ISLAM adalah agama yang sesuai dengan fitrah. Fitrah manusia perlukan hiburan dalam kehidupan. Hiburan ialah sesuatu yang boleh menggembirakan hati, merehatkan minda, menyenangkan jiwa dan menyedapkan pendengaran. Pendek kata, apa-apa perkara dan tindakan yang boleh menimbulkan perasaan suka, gembira, seronok dan tenang, ia adalah suatu hiburan.
Islam tidak menyekat umatnya mencari hiburan selagi mana tidak keluar daripada batas syarak dan tidak lalai daripada melaksanakan perintah agama. Kesederhanaan sangat penting dalam usaha mencari hiburan.
ALLAH SWT menjadikan kehidupan dunia penuh dengan keseronokan, permainan dan kelalaian. Semua itu adalah untuk menguji siapakah dalam kalangan hambaNya yang paling baik amalan dan paling bersyukur kepadaNya
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, ada menceritakan tentang kisah Ummu Mukminin, Aisyah binti Abu Bakar berhibur dengan mendengar lagu yang dinyanyikan oleh biduanita daripada wanita Ansar. Rasulullah SAW membiarkan Aisyah RA mendengar lagu tersebut hinggalah Aisyah RA sendiri merasa cukup dan berlalu dari situ.

Rasulullah SAW juga berhibur melalui sukan lumba lari bersama isterinya. Namun begitu Rasulullah SAW mengakui solat merupakan kerehatan dan hiburan sebenar baginda. Ini menunjukkan baginda meraikan hiburan yang berbentuk sederhana walaupun solat merupakan keutamaan dan hiburan paling menyeronokkan baginda.
Saidina Ali bin Abi Talib RA juga pernah menyarankan agar hiburkan hati dan mencari hikmah-hikmah yang menarik kerana hati mudah berasa bosan seperti badan yang keletihan. Oleh sebab itu, kita hendaklah memilih jenis-jenis hiburan yang sesuai dan tidak melalaikan jiwa daripada mengingati ALLAH SWT.
Pilihlah hiburan yang boleh meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan tubuh badan seperti bersukan, bergurau senda yang sederhana, mendengar lagu-lagu yang menaikkan semangat cintakan agama, bangsa dan negara, melihat filem dan drama yang memberi pengajaran dan tauladan atau menyanyi lagu-lagu yang meningkatkan iman kepada ALLAH SAW.
Cara hiburan digalakkan dalam Islam
Hiburan juga boleh diperoleh melalui aktiviti-aktiviti rekreasi dan lasak seperti berbasikal, berkuda, memanah, bermotosikal, mendaki gunung dan lain-lain. Melancong dan bercuti menikmati permandangan yang indah dan menarik juga antara bentuk hiburan yang memberi ketenangan kepada jiwa. Aktiviti hiburan seumpama itu diterima dalam Islam sebagai amalan yang harus dan digalakkan. Bagaimanapun, aspek kesederhanaan sangat ditekankan dalam Islam bagi menjamin kesejahteraan hidup.
Dalam kehidupan seharian, kita terdedah dengan berbagai-bagai jenis hiburan yang melalaikan. Sekiranya tidak dikawal dengan baik, kita akan hanyut dan leka sehingga mengabaikan tugas dan tanggungjawab.
Tidak salah untuk berhibur dalam Islam, asalkan ia tidak melanggar batas-batas syarak dan tidak melalaikan daripada tanggungjawab agama. Hiburan yang harus adalah yang tidak lucah, tidak biadap, tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul lelaki dan perempuan secara berlebihan, serta tidak menimbulkan fitnah. Islam menggalakkan keseimbangan antara dunia dan akhirat, di mana hiburan boleh dijadikan sebagai cara untuk merehatkan diri dan menenangkan fikiran.

Adakah menyanyi dihalalkan?
Menyanyi tidak semestinya haram, tetapi hukumnya bergantung pada isi nyanyian dan cara ia disampaikan. Nyanyian menjadi haram jika ia melalaikan, mengandungi maksiat atau yang buruk, atau membawa kepada maksiat. Walau bagaimanapun, jika tidak ada unsur-unsur ini, menyanyi adalah harus dan boleh menjadi harus, terutamanya jika ia mempunyai manfaat dari segi kesihatan mental dan fizikal.
