GAYA HIDUP

Majlis Diraja PENIAGAWATI; Simbol Pengiktirafan 45 Tahun Perjuangan Wanita Besi

Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (PENIAGAWATI) mencatat detik bersejarah sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-45 menerusi Majlis Minum Petang Diraja yang berlangsung penuh istiadat di Diamond Ballroom, Hotel Equatorial Kuala Lumpur. Majlis berprestij ini diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu serta Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Turut mengiringi keberangkatan Duli-Duli Tuanku ialah Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin binti Raja Abdullah. Kehadiran tetamu diraja ini melambangkan penghormatan tertinggi kepada perjuangan dan sumbangan para usahawan wanita di bawah naungan PENIAGAWATI, yang kini diiktiraf sebagai platform usahawan wanita tertua dan paling berwibawa di Malaysia.

Mengimbau Warisan, Melangkah Ke Hadapan

Sejurus keberangkatan tiba, Duli-Duli Tuanku berkenan melawat ruang pameran dan galeri khas yang menampilkan perjalanan dan pencapaian PENIAGAWATI sepanjang empat dekad setengah penubuhannya. Pameran ini menggambarkan evolusi persatuan dalam memperjuangkan pembangunan ekonomi wanita Bumiputera, seiring perubahan landskap perniagaan nasional dan global.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pelancaran rasmi struktur Chapter PENIAGAWATI, satu inisiatif strategik yang bertujuan memperluaskan sokongan organisasi ke peringkat negeri dan wilayah. Pendekatan ini dijangka memperkukuh akses pembinaan kapasiti, bimbingan dan jaringan perniagaan, khususnya kepada usahawan wanita di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Presiden PENIAGAWATI, Yang Berbahagia Dato’ Emmy Suraya Hussein, dalam ucapan dasarnya menegaskan bahawa PENIAGAWATI bukan sekadar sebuah persatuan, sebaliknya sebuah institusi yang menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi wanita Bumiputera.

“PENIAGAWATI adalah wadah perjuangan wanita yang komited mencorak masa depan ekonomi negara. Pelancaran Chapter-Chapter ini menandakan fasa baharu ke arah organisasi yang lebih inklusif dan bersedia mendepani cabaran era ekonomi digital serta Kecerdasan Buatan (AI),” ujar beliau.

Jejak Global dan Tanggungjawab Sosial

Dalam ucapannya, Dato’ Emmy Suraya turut berkongsi pencapaian signifikan misi dagang antarabangsa PENIAGAWATI ke Asia Barat serta negara-negara serantau, yang menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) strategik. Usaha ini telah membuka laluan kepada produk ahli PENIAGAWATI untuk menembusi pasaran pasar raya antarabangsa, sekali gus mengangkat reputasi jenama usahawan wanita Malaysia di persada global.

Seiring aspirasi pertumbuhan, beliau turut menekankan kepentingan keseimbangan antara kejayaan komersial dan tanggungjawab sosial, yang dizahirkan melalui inisiatif kebajikan seperti Tabung Rahmah, sebagai komitmen berterusan PENIAGAWATI terhadap pembangunan masyarakat.

Pengiktirafan, Budaya dan Simbolik Perjuangan

Majlis yang dipengerusikan oleh Yang Berusaha Puan Nida Hamid, Timbalan Presiden II PENIAGAWATI, diserikan dengan pelbagai pengisian eksklusif. Antaranya termasuk penyampaian Anugerah PENIAGAWATI bagi menghargai kecemerlangan dan dedikasi para usahawan wanita.

Anugerah tersebut ialah Anugerah Pemimpin Masa Hadapan Peniagawati kepada Nurfarini Daing dan Haliza Halim. Juga Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Datuk Noraini Soltan.

Turut memeriahkan acara ialah pertunjukan fesyen dan kebudayaan oleh Biro Chapter Sarawak serta persembahan nyanyian oleh selebriti Azura Aziz, yang menyuntik elemen seni dan warisan ke dalam majlis berprestij tersebut. Kemuncak acara diraikan menerusi upacara simbolik pemotongan kek ulang tahun ke-45 serta persembahan lagu khas oleh barisan Ahli Jawatankuasa dan Biro PENIAGAWATI.

Majlis diakhiri dengan sesi cabutan bertuah selepas keberangkatan pulang Duli-Duli Tuanku pada lewat petang. Acara penuh makna itu meninggalkan kenangan abadi buat seluruh warga usahawan yang hadir.

Related posts

BANJIR KELANTAN-WANITA IKON HULUR BANTUAN

Mahani Awang

Ultra-Modern Medical Science

adminwm

Khasiat Buah Kurma

admin

Leave a Comment