GAYA HIDUP

IKEA BAWA SAVANA KE MALAYSIA MENERUSI SANDLÖPARE

Seronoknya! Buat seketika kami para wartawan dan tetamu menjadi kanak-kanak semula. Anda sekeluarga juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik dengan aktiviti dalam gedung yang berlangsung di semua gedung IKEA di seluruh negara!

Nak tahu apa aktiviti yang kami buat? Semuanya yang digemari oleh kanak-kanak dan membuat orang dewasa Nampak comel; daripada Sudut Mewarna Savana, Bengkel Penyimpanan Mainan Lembut, Bengkel Rantai Kunci yang paling kami sukai kerana berpeluang membawa pulang rantai kunci bermanik yang lengkap dengan inisial nama sendiri yang comel dengan mainan lembut beruang menawan.

Tidak cukup itu, kami juga berpeluang untuk menyertai mainan Spot & Roar yang mana ia cukup menyeronokkan. Terdapat juga stesen aktiviti permainan, sudut kreatif dan pengalaman kereta api safari yang mengasyikkan. Semua ini ada di gedung-gedung terpilih setiap hujung minggu, bermula 27 November hingga 7 Disember 2025.

Membuat rantai kunci dan kereta api Safari antara aktiviti menarik

Savana Jadi Inspirasi

Semua aktiviti tersebut merupakan promosi bagi meraikan pelancaran koleksi SANDLÖPARE Safari, permainan yang bertemakan hidupan liar. Diinspirasikan oleh savana yang menakjubkan, koleksi ini dibangunkan dengan kerjasama Nordens Ark, sebuah pusat pemuliharaan hidupan liar Sweden. SANDLÖPARE menampilkan 29 produk, termasuk mainan lembut, sarung bantal, selimut dan cadar.

Perabot permainan yang direka secara unik dan mampu milik ini juga bertujuan bagi mengubah kehidupan seharian di rumah kepada pengalaman bermain yang mengasyikkan. Ia membolehkan kanak-kanak membayangkan semula bangku sebagai kuda belang, bertukar menjadi citah dengan jubah mandi, atau mentransformasikan bilik tidur menjadi tapak perkhemahan savana! Ini menggalakkan sifat ingin tahu serta kasih sayang terhadap haiwan terancam menerusi permainan imaginatif dan penceritaan.

“Bermain ialah cara kanak-kanak mengenali dunia ini, dan realiti hidupan liar terancam sememangnya wujud. Cabaran ini memerlukan sokongan generasi masa depan yang menyedari keagungan haiwan ini serta cara untuk melindunginya,” ujar Pengurus Stor, IKEA Klang Valley, Takeshi Murai.

“Walaupun kami tidak dapat membawa kanak-kanak ke savana, SANDLÖPARE mampu membawa dunia itu ke dalam rumah mereka. Di IKEA, kami mahu setiap kanak-kanak merasai rasa kagum, imaginasi dan kemungkinan tanpa batas, tidak kira latar belakang mereka,” tambahnya lagi.

Antara barangan koleksi Sandlopare

Setiap Pembelian Membawa Makna Istimewa

Berteraskan falsafah bahawa pembelajaran dan imaginasi harus boleh diakses oleh semua, IKEA Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Teach For Malaysia (TFM) bagi membawa impak bermain ke luar rumah. Sepanjang kempen, RM1 akan didermakan kepada TFM bagi setiap pembelian mainan lembut.

Semua sumbangan akan disalurkan kepada Program Fellowship TFM, iaitu sebuah program pembangunan kepimpinan selama dua tahun yang merekrut serta menempatkan graduan berprestasi tinggi dan profesional muda ke sekolah yang berkeperluan kritikal di seluruh Malaysia

Usaha ini mencerminkan komitmen jangka panjang IKEA terhadap kanak-kanak, selari dengan agenda kelestarian global yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, termasuk perlindungan hak kanak-kanak dalam masyarakat.

Fakta paling menarik, rangkaian mainan lembut SANDLÖPARE diperbuat daripada 100% bahan kitar semula, termasuk isi, kain luar, benang dan komponen pengukuhan. Proses ujian juga memainkan peranan penting dalam pembangunan mainan lembut di IKEA yang mana setiap produk menjalani ujian ketat sebelum dipasarkan, termasuk ujian tarikan, kimia, ketahanan serta beberapa pusingan di dalam mesin basuh, bagi memastikan mainan mengekalkan bentuk asal walaupun selepas dibasuh berkali-kali.

Koleksi SANDLÖPARE kini tersedia di semua gedung IKEA Malaysia – IKEA Damansara, IKEA Cheras, IKEA Tebrau dan IKEA Batu Kawan, serta secara dalam talian di IKEA.my.

Related posts

Malam Mehndi

adminwm

Lady Gaga Premieres New Song “Abracadabra” During GRAMMYS Commercial Break

adminwm

Seorang Mak Boleh Jaga 10 Anak, Tapi Anak?

admin

Leave a Comment