan diri dari kenyataan), iaitu tindakan mengalih perhatian daripada emosi sebenar atau cuba ‘merawat diri sendiri’, seperti:
- Penyalahgunaan alkohol atau dadah, sama ada lebih kerap atau dalam jumlah yang berlebihan.
- Kelakuan berisiko seperti memandu secara melulu, terlibat dalam sukan ekstrem, atau tingkah laku seksual yang berlebihan dan melampau.
- Tingkah laku ketagihan atau dorongan nafsu yang kuat seperti berjudi atau penyalahgunaan bahan.
- Tingkah laku obsesif, seperti terlalu menumpukan perhatian pada satu aktiviti seperti kerja, permainan video, atau bersenam secara berlebihan hingga mengabaikan aspek lain dalam kehidupan seharian.
Cara Memberi Sokongan dan Bantuan
Ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja memainkan peranan penting dalam memerhati perubahan tingkah laku dan menawarkan sokongan. Lakukanlah sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Dr. Serena turut berkongsi beberapa cadangan:
- Dengar dengan penuh perhatian. Bagi ramai lelaki, mengakui emosi dan meluahkan perasaan bukanlah perkara yang mudah. Mereka mungkin menggunakan ungkapan seperti “rasa kosong,” “tak ada semangat,” “letih sepanjang masa,” atau “tak ada mood” untuk menggambarkan keresahan, kemurungan atau kesedihan yang mereka alami.
- Luangkan masa bersama. Kehadiran anda amat bermakna. Kadang kala, mereka hanya perlukan seseorang di sisi sementara menunggu masa yang sesuai untuk berkongsi. Ada lelaki yang lebih selesa melakukan aktiviti. Jadi ajakan untuk minum bersama atau bermain sukan mungkin lebih mudah diterima berbanding ajakan untuk “berbual tentang perasaan.”
- Tawarkan bantuan. Ramai yang masih keberatan untuk mendapatkan pertolongan profesional, dan lelaki selalunya memerlukan lebih banyak dorongan untuk berbuat demikian. Sokongan boleh diberikan dengan membantu mereka membuat janji temu, menemani mereka ke sesi rawatan, atau mencadangkan pilihan dalam talian jika pertemuan bersemuka terasa terlalu berat.
Mendapat Perspektif Sihat Tentang Kesihatan Mental
Adalah penting untuk semua orang (bukan hanya lelaki) untuk memahami satu hakikat mudah ini. Setiap individu boleh berdepan dengan cabaran kesihatan mental, dan kita semua memerlukan bantuan dari semasa ke semasa.
Mengalami isu kesihatan mental tidak semestinya bermaksud seseorang itu menghidap gangguan atau memerlukan rawatan. Namun, yang penting ialah emosi itu perlu diakui dan diurus dengan cara yang sihat, serta disalurkan melalui ruang yang sesuai. Hal ini boleh dilakukan dengan langkah mudah seperti berbual dengan rakan, bersenam secara teratur, dan mendapatkan rehat yang mencukupi, jelas beliau.
Selain itu, beliau turut menggesa kaum Adam supaya melihat kesihatan mental sama seperti kesihatan fizikal.
“Kita perlu menjaga minda sebagaimana kita menjaga tubuh badan. Sama seperti anda berjumpa doktor apabila rasa tidak sihat secara fizikal, berjumpalah kaunselor atau ahli terapi apabila anda berasa terganggu dari segi mental atau emosi,” katanya.
