Durian ialah buah tropikal yang berasal dari Semenanjung Melayu serta pulau-pulau Filipina, Sumatera dan Borneo, tetapi telah dikenali di dunia Barat sekitar 600 tahun lepas. Ahli alamiah British abad ke-19, Alfred Russel Wallace, masyhur menyebut isi buah ini sebagai "kastard kaya dengan rasa badam". Buah ini boleh dimakan walaupun belum betul-betul masak, dan digunakan sebagai perisa kepada pelbagai jenis makanan berperisa dan manis dalam masakan Asia Tenggara. Bijinya juga boleh dimakan jika dimasak.
Isi buah ini mengeluarkan bau yang tersendiri, kuat dan tajam walaupun kulitnya belum dibuka. Sesetengah orang menganggap bau durian sebagai semerbak; manakala yang lain berasa aromanya amat kuat dan tidak dapat ditahan. Bau ini menyebabkan adanya larangan membawa masuk ke sesetengah hotel dan pengangkutan awam di Asia Tenggara.

Terdapat lebih 30 jenis spesies Durio yang diiktiraf, sekurang-kurangnya sembilan jenis daripadanya menghasilkan buah yang boleh dimakan. Durio zibethinus merupakan satu-satunya spesies yang boleh diperolehi di pasaran antarabangsa: spesies lain hanya dijual untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun terdapat ratusan kultivar durian; banyak pelanggan sukakan kultivar tertentu, yang membuatkan harganya berbeza-beza di pasaran.
Pokok durian muda. Pokok ini boleh tumbuh sehingga 50 m tinggi
Bunga durian selalunya tertutup di waktu siang
Durian, khususnya D. zibethinus, didebungakan secara terbuka, dan dengan itu menunjukkan banyak kepelbagaian dalam warna dan bau buah, saiz biji dan isi, dan fenologi pokok. Nama spesies zibethinus merujuk kepada musang kesturi, Viverra zibetha. Terdapat perselisihan sama ada nama ini, yang diberikan oleh Linnaeus, merujuk kepada sifat musang ini yang sangat sukakan durian sehingga buah ini digunakan sebagai umpan menangkapnya, atau kepada bau durian yang seperti bau musang kesturi.
Setelah beberapa abad, pelbagai jenis kultivar durian hasil daripada pembiakan vegetatif telah muncul di Asia Tenggara. Dahulunya ditanam dengan keputusan campur daripada biji pokok yang menghasilkan buah berkualiti tinggi, kultivar kini dibiakkan dengan perlapisan, penetutan, atau lebih lazim, melalui pencantuman, termasuk cantuman tunas, venir, potongan, tanggam atau U kepada kecambah pokok penanti yang dipilih secara rawak. Kultivar berlainan dapat dibezakan setakat tertentu melalui kepelbagaian dalam bentuk buah, seperti bentuk duri. Penggemar durian menyukai kultivar tertentu, menaikkan harganya di pasaran.
Kultivar berlainan biasanya memiliki warna berlainan. D101 (kanan) mempunyai isi kuning lemak, jelas lain dengan kultivar yang di kiri.
Terdapat banyak klon durian, kesemuanya mempunyai nama bermula dengan "D" dan diikuti dengan nombor. Sebagai contoh, sebahagian klon popular adalah D24, D99 (Kop Kecil), D158 (Kan Yao), D159 (Mon Thong) dan D197 (Raja Kunyit). Nombor D diberikan untuk membezakan mereka daripada "piawaian" jenis liar. Setiap kultivar memiliki rasa dan bau berlainan.
Di Malaysia pula, terdapat sekurang-kurangnya 199 klon durian yang telah didaftarkan dan banyak kultivar baik dikenalpasti melalui pertandingan tahunan dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA). Di Vietnam, proses sama turut dilakukan melalui pertandingan anjuran Institut Penyelidikan Buah Selatan. Varieti popular kini ialah D24 dan D101.
Ada satu klon durian yang memang tidak berduri semula jadi. Klon tersebut ialah D172. Ia didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia pada 17 Jun 1989. Durian ini diberi nama "Durian Botak" dan berasal dari Muar, Johor.
Durian dijual dalam beg jaring dalam penyejuk beku di pasar California
Isi durian dipaket untuk jualan, dengan biji terdedah
Durian merupakan tumbuhan bermusim. Di Semenanjung Malaysia dan Singapura, musim durian lazimnya adalah dari April hingga September mengikut tempat, yang berbetulan dengan musim manggis. Harga durian boleh dikatakan mahal berbanding buah lain. Sebagai contoh, di Singapura, permintaan besar kultivar kualiti tinggi seperti D24, Sultan, dan Mao Shan Wang menyebabkan harga jualan antara S$8 hingga S$15 (RM19 hingga RM$35) per kilogram. Dengan berat purata 1.5 kilogram (3.3 lb), kos sebiji durian adalah antara S$12 hingga S$22 (RM28 hingga US$51).
Durian ketika musimnya boleh ditemui di pasar raya utama Jepun, manakala di dunia Barat, durian terdapat di sesetengah pasar raya bagi memenuhi kehendak masyarakat Asia Timur.
