PERSONALITI

Pengerusi CMCF, Rafiq Razali Perkukuh Komitmen Bagi Menangani Risiko Kandungan AI 

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) telah melantik semula Rafiq Razali sebagai Pengerusi bagi penggal kedua, susulan Mesyuarat Agung Tahunannya yang berlangsung semalam. Pelantikan ini menyaksikan Rafiq terus menerajui CMCF untuk tempoh dua tahun lagi, seterusnya memperkukuh asas kukuh yang telah dibinanya sejak mula memegang jawatan tersebut pada Januari 2024

Dalam kapasiti ini, Rafiq akan menerajui usaha baharu CMCF dalam menangani pelbagai isu kritikal, termasuk kandungan yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) dan teknologi palsu tulen (deepfake). Beliau turut komited untuk meneruskan inisiatif memperkukuh perlindungan terhadap golongan bawah umur, mempromosikan keterangkuman kandungan, merapatkan jurang tadbir urus dalam pelantar digital yang kian berkembang, serta memperkasakan masyarakat dengan ilmu dan alat bagi menghadapi landskap kandungan digital yang semakin kompleks.

Berlandaskan prinsip tadbir urus kandungan yang beretika dan adaptif, fokus utama bagi penggal kali ini adalah semakan dan penambahbaikan Kod Kandungan. Proses ini akan diperkukuh melalui inisiatif maklum balas berskala nasional, bagi memastikan kandungan Kod tersebut kekal relevan serta responsif terhadap cabaran semasa. Usaha penambahbaikan ini hadir pada waktu yang amat signifikan, selaras dengan pindaan terkini terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98), serta perundangan berkaitan lain seperti Kanun Keseksaan dan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian yang dijangka diperkenalkan. Kod Kandungan yang diperbaharui kelak dijangka berperanan sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada, dengan membentuk piawaian kandungan yang bersifat holistik dan praktikal—serta mengimbangi antara inovasi dan keselamatan.

Di bawah kepimpinan berterusan Rafiq, CMCF terus mengukuhkan peranannya sebagai suara industri yang proaktif dalam mendepani perubahan pesat landskap digital negara. Pengalaman beliau yang luas dalam bidang transformasi digital dan strategi kandungan yang diasah melalui peranan beliau di REV Media Group serta pelbagai usaha niaga lain, membolehkan beliau menerajui hala tuju jangka panjang organisasi ini dengan ketangkasan dan visi yang jelas.

“Dalam era kandungan digital yang berkembang pesat, kerangka peraturan kita mesti berkembang dengan kadar yang sama. Pendekatan kawal selia kendiri yang kukuh membolehkan kita mencari keseimbangan antara inovasi dan akauntabiliti, terutama dalam mendepani cabaran baharu seperti kandungan berasaskan AI dan kecenderungan yang meluas terhadap media sosial, bukan sekadar sebagai medium ekspresi diri, tetapi juga sebagai saluran utama berita, iklan, pendidikan dan wacana awam,” ujar Rafiq.

Sepanjang tahun 2024, CMCF memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam tadbir urus kandungan beretika menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang menekankan pendidikan, pemerkasaan dan kerjasama industri. Antara pencapaian utama termasuk latihan kepada lebih 300 pempengaruh didik (edufluencer) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta lebih 100 atlet dan jurulatih kebangsaan melalui kerjasama bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan suara-suara berpengaruh ini dapat berinteraksi secara bertanggungjawab dalam talian. Forum ini juga memainkan peranan penting dalam inisiatif Creators IRL, yang menghimpunkan pencipta kandungan dan pempengaruh untuk meneroka tanggungjawab mereka dalam memupuk keselamatan dalam talian dan budaya digital yang sihat melalui bengkel dan sesi dialog yang interaktif.

CMCF turut memperluas libat urus industri dengan keahlian baharu, termasuk pelantar digital utama, serta bekerjasama dengan TikTok dalam kempen #ThinkTwice untuk mempromosikan tingkah laku lebih selamat dalam talian, yang meraih lebih 26 juta tontonan dan melibatkan lebih 417,000 peserta. Usaha utama lain termasuk pelancaran Guidelines for the Marketing of Intoxicating Liquor bagi menyokong pengiklanan yang bertanggungjawab, serta Pertandingan Filem Pendek Animasi yang menerima lebih 100 penyertaan pelajar yang menyuarakan penciptaan kandungan beretika melalui medium animasi. 

