GAYA HIDUPKHAS PERKAHWINAN

SEBUAH CINTA YANG TIADA SYARAT, A WEDDING MADE IN HEAVEN

Sebuah perkahwinan adalah anugerah kepada kuasa satu cinta. Pertemuan dan kesinambungannya, menawan dan merakam intipati perjalanan pasangan; cabaran yang mereka hadapi, kesabaran yang mereka lalui, juga kejayaan yang telah dicapai hingga membawa mereka ke jinjang pelamin.

Sebuah cerita cinta pula, pasti ada permulaannya, bagaimana mereka ditemukan, dan apakah tanggapan pertama mereka tentang satu sama lain hingga terbit kelestarian yang abadi.

Majlis resepsi Puteri Amina binti Megat Razim Shah dan Mohd. Fazril Bin Abdul Samad adalah kisah perkahwinan indah yang mempamerkan keindahan itu. Ia meninggalkan kenangan manis lagi mendalam, lantas terhasilnya sebuah dream wedding yang syahdu hingga membuat para tetamu turut merasainya dan terbuai dengan impian mereka berdua.

“Kami bertemu semasa sesi rakaman video muzik, secara tidak sengaja sebenarnya,” mula Amina yang tentulah tidak menyangka detik itu merupakan permulaan sejarah pejalanan hidup mereka, “Saya dipanggil pada saat-saat akhir untuk menggantikan bakat asal, semata-mata sebagai bantuan kepada seorang kawan untuk satu sesi pengambaran.”

Amina akui, dia bukanlah seorang talent atau “bakat” untuk tugas itu, malah tidak menganggap dia mampu melakukannya. Semuanya agak di luar kemampuannya. Malah menakutkan. Secara rambang, tanggapan Fazril juga pada awalnya sama, dia turut menganggap Amina, seorang bakat pengganti yang entah macam mana ‘jatuh dari langit’ itu dapat melakukan babaknya dengan baik. Suasana tersebut pada awalnya agak menakutkan, tambahnya melawak.

Secara semulajadinya, Amina bersifat agak tegas dan keras, Dia bukanlah jenis gadis manja, seperti yang diperlukan oleh tugasan tersebut yang mana memerlukan dia menangis dalam hampir setiap babak. Tidaklah ideal, fikirnya, untuk seseorang yang terlihat seperti tidak mudah rapuh untuk melaksanakan tugas itu dengan baik.

Dalam keadaan yang agak kekok dan kerja bidan terjun tersebut Amina lega segalanya berakhir dengan baik. Begitupun dia tidak menyangka yang hari itu sebenarnya pembuka ruang kepada sejarah penting dalam hidupnya.

Dua Sifat Bertentangan Namun Serasi

“Tanggapan pertama saya tentang dia agak bertentangan. Dia memberi saya gambaran seorang yang sangat sabar. Seseorang yang mengambil masa, mendengar dengan teliti, dan memastikan orang lain berasa selesa sebelum bergerak ke depan. Malah di tengah-tengah sesi rakaman yang sibuk, ada ketenangan dalam dirinya yang terus melekat ke diri saya,” akui Amina.

Bilakah mereka masing-masing menyedari bahawa hubungan tersebut adalah “yang satu itu”? Menurut Amina, segalanya amat jelas. Sejak kali pertama dia bertemu dengan ibu bapa Fazril, semuanya terasa begitu selesa, dan mudah. Bagai ada ketenangan dan kefahaman yang tulus terbit di antara mereka.

Bagi Amina, ia bukan satu ketika sahaja tetapi satu urutan persahabatan yang semakin berkembang dan meyakinkan. Baginya Fazril muncul tepat pada masanya, ketika dia memerlukan.

“Fazril bukanlah seorang hebat bak satu ledakan bunga api yang mengkagumkan, tapi cukup untuk menguja saya,” jelas Amina yang penuh dengan pujian, “Dalam kesederhanaan Fazril, yang tidak banyak bercakap itu, dia penuh dengan tindakan. Sepanjang waktu-waktu sukar, dia sentiasa hadir, teguh di sebelah saya, dan memberi perhatian dengan cara istimewanya yang tersendiri.

