Mengapa Pencegahan RSV Perlu Menjadi Sebahagian daripada Senarai Semak Kesihatan Keluarga pada 2026
Setiap awal tahun, keluarga di Malaysia sering menetapkan azam kesihatan—pemakanan seimbang, gaya hidup aktif, dan kesejahteraan emosi. Namun satu ancaman kesihatan yang kerap terlepas pandang adalah perlindungan terhadap virus sinsitial respiratori (RSV), khususnya bagi bayi dan warga emas.
RSV sering disalah anggap sebagai selesema biasa. Hakikatnya, ia merupakan antara punca utama jangkitan pernafasan serius dalam kalangan bayi di seluruh dunia. Hampir semua kanak-kanak dijangkiti RSV sebelum usia dua tahun, dan bagi bayi baru lahir serta warga emas, jangkitan ini boleh menjadi mengancam nyawa. Secara global, RSV dianggarkan menyebabkan sekitar 3.6 juta kemasukan ke hospital dan 100,000 kematian setiap tahun dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun, kebanyakannya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
“RSV adalah antara punca paling lazim jangkitan paru-paru teruk dalam kalangan kanak-kanak kecil, namun kesedaran dalam kalangan keluarga masih rendah,” kata Dr Jenny Tan Yen Ling, Pakar Perunding Pediatrik. “Pencegahan awal boleh menyelamatkan nyawa.”
Risiko Merentasi Generasi
RSV tidak terhad kepada bayi. Warga emas berusia 65 tahun ke atas, terutamanya mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung atau paru-paru, turut berisiko tinggi. Dalam isi rumah pelbagai generasi—di mana datuk dan nenek menjaga cucu—virus ini mudah merebak melalui batuk, bersin dan kontak rapat. Gejala ringan pada orang dewasa boleh membawa kesan serius kepada bayi yang sistem imunnya masih belum matang.
Bayi bawah enam bulan boleh mengalami pernafasan cepat, kesukaran menyusu dan tidur, malah memerlukan rawatan rapi. Dalam kalangan warga emas, gejala yang bermula ringan boleh merosot dengan cepat dan mencetuskan komplikasi serius.
Pencegahan sebagai Perlindungan Teras
Sehingga kini, tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan RSV; rawatan hanya bersifat sokongan. Justeru, pencegahan kekal sebagai benteng perlindungan utama. “Apabila RSV menjadi teruk, pilihan rawatan sangat terhad,” ujar Dr Jenny Tan.

Salah satu kemajuan penting ialah imunisasi RSV untuk ibu hamil, lazimnya antara minggu ke-32 hingga ke-36 kehamilan. Antibodi yang terhasil dipindahkan kepada bayi melalui plasenta, melindungi bayi dalam tempoh paling kritikal selepas kelahiran. Kajian menunjukkan kaedah ini mampu mengurangkan risiko penyakit RSV teruk sehingga 82 peratus dalam tiga bulan pertama kehidupan, dengan perlindungan berterusan sehingga enam bulan.
“Imunisasi semasa kehamilan membolehkan perlindungan bermula sebelum bayi dilahirkan,” jelas Dr Joyce Lee Chai Yuit, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi. Pada 2025, WHO turut mengesyorkan pelaksanaan imunisasi RSV semasa kehamilan di peringkat global.
Dalam masa yang sama, vaksin untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas kini tersedia di beberapa negara, khususnya bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik—satu perkembangan penting dalam melindungi generasi yang sering terdedah tetapi kurang diberi perhatian.
Langkah Harian, Kesan Kolektif
Selain vaksinasi, amalan asas kekal penting: kebersihan tangan, pengudaraan rumah yang baik, mengelakkan kontak rapat dengan bayi ketika tidak sihat, dan penggunaan pelitup muka jika bergejala. “Pencegahan paling berkesan berlaku apabila seluruh keluarga bertindak bersama,” kata Dr Joyce Lee.

Menuju 2026 dengan Kesedaran Baharu
RSV mungkin jarang dibincangkan, namun kesannya melangkaui kesihatan individu—ia memberi beban emosi, fizikal dan kewangan kepada keluarga. Kesedaran adalah langkah pertama. Berbincanglah dengan doktor, fahami pilihan perlindungan untuk bayi dan ibu bapa, dan jadikan pencegahan RSV sebahagian daripada senarai semak kesihatan keluarga.
Melindungi setiap nafas—daripada nafas pertama seorang bayi hingga nafas seterusnya seorang ibu atau bapa—adalah azam kesihatan yang benar-benar bermakna.
