AGAMA

APA ISLAM KATA TENTANG MUZIK?

Muzik seharusnya membawa kepada ketenangan jiwa, dan industri muzik Islam tidak sepatutnya diasosiasikan dengan anasir-anasir negatif yang dibawa oleh industri muzik arus perdana. Kerana tujuan utama muzik, iaitu menzahirkan tema-tema kemanusiaan, keindahan dan menenangkan jiwa perlu dikembalikan.

Sabda Baginda SAW:

إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT itu cantik, dan suka akan kecantikan.

Sahih Muslim (91)

Muzik sejenis seni – satu seni yang menzahirkan kecantikan dan kehalusan, seterusnya menatijahkan ketenangan dalam hati. Dalam sejarah Islam, kita mengenali dua nama yang amat sinonim dengan muzik, iaitu Abu Nasr al-Farabi dan Ziryab.

Abu Nasr al-Farabi – seorang ahli falsafah terkemuka dunia- terkenal dengan kitabnya berjudul Kitab al-Musiqi al-Kabir. Dalam kitab ini, beliau menjelaskan prinsip-prinsip falsafah tentang muzik, kualiti kosmik dan kesannya. Beliau sepertimana ahli falsafah sebelumnya mengkelaskan muzik sebagai salah satu ilmu-ilmu matematik. Beliau turut menulis satu makalah berjudul Meanings of the Intellect, yang menjelaskan tentang terapi muzik serta kesan-kesan positif terapi muzik terhadap jiwa manusia.

Terdapat banyak kisah yang masyhur akan kehebatan beliau bermain muzik, dan diceritakan kehebatan beliau mengalunkan muzik boleh membuatkan pendengar menangis, tertawa bahkan tertidur dalam satu majlis yang sama.

Sejarah Islam juga mengenali nama Ziryab, atau nama sebenarnya Abu al-Hasan ‘Ali ibn Nafi’, yang merupakan ketua ahli muzik di Istana Cordoba, dilahirkan pada tahun 789M di Iraq. Guru muziknya, Ishaq al-Mawsili merupakan pemuzik handal dari Baghdad, dan merupakan ahli muzik kegemaran Khalifah Harun al-Rashid. Dikatakan bahawa beliau menguasai lebih 1000 buah lagu, dan merupakan seorang komposer lagu yang amat handal. Lagu dan irama muzik beliau mempunyai simbolik yang tersendiri, dan bukan semata-mata sekadar bunyi-bunyian yang kosong dari makna.

Beliau juga telah menubuhkan kolej muzik pertama di dunia, yang mengajar antara lain komposisi muzik genre harmoni. Sumbangan beliau kepada muzik diiktiraf di seluruh dunia, dan dikatakan beliau telah mencetuskan revolusi pada zamannya dari sudut kaedah muzik zaman pertengahan, gaya hidup dan fesyen.

Selain itu, kita juga dapati Jalaluddin al-Rumi mendedikasikan banyak bait-bait puisi beliau dalam membicarakan soal muzik. Contohnya:

“Irama seruling menyembuhkan kesakitan perpisahan

Melodinya menghilangkan tabir-tabir keterdesakan”

“Apakah yang mampu menjadi racun dan penyembuh sekaligus? Hanya seruling!

Siapakah yang mampu menjadi penenang dan perindu sekaligus? Hanya seruling!”

(Rujuk Mathnawi, 1:11-12)

Di sini kita melihat Jalaluddin al-Rumi sendiri mengakui sifat muzik yang bersifat serampang dua mata, dan mampu membawa kesan positif dan negatif.

Keperluan Ke Arah Transformasi Muzik

Satu kajian telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari fakulti perubatan Universiti Pittsburgh, yang menganalisis 793 lagu-lagu paling popular dalam kalangan muda-mudi antara 2005 hingga 2007. Hasil kajian mereka mendapati hampir 80% lagu rap mengandungi unsur menggalakkan penggunaan dadah dan arak, diikuti 37% lagu genre country, 20% hip-hop, 14% lagu-lagu rock dan 9% lagu-lagu pop.

Ini menunjukkan betapa industri muzik sekarang adalah tenat dan sudah dikuasai oleh anasir-anasir bejat, dan menjadi tanggungjawab pemuzik Muslim untuk mengubah situasi ini. Tujuan utama muzik, iaitu menzahirkan tema-tema kemanusiaan, keindahan dan menenangkan jiwa perlu dikembalikan.

Plato, ahli falsafah terkenal Greek pernah berkata dalam karyanya Republic:

“…what should be the end of music if not the love of beauty?”

Maksudnya: Apakah lagi yang patut menjadi tujuan muzik, jika bukan kecintaan terhadap kecantikan?

