‘Pernah dulu aku melawan cakap ibu. Ibu kata, “Nanti kamu akan menangis bila ibu telah tiada.”
Dan aku percaya itu sekarang…’
Setahun sudah berlalu, cerita mak dan aku masih terpahat di kalbu. Mak bukanlah seorang yang luarannya lembut dan penyayang. Tiba waktu marah dia marah. Bila dia rasa anaknya perlu dipukul, naik juga tangannya ke pinggul. Namun marah mak besar hikmahnya. Dipukul oleh mak supaya diri beradab, dibebel mak demi memperelokkan diri. Dijerit mak kerana dia mahu kita berhenti membuat sesuatu yang menyakiti mata dan hatinya ketika itu.
You’re a wonderful woman, a wonderful nurturer, mak, dan di atas segalanya mak memang seorang ibu yang hebat. Mana tidaknya, membesarkan 10 anak dengan tangannya sendiri. Tidak ada yang membantu. Mak tidak ada pilihan dan tiada alasan, tanggungjawab terpaksa dipikul di bahunya membesarkan setiap seorang daripada kami dalam suasana serba kekurangan sementara apak keluar mencari rezeki.
Melihat cucu dibelai si ibu, mari sini anak-anakku.,. tengok betapa sayangnya seorang ibu kepada anaknya. Ada dia dibiar lapar tidak diberikan susu? Ada dia telanjang tidak berbaju? Ada dia dibiarkan kotor tidak ditukar lampin baru? Kamu juga begitu. Kamu dibiarkan menghisap susu sehingga luka buah dada ibu, kamu dijagai sampai kamu melelapkan mata. Dan walaupun jam menunjukkan angka tiga pagi, bila kamu menangis mak kelam kabut bangun, hilang letih dan ngantuk. Dia tidak lagi merebahkan diri sehingga urusan menidurkan kamu selesai.
Ibu rela lapar supaya anaknya tetap kenyang.
Ibu rela terjaga sepanjang malam supaya anaknya tidur lena.
Ibu rela kedinginan supaya anaknya tetap di dalam kehangatan.
Apakah salah seorang ibu meminta anaknya yang sudah besar dan dewasa melayannya apabila dia sudah tua? Apakah berat sangat permintaannya membawa dia menziarahi adiknya yang sakit hanya kerana kakinya tidak lagi mampu menekan brek? Apakah besar sangat duit klinik seratus dua yang habis untuk mengubati si ibu yang cirit-birit?
Saya tahu ramai anak-anak yang berkeluh kesah bila mana dia terpaksa menjaga ibunya yang sakit dan tua. “Kenapa aku? Menjaga mak bukan tanggungjawab aku. Dia ada anak lelaki, merekalah yang patut jaga? Si anak lelaki menjawab, “Siapa yang nak uruskan kencing berak mak, tak kan akak kau kena buat, bukan mak dia?” Si adik menolak, “Aku banyak kerja, kalau aku yang jaga mak, siapa yang hendak beri makan anak-anak aku?”
Begitulah masing-masing dengan seribu alasan, si ibu tua ditolak ke rumah orang tua. Itu pun tidak mengapa kalau di sana ada orang menjaga. Tetapi ada pula yang malu dan takut orang mengata. Sebaliknya dibiarkan duduk di bilik yang layaknya tempat garaj kereta dan dijengok sekali sekala?
Petang di rumah teman, sehari sebelum Ramadan. Majlis ilmu membawa kisah seorang ibu yang menghembus nafas terakhirnya tanpa seorang anak pun berada di sebelahnya. Sembilan anak, semua kaya-kaya belaka; ada Tan Sri, ada Datuk Seri, Datin Seri dan ada menantu anak Menteri.
“Teman saya diminta menguruskan jenazah,” cerita si ustaz. “Bila sampai ke rumah jenazah, pintu dibuka oleh seorang penjaga, dibawa terus ke bilik yang muat sebuah katil sahaja. Bau busuk tidak terkira, najisnya padat di dalam lampin yang lama tidak bertukar. Senak perutnya. Sepuluh bilik tetapi di situ ditempatkan ibu mereka. “Mengapa tidak diberikan bilik yang jauh lebih lega?” Pantas dijawab pembantu, “Datuk kata di sini lebih selesa. Datuk Datin ke luar negara.” Mengharapkan seorang sahaja yang menjaga, dengan kerja lain juga di pertanggungjawab di bahunya.
Dipendekkan cerita, si teman ustaz yang dipanggil untuk menguruskan jenazah ibu mereka, berasa bertanggungjawab untuk mengingatkan anak-anaknya yang kaya-raya itu tentang dosa yang setimpal kerana mengabaikan orang tua. Mungkin si ibu pergi tidak sempat mengampunkan dosa anak-anaknya. Menangis air mata darah sekalipun, ibu sudah tidak lagi bernyawa, nak minta ampun yang bagaimana? Mujur ‘lecture’nya disambut baik mereka.
Ya, banyak lagi cerita yang meninggalkan kesan luka di jiwa, walaupun si orang tua bukan saudara kita. Saya teringat kawan saya bercerita… “You ingat tak mak cik yang tinggal bersama kami? Dia sebenarnya jiran emak di kampung. Elok-elok tinggal di sini, satu hari anaknya ambil kerana mendapat tahu ibu mereka rupanya ada sedikit harta. Lima bulan tiada khabar berita, tiba-tiba orang tua itu menghubungi, minta mengambilnya di stesen bas Putra. Sebuah beg plastik berisi baju, ingatkan dia mahu tinggal di sini paling lama pun seminggu.
Lepas seminggu mak cik membuka cerita, merayu untuk kembali bekerja. Kerja-kerja jaga kucing, memang itu yang dibuatnya selama tinggal bersama. “Tolong Zahara, saya tidak mahu ke sana lagi.”
Pendekkan cerita, si anak dan menantu, setelah ditukar nama harta, kehadiran ibu menyemakkan mata dan menambah belanja rumah tangga. Mak diberi makan sekali sehari sahaja. Mak sudah papa. “Mak mahu tinggal di mana? Kami tidak mampu cari orang menjaga? Mak fikirlah, bukan kami tidak mahu jaga, tapi rumah kami pun sempit, anak-anak hendak tidur di mana?”
Sedih, si mak cik meleleh air mata kala bercerita. “Mak Tom, tinggallah di sini sampai bila-bila.”
Syurga di bawah telapak kaki ibu. Baktimu adalah syurga dan derhakamu adalah neraka.
Yang masih punya ibu, tenunglah di matanya, kerana kamu sebenarnya melihat cinta yang paling suci, yang kamu sendiri tidak mengerti. Pada yang bondamu sudah pergi, malam dan pagi mohon doa kepada Ilahi supaya dosamu diampuni. Bersedekah hari-hari semoga baktimu itu dapat mensuci diri, inshaAllah.
Khas untuk arwah ibuku, semoga setiap air mata yang jatuh dari matamu atas segala kepentinganku, menjadi sungai untukmu di syurga nanti. Mak aku merinduimu!