
Bunga kelumpang indah berseri,
Tumbuh mekar di bumi bertuah;
Warisan Perak terus lestari,
Daripada seni menjadi maruah.
Terus terang, bukan selalu saya sanggup menghabiskan masa berjam-jam memandu dari Kuala Lumpur, malah memilih untuk bermalam semata-mata menghadiri sebuah majlis perasmian dan pertunjukan fesyen. Namun, apabila mendapat undangan dari Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan mengangkat Batik Perak sebagai satu identiti warisan negeri, saya ditemani Dato Jamaiyah Yusuf merasakan kunjungan kami ini sesuatu yang tidak harus dilepaskan.
Bagi saya, usaha mengangkat sesuatu warisan memerlukan lebih daripada sekadar pengiktirafan atau penganjuran sebuah acara. Sesuatu warisan perlu diperkenalkan, dipakai, diraikan dan diberikan ruang untuk berkembang supaya ia terus hidup dalam masyarakat. Lebih penting, ia perlu mempunyai identiti yang jelas agar dapat dikenali dan dihargai oleh generasi hari ini serta yang akan datang.
Bunga Kelumpang Sebagai Identiti
Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah pengangkatan bunga kelumpang sebagai identiti rasmi Batik Perak.
Pemilihan motif ini memberikan satu wajah dan pengenalan tersendiri kepada batik negeri tersebut. Bunga kelumpang bukan sekadar elemen hiasan pada permukaan kain, tetapi menjadi lambang yang membawa cerita tentang alam, budaya dan jati diri Perak. Keunikan Bunga Kelumpang terserlah melalui seni ukirannya yang menghiasi pintu masuk Balairung Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar serta landskap Galeri Sultan Azlan Shah atau Istana Ulu bagi mencerminkan keindahan seni warisan Perak.
Dalam dunia tekstil, motif memainkan peranan penting. Ia bukan hanya menentukan keindahan sesuatu rekaan, tetapi turut menjadi bahasa visual yang menyampaikan identiti sesebuah tempat. Sebab itulah saya melihat usaha memperkenalkan bunga kelumpang sebagai satu langkah yang bermakna.
Malaysia mempunyai kekayaan seni tekstil yang cukup luar biasa. Setiap negeri mempunyai keistimewaan tersendiri, sama ada melalui motif, teknik, warna mahupun pengaruh budaya setempat. Batik Perak mempunyai peluang untuk menonjol melalui identitinya sendiri, tanpa perlu kehilangan keunikan yang membezakan warisan tekstil negeri-negeri lain.
Apa yang penting ialah memastikan motif ini terus dikembangkan dengan kreativiti, tetapi pada masa yang sama tidak menghilangkan nilai dan identiti asalnya.
Apabila Tanah Liat Menggantikan Lilin

Satu lagi keunikan yang menarik perhatian saya ialah penggunaan tanah liat jenis kempung atau ball clay dalam proses pembatikan Batik Perak.
Dalam teknik pembatikan tradisional, lilin dan rosin digunakan sebagai bahan perintang warna bagi menghasilkan corak pada fabrik. Namun, pendekatan yang diperkenalkan melalui Batik Perak ini menggunakan tanah liat jenis ball clay sebagai pengganti kedua-dua bahan tersebut.
Inovasi ini dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia menerusi Kraftangan Malaysia Cawangan Perak selaku Pusat Inovasi Kraf Seramik melalui kajian yang bermula pada tahun 2020.
Bagi saya, inilah antara perkara yang menjadikan Batik Perak begitu menarik untuk diterokai dengan lebih mendalam. Kita sering mengaitkan seni batik dengan penggunaan lilin, canting dan proses mewarna yang telah diwarisi sejak sekian lama. Justeru, pengenalan bahan alternatif seperti tanah liat membuka satu dimensi baharu dalam pemahaman kita terhadap seni pembatikan.
Ia memperlihatkan bagaimana bahan daripada alam boleh diberikan fungsi dalam penghasilan seni tekstil, sekali gus membuka ruang kepada pendekatan dan kreativiti yang berbeza.