Tiada seorang insan yang sempurna, namun kesederhanaannya itulah yang membuat saya kagum secara berterusan. Perasaan saya kian mendalam dan terbit satu rasa hormat, malah terbinanya keyakinan tinggi terhadapnya. Itulah ciri-ciri saya inginkan untuk seorang lelaki yang bakal bergelar suami.”

Lamaran

Tentu ramai ingin tahu bagaimana detik lamaran mereka berlaku, dan apa yang bermain di fikiran mereka kala itu? Sebenarnya langsung tiada racangan atau cadangan dalam erti kata konvensional dalam hal itu.

Malah tiada juga kejutan dramatik seperti sesetengah lamaran yang di buat di sebuah restoran mewah dengan kek pencuci mulut berharga ratusan ringgit yang mana di dalamnya terdapat pula cincin berlian berharga ribuan atau ratusan ribu ringgit. Ia tidak juga berlaku di sebuah taman bunga yang mana dihamparkan dengan ratusan tangkai bunga mawar… tiba-tiba muncul kuartet bersenandungkan lagu cinta romantik dan sijejakanya melutut kala melamar.

Selepas sepuluh tahun berkawan dan berkembang bersama, menurut Amina, mereka amat mengenali diri masing-masing dan perasaan itu datang secara sendirinya apabila sampai kepada satu kesimpulan yang mereka berdua memang serasi and meant to be.

“Mungkin itu cara kami… sentiasa ada rasa ketenangan dan ketelusan. Rasanya inilah perkara yang sangat meyatukan kami,” jelas Aida lagi. “There was always a calm sense of clarity. It’s a very “us” thing to just gradually get to that point naturally.”

Kata orang momen sepanjang persiapan sebelum bergelar suami isteri adalah juga satu cabaran yang amat mendebarkan, hanya mereka yang telah melaluinya sahaja yang tahu. Paling penting ia menguji pasangan erti kata sebenar kompromi, apa itu tanggungjawab, kesabaran, timbangrasa, dan membuat pertimbangan serta keputusan yang baik.

Walaupun kedengaran begitu klise, dia akui ia adalah detik penuh keajaiban di mana semuanya menjadi nyata. Salah satu tempoh yang benar-benar rapuh dan mereka akhirnya berjaya melalui dan melaksanakannya.

Amina dan Fazril berpendapat, persiapan majlis mereka lebih daripada sekadar satu detik dalam kehidupan baru mereka selepas bertunang. Ia adalah rasa dikelilingi sepenuhnya oleh orang-orang yang disayangi, dilimpahi dengan kasih sayang dan sokongan yang jitu.

“Saya sanjungi dan gemarkan persiapan majlis kahwin kerana ia bukan sahaja mempamerkan budaya warisan dan peradaban malah, di situ juga berpusatnya kasih sayang. Setiap mereka, pendeknya daripada ahli  keluarga terdekat seperti mak cik, pak cik, sepupu, teman rapat yang berkumpul untuk menyediakan persiapan seperti hantaran misalnya.,, dibuat dengan penuh kasih sayng.

Daripada gurau senda dan hilai tawa bersama setiap mereka yang menyertai dan menyumbang tenaga, ianya cukup bermakna  dan menyeronokkan.

Ikatan Ini Terlalu Istimewa

“Ia mengingatkan saya bahawa perkahwinan bukan hanya tentang dua orang yang sarat dengan cinta dan kasih sayang, tetapi tentang keluarga yang memilih untuk bersatu. Dan pada hari itu sendiri, dapat benar-benar hadir, untuk mendoa dan merestui, ketawa dan menari” jelasnya.

Walaupun ada daripadanya sekadar berdiri seperti patung di pelamin menemani saya, ia amat bermakna dan satu sumbangan yang besar bagi saya dan Fazril, semuanya langsung tiada pretensi, dan penuh dengan ketulusan hati.

Apakah agaknya satu detik dalam hubungan mereka yang tidak akan pernah mereka lupakan? Amina cepat mengusik, Fazril pasti akan sentiasa menyebut peristiwa konsert Dewa 19.

Menurut Amina, mereka bangun awal, bersaing dalam barisan di talian, dan berjaya mendapatkan tiket untuk pertunjukan konsert yang terasa seperti sekali seumur hidup dan kebetulan dijadualkan tepat semasa minggu hari lahirnya.