“Kami amat teruja untuk meneruskan momentum ini di bawah kepimpinan Rafiq dalam penggal keduanya sebagai Pengerusi,” kata Mediha Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif CMCF. “Ini bukan sekadar kesinambungan, tetapi sebuah gagasan yang berwawasan. Panduan teguh daripada Rafiq telah membantu membentuk landskap kandungan yang lebih inklusif dan berpandangan jauh. Fokus kami kekal pada usaha menjadikan kawal selia kendiri sebagai budaya semula jadi dalam penciptaan kandungan, sesuatu yang dihayati sejak awal, demi memupuk akauntabiliti, kreativiti, dan kepercayaan dalam ekosistem digital.”

Dengan kepimpinan yang diperbaharui serta agenda yang progresif, CMCF kekal komited untuk memacu ekosistem kandungan yang inklusif, bertanggungjawab dan responsif terhadap cabaran era digital Malaysia.

TENTANG CMCF

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) ialah organisasi kawal selia kendiri yang bebas yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai forum industri yang ditetapkan oleh Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA'98) untuk menyelia dan menggalakkan pengawalseliaan kendiri kandungan melalui medium rangkaian elektronik. Forum Kandungan terdiri daripada pemain utama industri kandungan iaitu pengiklan, agensi pengiklanan, penyiar, pencipta/pengedar kandungan, penyedia perkhidmatan pengehos teks audio, agensi pengiklanan, penyedia perkhidmatan internet dan kumpulan sivik.

Bertujuan untuk memudahkan kawal selia kendiri, yang menyediakan lapisan tambahan perlindungan pengguna yang melengkapkan rangka kerja undang-undang, CMCF komited untuk mentadbir dan mempromosikan penciptaan, pengedaran dan penggunaan kandungan rangkaian elektronik.

Sebagai forum industri, CMCF terdiri daripada ahli utama industri kandungan komunikasi dan multimedia, termasuk penyiar, pengiklan, pencipta kandungan, penyedia perkhidmatan akses internet dan kumpulan sivik. Perwakilan pengamal industri yang dinamik dan teguh ini memastikan piawaian kandungan terus dibangunkan dengan objektif untuk mewujudkan gelanggang yang sama rata dalam industri.

CMCF bertanggungjawab bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (“Kod Kandungan”). Kod Kandungan telah disediakan oleh CMCF dan pertama kali didaftarkan dengan MCMC pada 1 September 2004 dan telah diperbaharui pada tahun 2022. Kod Kandungan adalah sumber utama bagi pengawalseliaan kendiri industri kerana ia mengandungi piawaian pentadbiran dan amalan terbaik untuk penyebaran kandungan dalam komunikasi dan industri multimedia di Malaysia. Objektif utama Kod Kandungan adalah untuk menggariskan tatacara kawal selia kendiri yang menyediakan platform untuk kreativiti, inovasi dan pertumbuhan sihat industri yang berkembang pesat.

CMCF menempatkan Biro Aduan yang diberi kuasa untuk menangani semua aduan berkaitan kandungan yang disebarkan melalui rangkaian elektronik. Biro Aduan diberi kuasa untuk menyiasat kemungkinan pelanggaran Kod Kandungan, menguruskan pertikaian, mengadili kes, mengeluarkan arahan dan mengenakan sekatan jika perlu. Biro Aduan menerima aduan daripada pemain industri dan orang awam. Selain itu, ia memainkan peranan untuk menyediakan nasihat kepada mana-mana pihak yang memerlukan panduan tentang hal berkaitan kandungan elektronik.

Related posts

WOMEN LEADERSHIP – KEPIMPINAN WANITA UNTUK KELESTARIANMASYARAKAT

Mahani Awang

Ayah Is Just Ayah To Us

admin

PUTRI ARIANI GEGAR DUNIA

adminwm

Leave a Comment