GAYA HIDUP

BMW 3 Series Kini 50 Tahun

BMW Group Malaysia hari ini memulakan sambutan ulang tahun ke-50 bagi model ikonik BMW 3 Series. Sepanjang tujuh generasi, BMW 3 Series bukan sahaja membentuk identiti global jenama BMW, malah turut menjadi sebahagian penting dalam sejarah automotif Malaysia sejak 1970-an. Bagi meraikan legasi tersebut, BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre yang baharu.

BMW Group mengekalkan prestasi kukuh di peringkat global pada suku pertama, dipacu oleh pertumbuhan yang signifikan dalam segmen Kenderaan Elektrik Bateri (BEV).

Pada suku pertama 2025, BMW Group mengeluarkan sejumlah 586,149 kenderaan BMW, MINI dan Rolls-Royce buat pelanggan di seluruh dunia, mencerminkan prestasinya yang kukuh, selaras dengan tahun sebelumnya. Mempamerkan momentum berterusan dalam strategi elektrifikasinya, BMW Group mencatatkan peningkatan 32.4 peratus dalam pengeluaran kenderaan elektrik, dengan 109,516 unit merangkumi ketiga-tiga jenama. Jenama BMW menyumbang 520,142 unit kepada jumlah keseluruhan, termasuk 86,449 kenderaan elektrik BMW. Sementara itu, MINI, rentetan kejayaan dalam pembaharuan keseluruhan portfolio produknya, telah mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 4.1 peratus, melibatkan 64,626 unit keluaran, yang mana 35.3 peratus merupakan kenderaan elektrik. Di samping itu, BMW Motorrad, yang dilaporkan secara berasingan, telah mengeluarkan 44,609 motosikal dan skuter dalam tempoh yang sama, sekaligus menunjukkan kekuatan jenama BMW dalam mobiliti dua dan empat tayar. 

Dengan matlamat yang memfokuskan masa hadapan, BMW Group berada di landasan yang kukuh untuk mencapai dua pencapaian strategik pada 2025: pengeluaran tiga juta kenderaan elektrik sejak pelancaran BMW i3 dan i8, serta 1.5 juta kenderaan elektrik kepada pelanggan di seluruh dunia. Pencapaian ini mengukuhkan lagi kepimpinannya dalam mobiliti mampan bertaraf premium. 

Jean-Philippe Parain, Naib Presiden Kanan, Jualan Wilayah Asia-Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika bagi BMW Group berkongsi, “Prestasi kami pada suku pertama tahun 2025 mencerminkan hala tuju strategik BMW Group yang mengimbangi inovasi, konsistensi dan ‘Kuasa Pilihan’. Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik di seluruh pasaran, kami akan terus melakar masa hadapan yang mampan dan berdaya tarikan. Dalam meraikan ulang tahun ke-50 BMW 3 Series tahun ini, sambutan ini merupakan peringatan yang bermakna tentang bagaimana model ikonik ini telah membentuk identiti jenama BMW menerusi gabungan prestasi dinamik, teknologi tercanggih dan rekaan yang kekal relevan merentasi masa. Setiap generasi BMW 3 Series memacu falsafah kami terhadap ‘Keterbukaan Teknologi’ dan ‘Kuasa Pilihan’, yang mencetuskan inspirasi kepada cara baharu untuk merasai pengalaman sheer driving pleasure.”

Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, berkata, “BMW 3 Series telah menempah tempat istimewa di hati para peminat, bukan sahaja di peringkat global, malah di Malaysia juga. Melangkah ke hadapan, model ini akan terus berevolusi, menggabungkan legasi gemilangnya dengan kemajuan teknologi terkini yang bakal membentuk masa hadapan pemanduan. Hari ini, kami meraikan detik bersejarah ini dengan pelancaran BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre yang baharu di Malaysia. Kami juga amat teruja untuk menyaksikan evolusi berterusan BMW 3 Series yang akan terus memacu jenama ini ke hadapan daripada segi reka bentuk dan teknologi, di samping mengekalkan pengalaman pemanduan BMW yang tiada tandingan.”

Mengimbau kembali sejarah BMW 3 Series, dapat dilihat evolusinya yang berterusan daripada segi reka bentuk dan inovasi teknologi, yang mana setiap generasi dihasilkan berasaskan kejayaan era sebelumnya, sambil merintis jalan ke arah masa hadapan. Mengatasi semua model lain, BMW 3 Series bukan sahaja merupakan wajah kepada jenama BMW, malah mewakili falsafah teras jenama ini, terus memacu masa hadapan jenama menerusi prinsip ‘Keterbukaan Teknologi’ dan ‘Kuasa Pilihan’. 