Saya tertarik dengan idea bahawa sesuatu yang begitu biasa ditemui dalam kehidupan seharian, seperti tanah liat, boleh memainkan peranan dalam menghasilkan karya seni yang mempunyai nilai estetika tersendiri. Bagi melindungi keaslian reka bentuk tersebut, pendaftaran harta intelek bagi corak motif negeri Perak, Batik Kelumpang yang dikemukakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah diluluskan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 19 Mei 2025.
Sudah tentu, keistimewaan sesuatu teknik bukan hanya terletak pada bahan yang digunakan, tetapi juga pada pengetahuan, kemahiran dan ketelitian mereka yang menghasilkannya. Inilah aspek yang wajar terus diterokai dan diperkenalkan kepada masyarakat, terutama generasi muda yang mungkin belum begitu mengenali proses di sebalik sehelai kain batik. Kraftangan Malaysia turut membangunkan usahawan batik menerusi Projek Pembangunan Komuniti Kraf di lapan lokasi, iaitu Bagan Serai, Selama, Muallim, Tapah, Lenggong, Kuala Kangsar, Gerik dan Kampung Gajah bagi membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Kerajaan Negeri Perak komited memperkukuh kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) bagi memastikan Batik Perak terus berkembang sebagai produk batik yang mencerminkan keunikan seni dan budaya Perak, berdaya saing serta berpotensi menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.
Bagi saya, inovasi seperti ini memberikan Batik Perak satu cerita yang tersendiri. Ia bukan sekadar tentang motif baharu, tetapi juga tentang keberanian meneroka pendekatan lain dalam seni warisan.
Tradisi Yang Boleh Bergerak Seiring Dengan Zaman
Salah satu perkara yang paling menggembirakan saya ialah melihat bagaimana Batik Perak tidak terikat kepada satu bentuk pemakaian sahaja.
Kepelbagaian rekaan yang dipamerkan memperlihatkan bahawa batik boleh diterjemahkan dalam pelbagai gaya, potongan dan pendekatan fesyen. Ada yang kelihatan klasik, ada yang lebih kontemporari, sementara sesetengahnya mempunyai sentuhan moden yang sesuai dengan cita rasa semasa.

Pilihan warna juga cukup menarik. Daripada warna-warna lembut kepada tona yang lebih terang dan berani, setiap rekaan memberikan karakter tersendiri. Saya turut tertarik dengan kepelbagaian fabrik dan teksturnya yang memberikan pengalaman berbeza dari segi sentuhan, jatuhan serta kesesuaian pemakaian.
Inilah yang saya maksudkan apabila menyebut tentang warisan yang diberikan nafas baharu. Kita tidak perlu mengubah segala-galanya sehingga hilang identiti asal. Sebaliknya, kita boleh mengekalkan motif dan nilai tradisi, kemudian memberikan sentuhan baharu melalui potongan, kreativiti dan cara ia digayakan.
Batik tidak semestinya hanya untuk acara rasmi atau majlis tertentu. Dengan rekaan yang bersesuaian, ia boleh menjadi sebahagian daripada pakaian harian, busana ke pejabat, acara sosial mahupun majlis istimewa.
Saya juga melihat potensi Batik Perak untuk dikembangkan melalui tempahan khas atau made-to-order, sekali gus memberikan peluang kepada pelanggan memilih rekaan dan gaya yang sesuai dengan keperluan masing-masing.
Apabila batik dapat disesuaikan dengan kehidupan moden, peluang untuk menjadikannya sebahagian daripada gaya hidup masyarakat juga menjadi lebih luas.
Daripada Perasmian Ke Pentas Fesyen

Majlis dimulakan dengan upacara perasmian yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Kehadiran Tuanku memberikan makna tersendiri kepada usaha mengangkat Batik Perak sebagai warisan dan identiti negeri.

Selepas upacara perasmian, acara diteruskan dengan pertunjukan fesyen yang menjadi antara tarikan utama majlis. Pentas fesyen memperlihatkan bagaimana Batik Perak boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk busana, dengan pendekatan yang lebih segar dan bersesuaian dengan perkembangan dunia fesyen hari ini.

Antara yang menarik perhatian ialah koleksi busana lelaki oleh pereka Bon Zainal. Persembahan ini memperlihatkan bahawa batik mempunyai ruang yang luas dalam fesyen lelaki, bukan sekadar sebagai kain atau elemen sampingan, tetapi boleh menjadi sebahagian daripada penampilan yang tersusun dan berkarakter.
Koleksi wanita pula ilham jenama KALIMA, memperlihatkan kepelbagaian gaya dan kreativiti dalam mengolah fabrik Batik Perak menjadi busana yang lebih moden dan anggun.
Kedua-dua persembahan memberikan gambaran bahawa Batik Perak mempunyai potensi untuk diterjemahkan dalam pelbagai pendekatan fesyen, merentasi gaya dan cita rasa lelaki serta wanita.