Manusia boleh merancang namun rancangan Allah lebih hebat. Beberapa bulan kemudian, bola sepak mempunyai rancangan lain. Perlawanan akhir dijadualkan semula pada tarikh yang sama, di Stadium Bukit Jalil bersebelahan dengan tempat konsert diadakan.

“Saya pergi bersama ibu dan keluarga, sedang dia bertugas membuat liputan perlawanan tersebut. Jadi sambil menonton, saya terpaksa menghantar video live kepadanya. Malah hingga kini dia selalu bersakan yang peristiwa itu masih menyakitkan yang mana dia, seorang peminat tegar Dewa 19 terpaksa menonton konsert tersebut dari sisi lain kawasan itu.

Bagi Amina, agak sukar untuk menentukan satu detik sahaja yang boleh menjadi kenangan abadi mereka kerana sepanjang perkenalan terlalu banyak yang indah dan tidak mampu lenyap dari ingatan. Namun dia juga tidak menyangkal, bayak juga detik-detik sukar dan mencabar yang mereka berdua hadapi sebagai pasangan kekasih.

“Sering tinggal dalam ingatan ialah bagaimana kami lalui beberapa ketika yang sangat mencabar bersama. Hari yang sangat panjang, membuat keputusan yang sukar, keletihan fizikal, dan tekanan kerja yang bertindih… and there, the wedding! Ada ketika terasa seperti hanya kami berdua, mencari jalan penyelesaian kepada setiap cabaran yang kami lalui.”

Bagi Amina, untuk persiapan majlis perlu bersikap praktikal dan saling menyokong. Walaupun dia merasakan tiada apa yang glamor mengenainya, yang pasti segalanya perlu dilakukan secara jujur dan ikhlas. Dan pada saat-saat itu, besar atau kecil majlisnya, saya tahu kami mesti saling menyokong. Secara harfiah, kadangkala!

Detik-detik diakad nikah amatlah mencabar dan saat paling mendebarkan. 

Seperti ramai lelaki di luar sana, bagi Fazril, upacara akad nikah amat mencabar dan mendebarkan. Walaupun kedengaran klise, ia adalah detik di mana semuanya menjadi nyata.

Fokus Pada Kesederhanaan

Bersikap sederhana dalam banyak perkara amat membantu mereka mencari jalan penyelesaian. kesederhanaan itu memberi asas kepada seluruh hari bahagia mereka.

Bagi Amina, ia lebih daripada sekadar satu detik. Ia adalah rasa dikelilingi sepenuhnya, atau seperti yang dia  suka katakan, diselimuti oleh kasih sayang dan sokongan yang tiada tandingannya. Itulah yang mereka lalui pada hari-hari menjelang perkahwinan.

“Ia mengingatkan saya bahawa perkahwinan bukan sahaja tentang dua insan, tetapi tentang keluarga yang memilih untuk bersatu. Dan pada hari itu sendiri, dapat benar-benar hadir, untuk ketawa, menari, meraikan bersama rakan dan keluarga daripada tetap kaku di pelamin lebih bermakna kepada saya daripada yang saya jangkakan. Ia penuh kegembiraan, tanpa penjagaan, dan penuh dengan hati. Itulah momen yang kekal bersama saya.”

Mereka mengakui bahawa banyak yang dipelajari tentang satu sama lain semasa hubungan dan setelah bertunang. Aida juga sedar Fazril suka mengatakan bahawa dia telah belajar banyak daripadanya.

Jika Aida menginginkan sesuatu, dia akan memberi 100 (kalau tidak 200) % sehingga ia selesai. Tetapi jika dia telah memutuskan tidak menginginkan sesuatu, maka itu sahaja! Yang menjadikannya menghiburkan adalah saya menyedari perkara yang sama tentang dirinya. Kami berdua orang yang sangat komited, hanya sangat berhasrat tentang di mana kami meletakkan komitmen itu.

“Sekali kami memutuskan sesuatu itu benar-benar penting, kami akan komit sepenuhnya dan bersikap konsisten. Kami banyak belajar kepentingan berkompromi dalam banyak hal… rasa hormat pada satu sama lain mesti ada. keseimbangan antara keyakinan dan pertimbangan itulah yang menjaga kami berdua tetap berpijak di bumi.