Generasi Pertama (1975-1983) – BMW E21.

BMW 3 Series original, hasil rekaan Paul Bracq, diperkenalkan pada 1975 dan menjadi kisah kejayaan bagi jenama ini dalam segmen Premium Kompak dan Sederhana. Model ini memperkenalkan dinamik pemanduan ikonik BMW, prestasi sporty, dan reka bentuk papan pemuka yang berorientasikan pemandu. BMW 3 Series generasi ini menetapkan asas kepada banyak elemen reka bentuk, termasuk unjuran hadapan yang pendek, kidney grille berkembar, garisan lipatan yang menyerlah, dan lengkungan Hofmeister, yang terus dikekalkan dalam generasi berikutnya.

Generasi Kedua (1982-1991) – BMW E30.

Generasi E30 bagi BMW 3 Series menyerlahkan inovasi reka bentuk dan teknologi jenama ini, dengan pengenalan tujuh varian. Generasi ini merangkumi sedan dua pintu, sedan empat pintu, dan model bumbung boleh buka, serta pengenalan ikonik BMW M3. Pada 1987, generasi E30 juga memperkenalkan BMW 3 Series Touring yang pertama, sebuah model yang bermula sebagai projek peribadi oleh jurutera prototaip BMW dan kemudiannya memasuki pengeluaran rasmi. Kisah ini menonjolkan kreativiti dan kepakaran di sebalik evolusi berterusan BMW, menjadikan BMW generasi ini antara yang paling ikonik dalam sejarah jenama tersebut.

Generasi Ketiga (1990-1998) – BMW E36.

Generasi ketiga BMW 3 Series memperkenalkan rangkaian gaya badan yang paling versatil setakat ini, merangkumi varian Sedan, Coupé, Convertible, Touring, dan Compact, serta penampilan sulung BMW M3 serba baharu. Reka bentuk model ini diperhalusi dengan penampilan yang lebih menyerupai coupé dan lampu hadapan berkembar yang tersendiri, bersama inovasi seperti enjin diesel baharu yang lebih efisien. Sementara itu, pengenalan dan kejayaan varian Compact menyerlahkan kepelbagaian BMW 3 Series yang semakin berkembang. Ia mencatatkan jualan yang memberangsangkan, menduduki tempat ketiga selepas varian Sedan dan Coupé, sekaligus membuktikan keupayaan model ini untuk terus mencipta kejayaan baharu dalam setiap generasi.

Generasi Keempat (1997-2006) – BMW E46.

BMW 3 Series generasi keempat merangkumi varian Sedan, Coupé, Convertible, Touring, Compact dan M3 (dalam versi Coupé dan Convertible). Generasi ini juga merupakan generasi yang memperkenalkan BMW M3 CSL yang lagenda. Evolusi reka bentuknya berkembang dengan rekaan semula pada bahagian atas kabin, menampilkan lengkungan bumbung yang lebih ketara untuk meningkatkan ruang kepala di bahagian belakang. Menariknya, model Coupé, Convertible, dan Compact masing-masing hadir dengan gaya reka bentuk tersendiri, seterusnya menandakan perbezaan ketara pertama dalam rangkaian BMW 3 Series. Generasi ini merupakan model BMW paling laris sepanjang zaman, dengan jualan sebanyak 3,266,885 unit, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan BMW 3 Series sebagai lambang kejayaan dalam reka bentuk dan prestasi jualan.

Generasi Kelima (2005-2011) – BMW E90.

BMW 3 Series generasi kelima menyaksikan perubahan reka bentuk yang bersifat revolusioner, hasil sentuhan pereka Jepun, Joji Nagashima, dan dipacu oleh prinsip reka bentuk “Flame Surfacing” yang diperkenalkan oleh Ketua Reka Bentuk BMW Group, Chris Bangle. BMW M3 generasi ini menampilkan gabungan luar biasa antara gaya badan Coupé dan Sedan, digandingkan dengan enjin sedutan semula jadi V-Block. Secara keseluruhan, generasi ini menandakan evolusi yang paling ketara dalam reka bentuk BMW 3 Series, dengan setiap varian membentuk identitinya yang tersendiri dalam barisan model tersebut. 

Generasi Keenam (2011-2018) – BMW F30.