Saya percaya, pertunjukan seperti ini penting kerana ia membawa batik keluar daripada persepsi yang terlalu tradisional. Apabila orang melihat sendiri bagaimana fabrik tersebut boleh digayakan dengan menarik, mereka akan mula melihatnya dari sudut yang berbeza.
Lebih daripada itu, fesyen mempunyai kuasa untuk memperkenalkan sesuatu warisan kepada generasi muda. Sesuatu yang mungkin sebelum ini dianggap hanya sesuai untuk golongan lebih berusia boleh menjadi pilihan baharu apabila diberikan pendekatan yang lebih kontemporari.
Selepas pertunjukan fesyen, majlis diteruskan dengan lawatan Tuanku bersama para tetamu kehormat ke ruang pameran.
Jatuh Cinta Pada Pandangan Pertama
Sejujurnya, bahagian pameran inilah yang paling meninggalkan kesan kepada saya. Sebaik sahaja melihat pelbagai rekaan Batik Perak yang dipamerkan, saya terus tertarik. Saya jatuh cinta pada pandangan pertama. Bukan sekadar kerana keindahan warna dan coraknya, tetapi juga kerana keinginan untuk melihat lebih dekat setiap rekaan, menyentuh fabrik dan merasai sendiri teksturnya.
Ada sesuatu yang cukup istimewa apabila kita berpeluang mendekati hasil seni secara langsung. Gambar mungkin dapat memperlihatkan corak dan warna, tetapi ia tidak mampu menggantikan pengalaman menyentuh fabrik, melihat kehalusan motif dan menghayati bagaimana sesuatu rekaan itu dihasilkan.
Kami menghabiskan masa memerhatikan kepelbagaian corak dan pilihan fabrik yang dipamerkan. Semakin lama melihat, semakin banyak perkara yang ingin diketahui. Ada rekaan yang menarik perhatian kerana kombinasi warnanya, ada yang memikat melalui susunan motif, dan ada juga yang mempunyai daya tarikan tersendiri melalui tekstur fabrik.
Ketika itu, saya benar-benar dapat melihat potensi Batik Perak sebagai satu produk warisan yang boleh diketengahkan dengan lebih meluas dan membayangkan bagaimana fabrik-fabrik ini boleh diterjemahkan menjadi busana yang bukan sahaja sesuai dipakai oleh masyarakat tempatan, malah boleh diperkenalkan kepada tetamu antarabangsa sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia.
Pastinya Batik Perak akan menjadi antara pilihan busana untuk acara rasmi negara, majlis perkahwinan, pertemuan korporat dan program yang melibatkan delegasi luar negara. Malah, semakin banyak ruang diberikan kepada pemakaian batik dalam kehidupan seharian, semakin besar peluang masyarakat mengenali motif, keistimewaan dan nilai seni di sebaliknya.
Warisan Yang Perlu Terus Dihidupkan

Bagi saya, mengangkat sesuatu warisan tidak boleh berhenti pada pengiktirafan atau penganjuran sebuah acara. Ia memerlukan kesinambungan, sokongan dan kesungguhan daripada pelbagai pihak.
Kita memerlukan pengusaha yang komited, pembatik yang mahir, pereka yang berani bereksperimen serta pengguna yang bersedia memberikan peluang kepada produk tempatan. Pada masa yang sama, identiti asal seperti motif bunga kelumpang perlu terus dipelihara supaya Batik Perak mempunyai kesinambungan dan pengenalan yang jelas.
Saya juga percaya bahawa generasi muda perlu diberikan peluang untuk mendekati warisan ini bukan sebagai sesuatu yang wajib dihargai semata-mata kerana ia tradisi, tetapi sebagai sesuatu yang benar-benar menarik, relevan dan mempunyai nilai estetika.
Pengalaman di Ipoh Perak mengingatkan saya bahawa warisan tidak seharusnya diletakkan di belakang kita sebagai kenangan masa lalu. Sebaliknya, ia perlu dibawa bersama dalam kehidupan hari ini, disesuaikan dengan perkembangan zaman dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Akhirnya, saya pulang dengan rasa puas dan lebih daripada itu, dengan satu penghargaan baharu terhadap Batik Perak. Perjalanan yang mengambil masa berjam itu ternyata berbaloi. Malah, saya tidak pulang sekadar membawa kenangan menghadiri sebuah majlis, tetapi dengan rasa ingin mengetahui lebih banyak tentang seni tekstil yang mempunyai potensi begitu besar.
Ada kalanya, sesuatu yang membuatkan kita jatuh cinta bukanlah perkara yang dirancang. Cukup dengan melihat, menyentuh dan menghayatinya sendiri.
Dan bagi saya, itulah yang berlaku apabila pertama kali mendekati Batik Perak. Sebagai anak kelahiran Perak, kami bangga akhirnya Perak sudah ada batiknya sendiri dan pastinya selepas ini kami antara insan yang bakal bergaya dengan Batik Perak untuk pelbagai majlis.
