Lima dekad bukan sekadar angka, tetapi sebuah legasi. Tahun 2025 menjadi titik penting buat Dr Cardin, sebuah jenama kasut tempatan yang kini tampil dengan wajah baharu, visi segar dan cita-cita ‘mendunia’. Melalui penjenamaan semula yang lebih berani dengan didukung oleh gerak kerja generasi muda, Dr Cardin membuktikan bahawa jenama lokal mampu berevolusi tanpa meninggalkan akar warisan.


Langkah transformatif ini diraikan dalam sebuah sesi intim bersama media, pempengaruh serta pelanggan setia mereka di Rumi House Moonkitaa baru-baru ini. Acara eksklusif itu bukan sahaja menjadi simbol apresiasi, malah membuka lembaran baharu buat Dr Cardin yang kini semakin relevan dengan generasi muda.
Daripada Legasi Keluarga ke Aspirasi Global
Dalam sesi borak santai bersama Ketua Penjenamaan Dr Cardin, Chong Charl Yee, tetamu dibawa menyelami sejarah panjang jenama ini. Ramai yang tidak menyangka Dr Cardin sebenarnya berasal dari Malaysia—bukan jenama antarabangsa seperti yang sering disalah anggap.
Diasaskan oleh datuknya lebih lima puluh tahun lalu dan diteruskan oleh bapanya sejak era 90-an, Dr Cardin kini memasuki generasi ketiga kepimpinan keluarga. “Apabila kami empat beradik menyertai syarikat, kami tahu perubahan perlu dilakukan, daripada sistem e-dagang sehinggalah rekaan yang lebih kontemporari,” jelas Charl Yee.
Tahukah kamu bahawa nama Dr Cardin bukan merujuk kepada individu sebenar? “Cardin dalam bahasa Itali bermaksud kasut berkualiti, manakala ‘Dr’ melambangkan solusi—kami mahu menjadi jenama yang menyelesaikan keperluan pemakai dalam mencari kasut yang tepat,” tambahnya.
Menawan Hati Gen Z
Suatu ketika dahulu, Dr Cardin cukup sinonim dengan kasut kulit hitam—pilihan generasi terdahulu. Namun, jenama ini kini tampil dengan semangat baharu, menyasarkan Gen Z yang lebih berani bereksperimen dengan gaya.


Daripada sneakers moden, ballet sneakers sehinggalah beg tangan dalam palet warna segar, Dr Cardin membuktikan ia tidak lagi terikat dengan stereotaip lama. Transformasi ini disokong dengan pembaharuan logo yang kini diperkenalkan dengan simbol tiga bulatan bujur yang melambangkan portal ke dimensi kreatif baharu, selari dengan konsep bermusim yang sentiasa berevolusi.
Sokongan Selebriti & Perancangan Masa Depan
Penjenamaan semula ini turut diperkukuh dengan kolaborasi bersama figura berpengaruh seperti Amelia Henderson, Bella Astillah, Nadhir Nassar dan YB Syed Saddiq. Sokongan mereka membantu Dr Cardin menembusi pasaran generasi muda dengan lebih signifikan.
Tahun ini menyaksikan pelbagai pencapaian membanggakan, termasuk pertunjukan fesyen unik dan sesi TikTok Live Streaming berkonsepkan kedai runcit—di mana koleksi seperti The Origin Heritage Sneakers Denim Series, Drift Ballet Sneakers, serta beg tangan Era dan Dome habis terjual.

Memandang ke hadapan, Dr Cardin tidak memperlahankan langkah. Tahun 2026 bakal menyaksikan kolaborasi istimewa bersama jenama terkenal Bulan Bintang untuk koleksi lebaran.
“Koleksi ini akan dilancarkan pada penghujung Januari 2026, menampilkan wajah baharu kempen raya serta pengenalan koleksi kasut tumit tinggi,” dedah Charl Yee.
Daripada jenama warisan kepada simbol gaya kontemporari, Dr Cardin kini melangkah yakin ke pentas global. Ia membuktikan bahawa fesyen lokal mampu berdiri sama tinggi, malah melangkah lebih jauh.