Pemilihan
Seorang pelanggan menghidu durian sebelum membelinya
Durian boleh dimakan apabila kulitnya mula merekah. Bagaimanapun, waktu paling sesuai memakan durian masak itu berbeza-beza mengikut kawasan di Asia Tenggara dan spesies. Sesetengah spesies tumbuh tinggi dan hanya boleh dikutip apabila buahnya jatuh sendiri ke tanah, manakala kebanyakan kultivar D. zibethinus dipotong dari pokoknya dan dibiarkan masak sementara menanti dijual.
Satu nasihat lazim bagi peminat yang menggemari buah yang isinya kering dan matang ialah menggoncang buah tersebut dan memasang telinga bagi bunyi atau getaran biji bergerak. Isi durian yang lembab melekat pada kulit buah. Isi durian yang kering cenderung untuk berpisah dari dinding buah.
Selain itu, ada beberapa lagi panduan yang boleh dipakai:
- Pilihlah durian yang memiliki duri yang jarang, besar dan agak tumpul kerana lazimnya durian jenis ini memiliki isi yang kering dan manis. Selain itu, duri yang tumpul juga memudahkan durian dibuka.
- Durian yang matang akan mengeluarkan aroma yang kuat dan harum. Sebelum membeli durian, angkat dan rapatkan durian ke hidung. Jika kurang berbau, ini bermakna durian tersebut tidak sempurna matangnya dan berkemungkinan telah diperam.
- Durian mungkin diserang oleh perosak yang bertelur di dalam buah yang berkembang menjadi larva seperti ulat. Penting elak membeli buah yang mempunyai sebarang lubang pada kulitnya kerana ini sering kali menunjukkan kemasukan "ulat" ke dalam buah.
- Buah durian biasanya mempunyai lima pangsa. Cari garisan pangsa. Garisan pangsa itu akan jelas dilihat pada kulit buah apabila sudah matang.
Memilih buah yang tepat amat penting apabila penjual menjual buah tanpa dibuka. Kini lumrah penjual membuka buah dan menjual bahagian dalam yang boleh dimakan. Dengan sebegini, melihat atau merasa bahagian boleh dimakan telah menjadikan teknik pemilihan kurang penting.
Durian yang telah dibuka
Secara umumnya, membuka buah durian agak sukar, terutamanya yang belum cukup masak. Akan tetapi, kebanyakan penjual akan membuka buah sebagai satu perkhidmatan apabila pembeli bersetuju membelinya. Sebaliknya, buah durian yang telah dibuka siap-siap dan diletakkan dalam bungkusan boleh dibeli di pasar raya. Bagaimanapun, buah durian yang dibuka perlu dimakan dalam tempoh waktu beberapa jam sahaja kerana buah yang dibuka tidak tahan lama.
Di Asia Tenggara, durian telah ditanam selama beberapa kurun di kampung-kampung, barangkali sejak awal abad ke-18, dan secara komersil sejak pertengahan abad ke-20. Dalam My Tropic Isle, ahli alamiah Australia Edmund James Banfield menceritakan, pada awal abad ke-20, seorang rakan di Singapura menghantar kepadanya biji durian, yang ditanam dan dijaga beliau di pulau tropikanya di persisiran utara Queensland.
Pada 1949, ahli botani British E. J. H. Corner menerbitkan The Durian Theory, or the Origin of the Modern Tree. Teori beliau ialah sebaran biji benih oleh haiwan (melalui perut) muncul sebelum sebarang kaedah sebaran biologi lain, dan leluhur primitif spesies Durio merupakan pengamal kaedah penyebaran ini yang terdahulu, khususnya durian meriah (D. dulcis) yang merupakan contoh buah primitif pokok berbunga.
Sejak awal 1990-an, permintaan domestik dan antarabangsa durian di sekitar ASEAN meningkat tinggi, sebahagiannya disebabkan peningkatan kemakmuran Asia.
Cara menikmati kelazatan durian
Selain dimakan begitu sahaja, durian juga boleh digunakan bagi memberi rasa kepada pelbagai jenis manisan seperti air batu campur, bubur, dodol, jem, lempuk, dan di zaman moden, aiskrim, kuih bulan, kopi kapucino dan susu kocak. Ais durian ialah pencuci mulut yang popular di Indonesia, dijual di gerai tepi jalan di kota-kota, terutamanya di Jawa. Pulut durian atau ketan durian juga popular di musim durian di Indonesia dan Malaysia. Di Sabah, durian merah digoreng dengan bawang dan cili dan dihidangkan sebagai hidangan sampingan.Durian isi merah secara tradisinya ditambah ke dalam sejenis sup ikan air tawar. Ikan brengkes ialah ikan yang dimasak dalam sos durian, makanan tradisional di Sumatera. Secara tradisi, kuih Bolen Bandung dibuat daripada pisang dan keju. Namun hari ini, terdapat juga Bolen durian. Isi durian kering boleh dijadikan kerepek.