BMW 3 Series generasi keenam berkembang dengan lebih kukuh seiring dengan BMW 5 Series, memperkenalkan rangkaian kuasa pengecas turbo dan hibrid, serta varian Gran Turismo. Pilihan personalisasi turut diperluaskan, manakala model Coupé dan Convertible beralih kepada BMW 4 Series yang baru diperkenalkan, menandakan perbezaan yang jelas daripada segi reka bentuk dan teknologi. Generasi ini menyerlahkan keupayaan BMW 3 Series untuk terus menyesuaikan diri, memenuhi citarasa pelanggan melalui barisan model yang lebih pelbagai dan pilihan personalisasi yang lebih luas. 

Generasi Ketujuh (2018-kini) – BMW G20.

BMW 3 Series generasi ketujuh, G20, membina legasi reka bentuk berdasarkan elemen-elemen ikonik daripada model terdahulu. Model ini dilengkapi dengan ciri-ciri ketersambungan dan bantuan pemanduan yang paling canggih, serta menawarkan pelbagai pilihan rangkaian kuasa, termasuk petrol, diesel, hibrid plug-in dan konfigurasi pacuan semua roda. BMW 3 Series terus mendominasi dalam kelasnya, memberikan pengalaman pemanduan yang dipertingkatkan dengan teknologi terkini dan barisan model yang pelbagai, bagi memenuhi pelbagai citarasa pelanggan. 

BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baharu.

Bagi meraikan ulang tahun ke-50 BMW 3 Series, BMW Malaysia dengan besar hati memperkenalkan BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baharu – terhad kepada hanya 50 unit, tersedia secara eksklusif dalam talian melalui BMW Shop Online.

BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baru hadir dengan beberapa penambahbaikan, termasuk upholsteri Sensatec, Kawalan Pemanduan Aktif dengan fungsi Berhenti&Jalan, Bantuan Parkir Plus, Panel Instrumen Mewah, Butang Galvanik, dan Spoiler Belakang M, menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih unggul. Bahagian eksklusif M Performance turut disertakan sebagai ciri standard untuk BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baharu, seperti Sambungan Skirt Sisi M Performance. Di dalam kabin, tempat rehat tangan bahagian tengah M Performance dibalut dengan Alcantara, dan paddle gear M Performance daripada serat karbon mempertingkatkan lagi kesempurnaan visual serta sentuhan semasa pemanduan. Menambahkan nilai eksklusifnya, BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baru juga dilengkapi dengan lambang unik "50 Jahre Edition" pada plak pemegang cawan dan ukiran luar khas pada tiang B, menandakan status pengeluaran terhad model ini. 

Pelanggan boleh memiliki BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baharu dengan mudah melalui platform BMW Shop Online. Hanya dengan lima langkah mudah, pelanggan boleh melayari shop.bmw.com.my, memilih warna dan pengedar pilihan, serta membuat bayaran tempahan sebanyak RM3,400.00. Setelah pembayaran disahkan, pelanggan boleh berkunjung ke pengedar pilihan mereka untuk menyelesaikan proses pemilikan BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baharu yang eksklusif.

Harga jualan yang disyorkan (di atas jalan, tanpa insurans) bagi BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baharu adalah seperti berikut:

BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baharu Tambahan Servis & Pembaikan Inklusif BMW*RM396,800.00RM26,400.00
* terdiri daripada Waranti Lanjutan 5 Tahun dan Pakej Servis

50 Tahun BMW 3 Series: Legasi yang Terus Berkembang.

Dari 18 hingga 20 April 2025, raikan 50 tahun keunggulan BMW 3 Series yang ikonik bersama kami di The Yard, Sentul Depot, dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Saksikan perjalanan evolusi tujuh generasi BMW 3 Series — dari sejarah kegemilangannya hingga ke era moden yang dinamik. Orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti eksklusif serta pengalaman pemanduan yang mengujakan dengan BMW 330i M Sport, slot pemanduan terhad. Sertai kami dalam meraikan lima dekad kecemerlangan reka bentuk, inovasi, dan Sheer Driving Pleasure.

Related posts

PLANTA WITH OMEGA 3 and 6 and 10 ESSENTIAL VITAMINS

adminwm

INFINIX NOTE 30 (X6716) TAKES HOME OUTSTANDING AWARD AT THE PARISDESIGN AWARDS 2023

adminwm

WM Sertai Malaysian Bosnia Business Council ke Sarajevo Business Dialogue 2024

nora

Leave a Comment