Yusuf Islam atau Cat Stevens telah meluahkan kekesalannya yang terlalu tergopoh-gapah sewaktu mula-mula berubah, meninggalkan terus dunia muzik, tanpa menyedari ia memberi imej negatif terhadap Islam itu sendiri dan menimbulkan tanggapan buruk dalam kalangan masyarakat Britain dan peminat muzik global. Beliau menulis lagi:

Muzik wujud secara sejagat di dunia ini, walaupun di hutan, lautan dan juga padang pasir; burung-burung bersiul, ombak berdebur-debur, manakala angin pula berderu-deru. Alam semulajadi menyanyikan lagunya sendiri yang indah dan mengagumkan, sebagai puji-pujian kepada Maha Pencipta Alam. (Rujuk Mengapa Saya Masih Memetik Gitar, hlm. 69)

Yusof Islam sedar akan kepentingan pemuzik-pemuzik Muslim untuk menceburkan diri secara aktif dalam dunia nyanyian dengan tujuan untuk mengubahnya dari dalam, menyebarkan unsur-unsur positif dan sebagai ruang dakwah yang amat luas.

Muzik bukanlah satu perkara yang boleh dihukumkan sebagai harus secara mutlak, atau diharamkan secara mutlak. Yang mengharamkan muzik dan nyanyian telah menyatakan alasan dan hujah mereka secara terperinci, manakala yang mengharuskan pula menetapkan syarat-syarat dan garis panduan yang mesti dipatuhi.

Para ulama dahulu mahupun kontemporari bersepakat akan pengharaman setiap lagu mahupun muzik yang mengandungi unsur-unsur yang jelas haram seperti menggalakkan zina, dorongan meminum arak, tarian-tarian mengghairahkan dan lirik yang mendorong kepada keganasan. Mereka hanya berbeza pandangan pada muzik dan nyanyian yang bebas daripada unsur-unsur tersebut.

Ramai ulama bagaimana pun cenderung kepada pandangan yang mengharuskan nyanyian dan muzik, selagi mana ia tidak mempunyai unsur-unsur yang diharamkan seperti arak, pergaulan bebas tanpa batas, lirik yang menyanggahi syariat dan aqidah Islam serta melalaikan pendengar dan pengamal muzik daripada tanggungjawab dan kewajipan agama.

Menurut Ibn ‘Abd Rabbihi al-Andalusi sewaktu menyimpulkan khilaf dalam ulama menyatakan bahawa hukum muzik dan nyanyian sama seperti syair; jika baik kandungannya maka baiklah ia, dan jika buruk kandungannya maka buruklah ia. (Rujuk al-‘Aqd al-Farid, 7/10) Inilah juga kalam Imam al-Syafi’e sewaktu bercakap tentang sya’ir yang diriwayatkan oleh Imam al-Juwainiy:

الشعر كلامٌ، حسنه حسن، وقبيحه قبيح

Maksudnya: Syair itu merupakan himpunan kata-kata, apabila baik lafaz dan kandungannya maka baiklah ia, jika buruk maka buruklah ia. (Rujuk Nihayah al-Matlab, 19/24)

Meskipun banyak hadis yang secara zahirnya melarang muzik dan nyanyian, namun ia sering disebut bersama dengan arak. Ini menunjukkan bahawa pengharaman muzik oleh sebahagian ulama, bukan kerana zat muzik dan nyanyian itu sendiri. Maka kerana itulah fatwa para ulama kontemporari mengharuskan muzik dan nyanyian sekiranya ia bebas daripada unsur-unsur maksiat dan kejelekan.

Selain itu, muzik dan nyanyian juga telah menjadi satu perkara yang diterima dan diamalkan secara meluas di seluruh pelusuk dunia dan dalam pelbagai aspek kehidupan (‘umum al-balwa). Mengharamkan muzik dan nyanyian secara mutlak akan menyebabkan berlakunya kesusahan dan kesukaran kepada umat Islam, sedangkan Allah SWT telah berfirman:

يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

Surah al-Baqarah (185)

Trend semasa industri muzik juga menunjukkan bahawa kebanyakan lagu yang menjadi kegilaan masyarakat sekarang ialah lagu-lagu cinta yang tidak membentuk jiwa dan memberikan ketenangan. Maka adalah menjadi tanggungjawab ahli muzik, produser dan penulis skrip Muslim untuk mengubah situasi ini dengan memperbanyakkan lagu-lagu berunsur dakwah, ketuhanan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan lain-lain tema yang perlu ditonjolkan bagi menjadikan industri muzik tanah air lebih patuh Syariah.

Oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Related posts

10 Jenis Ketakutan (KHAUF) Yang Patut Ada Pada Diri Kita

admin

KETIKA HATI MU BERASA HANCUR DAN TIDAK BERDAYA…

adminwm

Kelebihan 10 Terakhir Ramadan

admin

Leave a Comment