Durian boleh diawet dengan kedua-dua gula (misalnya lempok) dan garam (misalnya tempoyak). Tempoyak ialah sejenis pekasam yang diperbuat daripada isi durian tertapai, biasanya daripada durian berkualiti rendah yang kurang sesuai dimakan terus atau durian yang tidak dapat dihabiskan.Tempoyak boleh dimakan begitu sahaja dengan nasi atau dibuat gulai. Sambal tempoyak terkenal di Sumatera dan Semenanjung Malaysia.
Tempoyak-
Pulut durian -
Lempok durian -
Kerepek durian -
Aiskrim durian di Bogor -
Gelato durian di Singapura -
Kek perisa durian -
Roti berinti durian -
Lempeng durian -
Krep durian -
Bubur kacang hijau durian
Nilai pemakanan per 100 g (3.5 oz) | |
Tenaga | 615 kJ (147 kcal) |
Karbohidrat | 27.09 g |
- Serabut diet | 3.8 g |
Lemak | 5.33 g |
Protein | 1.47 g |
Air | 65g |
Vitamin A | 44 IU |
Tiamina (vit. B1) | 0.374 mg (33%) |
Riboflavin (vit. B2) | 0.2 mg (17%) |
Niasin (vit. B3) | 1.074 mg (7%) |
Asid pantotenik (B5) | 0.23 mg (5%) |
Vitamin B6 | 0.316 mg (24%) |
Folat (vit. B9) | 36 μg (9%) |
Vitamin C | 19.7 mg (24%) |
Kalsium | 6 mg (1%) |
Besi | 0.43 mg (3%) |
Magnesium | 30 mg (8%) |
Mangan | 0.325 mg (15%) |
Fosforus | 39 mg (6%) |
Kalium | 436 mg (9%) |
Natrium | 2 mg (0%) |
Zink | 0.28 mg (3%) |
Kolesterol | 0mg |
Isi sahaja.Buangan: 68% (kulit dan biji)Sumber: USDA Nutrient database[72]Peratusan dianggarkanmenggunakan syor A.S. untuk orang dewasa.Sumber: USDA Nutrient Database |
Buah durian memiliki kandungan gula, vitamin C, kalium dan triptofan asid amino serotoninergik yang tinggi, dan menjadi sumber baik karbohidrat, protein dan lemak Ia disarankan sebagai sumber sihat lemak mentah oleh beberapa penyokong makanan mentah, sementara yang lain mengelaskannya sebagai makanan glisemia tinggi, mengesyorkan pengurangan pemakanannya. Orang yang mempunyai penyakit kencing manis atau tekanan darah tinggi secara tradisinya dinasihati mengelakkan durian.
Durian dianggap sebagai makanan "panas" dan sesiapa yang terlebih makan durian akan mendapati dirinya berpeluh dengan banyaknya sejurus selepas itu. Penawar tradisi adalah untuk minum air kosong dari pangsa kulit buah. Selain itu, musim durian lazimnya berlaku bersama dengan manggis yang dianggap sebagai mempunyai kesan penyejuk kepada badan. Oleh itu, kedua-dua buah-buahan ini lazimnya dimakan bersama.
Di Malaysia, rebusan daun dan akar durian pernah dijadikan ubat antipiretik. Rebusan ini dilumur pada dahi pesakit yang demam. Penerangan paling lengkap terhadap kegunaan perubatan durian sebagai ubat ialah suatu preskripsi Melayu, dikutip Burkill dan Haniff pada 1930. Ia memberi arahan kepada pembaca supaya merebus akar Hibiscus rosa-sinensis dengan akar Durio zibethinus, Nephelium longana, Nephelium mutabile dan Artocarpus integrifolia, dan meminum air rebusan tersebut atau menuam menggunakannya. Di Indonesia, kulit buah ini pun biasa dibakar dan abunya digunakan dalam ramuan untuk melancarkan haid dan menggugurkan kandungan. Abu dan air rendaman abu ini juga digunakan sebagai campuran pewarna tradisional.
Satu lagi kepercayaan tempatan ialah durian memudaratkan kesihatan apabila dimakan dengan kopi atau minuman beralkohol. Kepercayaan mengenai alkohol ini boleh dikesan sehingga ke abad ke-18 apabila Rumphius menyatakan yang alkohol tidak patut diminum selepas memakan durian antaranya ia akan menyebabkan ketidakcernaan dan nafas berbau.
Duri durian yang tajam boleh menyebabkan kecederaan
Pengaruh budaya
Bangunan Esplanade di Singapura, digelar "Durian"Durian digelar sebagai "Raja Buah", suatu label yang boleh dikaitkan dengan rupanya yang mengagumkan dan baunya yang kuat. Di tempat asalnya Asia Tenggara, durian boleh dianggap makanan harian dan digambarkan dalam media tempatan menurut tanggapan budaya di kawasan itu. Durian menjadi simbol sifat subjektif kehodohan dan kecantikan dalam filem pengarah Hong Kong Durian Durian, dan menjadi nama panggilan watak protagonis eponim komedi TV Singapura Durian King lakonan Adrian Pang. Begitu juga, bangunan Esplanade yang agak pelik bentuknya sering kali dipanggil ‘Durian’ oleh penduduk tempatan, manakala ‘Durian Besar’ ialah gelaran bagi kota Jakarta, Indonesia.