GAYA HIDUP

A Malaysian Woman’s Journey Through Time-THE GRACEFUL SEVENTIES

Apabila Usia Menjadi Sebuah Anugerah

Ada satu perkara yang saya pelajari daripada perjalanan hidup — masa tidak pernah mengambil sesuatu daripada kita tanpa meninggalkan sesuatu yang lain sebagai gantinya. Ketika muda, kita sering melihat usia sebagai sesuatu yang jauh. Kita mengejar impian. Membina kerjaya. Membesarkan keluarga. Mengejar banyak perkara yang kita fikir akan membawa kebahagiaan.

Namun apabila tahun-tahun berlalu, kita mula memahami bahawa kehidupan bukan hanya tentang apa yang kita capai. Ia juga apa yang kita hargai. Tentang manusia yang berjalan bersama kita. Doa yang mengiringi langkah kita dan pengalaman yang membentuk siapa kita hari ini.

Saya Datang Daripada Sebuah Zaman Yang Berbeza

Saya datang daripada sebuah zaman yang berbeza. Sebuah zaman ketika kehidupan bergerak lebih perlahan, tetapi mungkin kerana itu manusia lebih menghargai perkara kecil. Kami mengenal nilai sebuah surat yang dinanti. Mengenal kegembiraan kala memegang sebuah majalah yang baru keluar daripada mesin cetak. Bagi seorang editor, bau kertas dan dakwat bukan sekadar aroma. Ia adalah kenangan. Ia adalah tanda bahawa sebuah cerita telah dilahirkan.

Hari ini, dunia bergerak begitu pantas. Sebuah berita boleh sampai kepada kita dalam beberapa saat dan gambar boleh dilihat oleh jutaan manusia tanpa perlu menunggu.

Namun dalam kepantasan itu, saya semakin menghargai perkara yang tidak pernah berubah: hubungan manusia, keluarga, kesihatan dan ketenangan jiwa.

Generasi Yang Membesar Bersama Malaysia

Saya adalah sebahagian daripada generasi yang membesar bersama Malaysia. Generasi yang melihat sebuah negara berkembang sedikit demi sedikit. Kami mengenal kehidupan yang sederhana. Belajar menghargai apa yang ada. Melihat ibu bapa kita bekerja keras bukan kerana mereka mengejar kemewahan, tetapi kerana mereka mahu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak-anak.

Ada nilai yang mereka tinggalkan kepada kami yang tidak pernah lapuk: hidup dengan bersyukur. Menghormati orang lain. Menjaga keluarga. Dan tidak melupakan akar tempat kita bermula.

Kecantikan Yang Berubah Mengikut Masa

Sepanjang perjalanan saya sebagai editor, saya telah melihat begitu banyak wajah wanita. Ada wanita yang hadir dengan kecantikan luar biasa. Ada yang memukau dengan gaya dan penampilan. Namun selepas bertahun-tahun melihat dan mengenali wanita daripada pelbagai latar kehidupan, saya belajar sesuatu:

Kecantikan yang paling lama diingati bukanlah yang paling sempurna. Tetapi yang paling mempunyai cerita. Kerana seorang wanita bukan hanya wajah yang dilihat oleh dunia. Dia adalah perjalanan yang dilalui. Dia adalah kasih sayang yang diberi. Dia adalah kekuatan yang dimiliki ketika menghadapi cabaran.

Setiap garis halus pada wajah adalah sebahagian daripada cerita. Setiap perubahan adalah tanda bahawa kita telah hidup.

Kita Tidak Melawan Usia, Kita Menghargainya

Dunia kecantikan hari ini semakin berubah. Kita mula meninggalkan idea bahawa usia adalah sesuatu yang perlu disembunyikan. Sebaliknya, kita belajar menerima bahawa setiap fasa kehidupan mempunyai keindahannya sendiri. Saya tidak mahu menghapuskan jejak masa. Kerana setiap jejak itu membawa kenangan. Ada hari bahagia. Ada hari yang menguji kesabaran. Ada kehilangan  yang mengajar saya menjadi lebih kuat. Ada pertemuan yang membuat sayabersyukur.

Menjadi lebih tua bukan bermaksud kehilangan kecantikan. Ia bermaksud kita mempunyai peluang untuk mengenali bentuk kecantikan yang lebih mendalam. Kerana setiap garis pada wajah membawa cerita. Setiap perubahan membawa pengalaman. Dan setiap tahun yang diberikan adalah satu amanah.