Bagaimana mereka melihat peranan masing-masing dalam hubungan yang baru berputik ini dan apakah kekuatan yang dibawa oleh masing-masing?

“Apabila saya berada di tengah badai, Fazril adalah ketenangan saya. Dia mempunyai kemampuan untuk tetap tenang, berfikir secara pantas, dan mencapai penyelesaian tanpa menambah kekacauan. Apabila dia berada di bawah tekanan, saya cenderung melakukan sebaliknya; saya sedaya upaya akan berusaha tenangkan keadaan.”

Ia bukan tentang memberitahu satu sama lain, apa yang harus dilakukan, tetapi lebih tentang saling membantu untuk berfikir dan bertindak secara bijak. Fazril lebih tegas dan lebih sabar, yang mana merupakan gabungan yang jarang ditemui.

Menariknya, Amina lebih intuitif, teliti, dan mengaku tidak dikurniakan dengan deria arah yang baik! Dia memang pincang bab memandu dan menganggap dirinya bagus hanya sebagai seorang penumpang, dan kini dia punyai pemandu untuk hidup! Akuinya bergurau. Seperti yang dinyatakanya dari awal, perbezaan sifat mereka itulah sebenarnya yang saling menyempurna dan menstabilkan suasana atau isu yang berbangkit.

Baru dalam alam perkahwinan namun mereka ingin berkongsi pengalaman walaupun kepada pasangan lain yang sedang bersedia untuk berkahwin. Fazril yakin kesabaran dan komunikasi merupakan elemen penting. Bukan sekadar bercakap, tetapi mendengar dengan niat untuk memahami, terutamanya apabila keadaan tidak selesa.

Amina menambah, adalah penting untuk melihat diri anda sebagai satu unit terlebih dahulu. Bukan mementingkan diri sendiri atau mengasingkan, tetapi melindungi dan menghormati perkongsian yang sedang dibina.

“Belajar untuk mengutamakan satu sama lain, mempercayai dengan mendalam, dan membuat keputusan yang memihak kepada hubungan daripada cuba menyenangkan semua orang di sekeliling anda. Tetapi sudah tentu, kami kurang layak untuk memberi nasihat kerana kami juga baru dalam alam perkahwinan” 

Mereka mempunyai impian atau matlamat bersama teruja untuk kejar bersama? Keluarga dan rakan adalah segalanya bagi kami. Bersamanya datang kefahaman bahawa membina kehidupan bersama memerlukan niat, usaha, dan perhatian.

Mereka juga menantikan saat-saat membina berkeluarga keluarga, mengembara ke seluruh dunia bila berpeluang, dan meraikan kedua-dua pencapaian besar dan detik-detik harian dengan berhemah.

“Apa yang paling kami nantikan? Dalam bab penting sebuah perkahwinan yang amat baru ini, tentulah kami inginkan cahayamata,” dengan senyuman dan mata yang bercahaya Amina menyambung, “Kami pasti menantikan mini Fazril atau little Amina, insyaAllah,”  

Lebih dari segalanya, mereka berharap dapat mencipta kehidupan di mana kegembiraan dikongsi… memberi ruang untuk kebersamaan berkembang, ketawa, dan kehadiran mereka kelak akan menjadi paling penting. Ia akan menjadi katalis kesinambungan unit keluarga kami dan cinta abadi kami berdua.”

Majalah WM mendoakan Fazril dan Amina kekal bahagia bersama dan kecapi setiap Impian hingga diketemukan semula di Jannah Firdaus. Dengan doa ibinya yang tercinta Puan Aida dan semua ahli kelurga serta kenalan, insyaAllah ianya menjadi kenyataan. Aamiin.  

Related posts

Iftar MBBC 2025 Zahir Sokongan Kempen Wakaf Al-Quran, Sasar 20000 Naskhah KeBosnia

adminwm

Pelakon Ini Berhenti ‘Minum’ Selepas Menghantar Anak Ke Sekolah Dalam Keadaan Mabuk

admin

Adab Makan & Makanan Sunnah Saranan Rasulullah SAW

adminwm

Leave a Comment