Bunga Violet
Pelukis Datin Norehan Tunku Kamil
Anda mendapat jemputan minum petang daripada teman yang lama tidak ketemu. “Let's have tea at my place.”
Ingatkan minum biasa-biasa sahaja tetapi tidak, tersedia di meja, makanan kegemaran anda, dan anda ‘menjerit’ gembira kerana petang itu anda diraikan bagaikan seorang permaisuri. Terlalu indah set pinggan mangkuknya, terlalu cantik lukisan yang membaluti set minuman petang itu. Tidak mungkin larut di ingatan kesedapan pulut durian dihidang dalam bekas porselain ilham peribadi.
Begitulah cerita saya, sesedap pulut digaul dengan kuah durian Musang King, bertambah sedap bila ia dihidang dalam bekas yang terlalu elegan, yang dilukis oleh jejari teman sendiri. Teman yang sudah sekian lama mengabdikan diri pada seni ‘porcelain painting’. Saat dia gembira dia membawa dirinya larut dalam ilham karya agungnya itu. Saat dia berduka (baru sahaja kehilangan suami tercinta, Almarhum Dato Tunku Kamil Ikram Tunku Abdullah), dia melepaskan rindu dan kepiluan hatinya dengan melukis, dan hanya dia sahaja yang faham kisah di sebalik lukisan bunga-bunga yang mengindahi set pinggan mangkuknya itu.
“Masa terlalu mencurigai kita,” dia menukar tajuk cerita. “Banyak hal yang perlu diuruskan seharian. Kerana itu saya tidak suka membuang banyak masa di dapur, memasak. Tetapi saya juga tidak suka membeli makanan di luar.”
Pulut ini saya masak di dalam ‘rice cooker’ sahaja, dan rasanya tidak berubah. Ini cara menyediakannya.
Jom ke dapur memasak bersama Datin Norehan Tunku Kamil
Resepi:
Pulut

Masak pulut di dalam periuk elektrik.
Masak pulut tidak perlu air yang banyak. Dengan satu sukatan cawan beras pulut (saya rendam dulu pulut sejam atau dua jam lebih kurang. Masukan setengah cawan air dan satu kotak yang kecil santan, saya guna jenama Kara,
3 sudu besar gula perang
Garam secukup rasa untuk naik kan rasa lemak santan. Tekan api dan masak seperti memasak nasi.
Kuah mangga

Bahan bahan:
6 ulas durian
Santan secukupnya
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
sedikit air
Masukkan durian ke dalam periuk, (saya suka membuang bijinya terlebih dahulu), tambah santan, gula dan garam, juga sedikit air. Jika suka, boleh juga dimasukkan susu pekat sedikit. Kacau sampai mendidih dengan api perlahan, jangan sampai pecah minyak. Jika rasa terlalu pekat, masukkan air. Sesuaikan rasa, boleh diangkat dan dihidangkan dengan pulut atau dengan roti.