Usia bukan musuh. Usia adalah seorang guru. Ia mengajar saya perkara yang tidak mampu diajar oleh masa muda.

Rahsia Kecantikan Yang Bermula Dari Dalam

Hari ini, dunia sains banyak berbicara tentang wellness, tentang hubungan antara tidur, pemakanan, emosi dan kesihatan kulit. Tentang bagaimana keseimbangan dalaman memberi kesan kepada kecantikan luaran. Namun apabila saya melihat kembali kehidupan generasi terdahulu, saya tersenyum. Mereka mungkin tidak mengenal istilah seperti gut-skin connection atau healthy ageing.Tetapi mereka sudah memahami banyak perkara melalui kehidupan.

Mereka makan makanan yang dimasak di rumah. Mereka bergerak lebih banyak. Mereka tidur apabila malam tiba. Mereka hidup dekat dengan keluarga dan alam. Mungkin tanpa mereka sedari, mereka telah mengamalkan satu bentuk keseimbangan yang hari ini kita cuba cari kembali.

Tidur, Ketenangan dan Memberi Ruang Kepada Diri

Ada satu perkara yang sering kita abaikan dalam kehidupan moden: berhenti seketika. Yakni tidur.

Tidur bukan sekadar masa untuk tubuh berehat. Ia adalah ruang untuk kita kembali kepada keseimbangan.

Saya percaya malam mempunyai rahsianya sendiri. Selepas segala kesibukan dunia berhenti, ada satu waktu yang mengingatkan kita bahawa kita bukan mengawal segalanya.

Ada perkara yang perlu kita serahkan kepada Allah dan ada ketenangan yang hadir apabila hati belajar menerima.

Kecantikan Yang Paling Sukar Dijaga

Saya percaya kecantikan yang paling sukar dijaga bukanlah kulit tetapi hati. Kerana wajah yang cantik boleh menarik perhatian tetapi hati yang tenang mampu menyentuh jiwa manusia.

Semakin usia meningkat, semakin saya memahami bahawa kecantikan sebenar datang daripada rasa syukur. Daripada memaafkan dan menghargai. Daripada hubungan yang baik dengan Allah dan manusia. Mungkin itu sebabnya ada wanita yang semakin berusia tetapi semakin bercahaya. Kerana cahaya itu tidak lagi hanya datang daripada luar. Ia datang daripada dalam.

The Graceful Seventies

Wanita yang anggun bukan wanita yang cuba kelihatan seperti usia yang lebih muda. Wanita yang anggun ialah wanita yang selesa dengan siapa dirinya. Dia tidak menyembunyikan perjalanan hidupnya. Dia meraikan setiap helaian yang telah ditulis. Kerana usia bukan penutup sebuah cerita.

Ia adalah bukti bahawa masih banyak yang boleh dihargai. Masih banyak yang boleh diberikan. Masih banyak kebaikan yang boleh ditinggalkan.

Angka tujuh kian menghampiri. Namun hari ini, saya melihat usia bukan sebagai angka. Saya melihatnya sebagai sebuah perjalanan yang penuh dengan halaman. Ada halaman yang manis. Ada halaman yang mengajar kita tentang kehilangan. Ada halaman yang membuat kita lebih kuat. Tetapi semuanya adalah sebahagian daripada cerita.

Saya masih mempunyai rasa ingin tahu. Masih ada perkara yang ingin dipelajari. Masih ada cerita yang ingin ditulis. Kerana selagi hati masih mahu berkarya, selagi jiwa masih mahu memberi, perjalanan itu belum selesai. Mungkin itulah keindahan usia matang. Bukan tentang menjadi lebih muda. Tetapi menjadi lebih memahami siapa diri kita.

“Pada akhirnya, kecantikan bukan tentang bagaimana kita menghentikan masa tetapi bagaimana kita menghargai setiap saat yang telah diberikan.”

Editor’s Reflection

“Saya tidak melihat usia sebagai sesuatu yang perlu ditakuti. Saya melihatnya sebagai satu hadiah. Setiap tahun membawa cerita, setiap pengalaman membawa pelajaran, dan setiap hari yang diberikan adalah peluang untuk terus mencintai, berkarya dan bersyukur.”

Related posts

RUMPUT CINA/RUMPUT SITI KHADIJAH  ALTERNATIF TERBAIK KEMOTERAPI 

adminwm

Pulut dan Khasiatnya

adminwm

West Side Story’ star Ariana DeBose  

adminwm

Leave a Comment